• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Thursday, October 6, 2011

Apa kata orang Seremban mengenai Kelantan?

Posted by Abu Huzaifah On 5:48 PM

Syawal 1432H  menemukan saya dengan 5 ahli keluarga baru.  Setahun meninggalkan Malaysia menyirat kisah suka dan duka.   Ada yang telah pergi menemui Ilahi dan ada yang baru menjengah dunia.  Dua orang anak saudara yang dilahirkan penghujung tahun 2010, seorang kakak ipar baru dan dua orang adik ipar lelaki, alhamdulillah.   Dua orang adik perempuan menamatkan zaman dara pada Mac 2011.  Majlis walimah mereka dilangsungkan serentak.  Si Bongsu sudah bernikah pada Disember 2010 dan si kakaknya bernikah sehari sebelum kenduri.

Akhirnya pecah juga tradisi Ma dan Abah yang mahu bermenantukan orang Kelantan sahaja.  Kakak ipar baru orang Seremban dan seorang adik ipar lelaki merupakan orang Johor.  Rasional mahu bermenantukan orang tempatan sahaja ialah dari segi adat budaya tidak jauh berbeza.  Juga jika sakit demam, senang mahu ziarah.

Borak-borak hal semasa

Kakak ipar baru merupakan isteri kedua abang.  Saya tidak sempat menemuinya tahun lepas kerana datang ke Melbourne.  Namun sempat berbual melalui telefon semasa berada di KLIA menunggu saat bertolak ke sini.

Suatu ketika, saya, Abah, Era (kakak ipar yang usianya lebih muda dari saya), suami dan beberapa lagi ahli keluarga berada di anjung rumah.  Kami akan keluar beraya ketika itu.

Melihatkan kakak ipar yang baru ini peramah orangnya, saya memecah suasana  dengan soalan,
“Era, pernah datang Kelantan tak sebelum nikah dengan Abang?”
“Tak pernah”

“Ooh… jadi kali pertama Era datang Kelantan selepas nikah dengan Abang lah ye…”
“Ha..”
“Macam mana suasana raya di sini?  Meriah tak?”
“Meriah… sungguh meriah… Jalan jem di mana-mana…  Di Seremban pun tak macam ni…”
“Macam mana Era tengok  Kelantan di bawah 20 tahun pemerintahan MB Tok Guru Nik Aziz dibandingkan dengan apa yang dipaparkan media?”

“Berbeza… memang berbeza… Saya tidak sangka Kelantan begini maju”
“Sangat berbeza, kan?”
“Iye… sangat berbeza…”
“Bukan sekadar sangat berbeza… contrast lagi… betul tak?”
“Iye.. betul tu…”

“Mula-mula sampai dulu, saya terkejut kerana melihat Kota Bharu lebih kurang Seremban sahaja…bahkan pembangunannya lebih pesat.   Ia harus dibanggakan kerana Kelantan membangun secara berdikari dibandingkan Negeri Sembilan”, Era memberikan pandangannya.

“Kasihankan… Orang-orang luar yang percaya pada media (perdana) itu diperbodohkan”
“Betul… siapa yang percaya media kerajaan memang diperbodohkan” ujar kakak ipar  yang baru menamatkan PhDnya Jun lepas.

“Ibu ayah asal kampung mana?”
“Ayah asal orang daerah XX.  Itulah, bandar-bandar kecil di Kelantan juga maju.  Saya rasa XX itu pun mundur kebelakang dibandingkan dengan beberapa bandar kecil di Kelantan ini” tambah pensyarah kejuruteraan itu lagi.

“Bolehlah bawa mak ayah datang ziarah Kelantan.  Buat rombongan orang kampung lagi bagus”
“Hmmm… mak ayah ni jenis tak suka berjalan… saya yang tinggal kat Johor tu pun malas dijenguknya”
“Ha… cepatlah pergi… cameraman dah tunggu lama tu…”  Ma menyampuk.

Itulah sembang santai saya bersama kakak ipar baru semasa menyambut Eidul Fitri baru-baru ini.

nota : Catatan ini dipetik dari blog Ummu Abbas yang boleh diziarahi dari blog beliau http://keranacinta.wordpress.com.Jazakillah khayra atas keizinan beliau untuk berkongsi sesuatu yang baik.

Monday, June 20, 2011

ALHAMDULILLAH … 14 bulan yang memenatkan berakhir…

Posted by Abu Huzaifah On 9:53 PM


Alhamdulillah. Kesyukuran yang tidak terhingga Abu Huzaifah  rafa'kan diatas segala nikmat yang di anugerahkan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sesungguhnya dalam setiap perjalanan hidup kita pasti ada ujian.Ujian datang sama ada dalam bentuk kesenangan atau kepayahan...dan ujian juga datang  dalam bentuk kekayaan atau kemiskinan. Manusia yang diciptakan oleh Allah Azza wajalla telah dinyatakan dalam al-Quran al-Karim akan diuji sebagaimana firmanNya dalam ayat kedua surah al-Mulk.

Ujian yang datang itu, akan memperlihatkan sejauhmana manusia bergantung dan berserah kepada Allah Azza wa Jalla. Menerima setiap ujian dengan reda dan tabah. Daripada ujian juga akan menyerlahkan sikap dan feel manusia sama ada mereka istiqamah memohon penyelesaian dengan pergantungan kepadaNya atau cepat resah gelisah lantas mula memaki, mencela dan sumpah seranah. Namun setiap hamba tidak boleh berserah kepada taqdir  dengan berpeluk tubuh sahaja tanpa usaha ikhtiar dan susah payah.

Alhamdulillah, penantian selama 14 bulan saya dan anak-anak menunggu Ummu Huzaifah dapat berpindah ke negeri penyu akhirnya termakbul setelah menerima ucapan tahniah dari KPM bahawa permohonan isteri hamba diluluskan oleh kementerian berkenaan  dan ditempatkan di Terengganu.

Empat belas bulan  yang memenatkan saya ; terpaksa berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Pilah saban minggu sekiranya tiada program khas di tempat saya bertugas. Mengapa Abu Huzaifah  kata amat memenatkan? Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang ada? Memenatkan ...salah satunya kerana perjalanan yang meletihkan mental dan fizikal ..kerana saya bukan sahaja perlu menaiki satu bas( satu trip) bahkan sehingga 3 trip perjalanan. Jika tiket bas dari KB ke Seremban ada, saya kena ambil satu trip lagi perjalanan  dari Seremban ke Kuala Pilah yang mengambil masa 45-50 minit untuk sampai ke stesen bas Kuala Pilah. 

Kerapkali juga bila tiket KB- Seremban dah habis saya terpaksa naiki bas trip Kota Bharu –Kajang atau KB-KL. Dari KL/ Kajang saya ambil komuter ke Seremban...sampai di Seremban naiki bas Seremban-K.Pilah...Bayangkan tiga trip pengangkutan awam yang terpaksa saya naiki untuk sampai  di Kuala Pilah.

Selain dari perjalanan yang memenatkan sepanjang berulang alik...pernah satu ketika bas Mutiara yang dinaiki rosak pada pukul 3 pagi dalam daerah Lipis... pukul 7 pagi barulah mekanik datang baiki..selepas meneruskan perjalanan 3 km, bas rosak semula dan kena baiki lagi...akhirnya kami sampai di Seremban pukul 4 petang keesokan hari..itulah pengalaman perjalanan KB-Seremban ambil masa kurang lebih 15 jam.

Anak-anak lewat ke sekolah

Setiap Ahad yang Abu HUzaifah  pulang ke NS, hampir pasti anak-anak saya lewat ke sekolah. Apa tidaknya saya tidak terus ke tempat kerja kerana mengambil dua anakanda yang tinggal bersama bonda saya ( dua hari/Jumaat dan Sabtu) di kampung. Biasanya sampai di rumah ibu antara pukul 6.50 – 7 pagi. Kadang-kadang pukul 7.15pagi,  lewat gilak kata orang Sarawak. Dari kampung saya memecut kenderaan untuk pergi ke Besut hantar anak ke sekolah dan kemudian saya ke tempat kerja...jadi hari Ahad kedua-dua anak saya biasa lewat ke sekolah. Saya terpaksa menebalkan muka biarpun anak ke sekolah pukul 8.pagi mengalahkan anak-anak....

Oleh kerana Abu Huzaifah  berpengalaman menjadi guru disiplin faham benar tentang kehadiran ke sekolah, maka saya menulis satu surat khas memohon kemaafan kerana setiap Ahad berkemungkinan besar anak saya ke sekolah lewat atau kalau lewat sangat anak saya tak ke sekolah pada hari tersebut (contoh jika saya tiba di KB pukul 7.30) tak kan anak nak ke sekolah pukul 8.30) cikgu yang lihatpun tentu kehairanan anak siapa yang datang sekolah pukul 8.30 mengalahkan...maaf lah kadang-kadang ada juga guru-guru yang memperli anak-anak kita tanpa usul periksa.


Dalam tempoh 14 bulan ini juga seperti yang pernah Abu Huzaifah sebutkan dalam entri lalu jika hamba berkursus luar daerah Besut atau dinegeri lain, maka anak-anak terpaksa tidak hadir ke sekolah beberapa hari.  Saya hanya mampu menulis surat sahaja kepada pihak sekolah...Syukurlah kali terakhir saya berkursus di Pahang,  sahabat hamba ust Zamri sanggup menumpangkan anak dirumah beliau dan menghantar serta menjemput anak-anak Abu Huzaifah, termasuk-makan minum dirumah beliau. Jazakallah kpd ust Zamri dan isteri beliau.

Anak-anak tidak ceria

Alhamdulillah, kami dikurnikan 5 cahaya mata. Anak kami yang sulong 'Aisyah dan kedua Asmaa’ sangat rapat kerana sewaktu Ummu Huzaifah belajar setahun di IPDA Kedah; Aisyah dan Asmaa' tinggal bersama saya. Kemana sahaja saya pergi termasuk ceramah atau forum di Miri mereka akan bersama. Malah mesyuarat petang atau malam pun saya bawa. Pendek kata mereka sentiasa bersama. Huzaifah dan Iman pun sangat rapat dan sering bergurau senda. Dua tahun di pusat asuhan Pasti Kuala Pilah mereka berdua sama-sama ke Pasti sama ada dihantar oleh saya atau jiran kami Pak Abbas. Apabila Abu Huzaifah pindah ke Besut ; natijah perbincangan kami  atas maslahat tertentu 'Aisyah dan Huzaifah ikut Abi yang lain bersama ummi.  Aisyah yang lebih mesra dengan Asmaa’ manakala  Iman dengan abangnya Huzaifah terpaksa berjauhan. Kesannya 'Aisyah dan Huzaifah tidak lagi seceria dulu....kurang ketawa ria dan tidak banyak bercakap. Jika dalam kenderaan saya perlu banyak bertanya mereka dan sekali sekala bergurau dengan anak-anak. Pencapaian akademik merekapun merosot, Aisyah mengambil masa yang lama juga untuk serasi dengan guru-guru baru di sekolah baharu. Itulahsebahagian dari ujian-ujian yang terpaksa anak kami lalui.

Akhirnya sebagai penutup entri kali ini, Abu Huzaifah rakamkan ucapan terima kasih kepada yang banyak membantu sepanjang tempoh itu khususnya isteri hamba yang sangat tabah mengahadapi segala ujian hidup, anak-anak yang taat, jiran-jiran yang membantu, ketua jabatan hamba yang sentiasa menyokong permohonan cuti dan sahabat-sahabat di Miri dan Kuala Pilah..ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan hamba sekeluarga...anak-anak didik dan lain-lain. Jazkumullah khaira kathiran. Wa Barakallah fikum jami'an.

Tuesday, April 5, 2011

Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul...

Posted by Abu Huzaifah On 2:28 AM


Bulan Mac 2011 telahpun berlalu beberapa hari lepas. Ini bermakna sudah setahun Abu Huzaifah  berpindah ke Besut Terengganu dan berkhidmat di salah sebuah institusi pengajian tinggi...dalam masa yang sama juga sudah lebih 365 hari Abu Huzaifah  terpaksa berjauhan dari isteri dan tiga  orang permata hati (dua lagi bersama hamba). Manakala saban minggu hamba berulang alik dari KB ke NSDK, kecuali jika ada halangan atau program yang wajib  dihadiri , maka saya akur dan korbankan masa emas bersama zuriat yang disayangi.

Sebagai kakitangan kerajaan Abu Huzaifah sentiasa akur dengan tugasan dan tanggungjawab yang diberi majikan selagimana tidak bercanggah dengan ilmu-ilmu Islam yang saya pelajari dan fahami. Seingat hamba sepanjang perkhidmatan, hanya sekali saya menolak tugas dan amanah penting yang ditaklifkan...iaitu sebagai ketua warden asrama. Kurang dari 12 jam selepas  dilantik dalam satu mesyuarat  saya bertemu pentadbir sekolah untuk mengundur diri dari jawatan tersebut. Abu Huzaifah bersedia untuk meneruskan tugas sebagai warden asrama tetapi jawatan sebagai ketua saya tidak terima diatas sebab-sebab tertentu. 

Entahlah, mungkin wajah  Abu Huzaifah  yang serius menyebabkan sepanjang perkhidmatan di bumi Kenyalang  tidak pernah lekang dari menjadi salah seorang guru Disiplin(merangkap warden) dan  tiga tahun sebagai guru penasihat pengawas. Apabila hamba menjejakkan kaki di tempat baharu..itulah taklifan pertama yang ditawarkan oleh majikan hamba selain tugas-tugas akademik.

Maaf, kepada sahabat ziarah...celoteh saya diatas sekadar muqaddimah bicara kali ini..Maaf juga kerna kali ini Abu Huzaifah ingin menulis hal-hal peribadi..

***-------------------------***

Alhamdulillah, minggu lepas sekali lagi hamba terima surat jemputan berkursus di Pahang antara 28-31 Mac di Temerloh. Masuk kali ini  sudah tiga kali berkursus untuk tahun 2011. Sebagaimana dalam intro tadi, saya nyatakan sentiasa akur dengan arahan majikan. Walaupun sesetengah orang tidak suka dihantar berkursus atau menyertai seminar, pada Abu Huzaifah itu adalah satu peluang untuk peningkatan diri khususnya hamba sebagai salah seorang staf akademik  baru. Apatah lagi bila terpilih untuk menyertai kursus yang jarang dilaksanakan seperti Kursus Pengacaraan Majlis (bahasa Arab) yang dianjurkan oleh JAKIM wilayah Timur yang saya hadiri awal Mac lalu. Abu Huzaifah dan sahabat peserta mendapat bimbingan dan peluang berinteraksi terus bersama Datuk Mahamud Abdul pengacara majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa..mungkin peluang ini datang sekali dua sahaja.

Setiap kali berkursus hampir pasti kita mendapat input baru, tip-tip baru, semangat baru dan rakan-rakan sekerja yang baru...banyak perkara yang kabur menjadi terang..kemusykilan yang terbuku di minda boleh dirungkai dan sebagainya lebih-lebih lagi apabila bertemu sifu atau mentor yang berilmu dan berpengalaman...

Namun dalam keghairahan untuk menghadiri kursus atau sebarang program Abu Huzaifah mesti memikirkan siapa yang  akan menjaga anak-anak hamba pada waktu malam? Siapa yang akan menghantar dan menjemput anak-anak  pulang dari sekolah? Bagaimana makan minum mereka? Pakaian sekolah mereka...apabila persoalan ini timbul hamba mula gelisah dan  gundah.. 
Inilah cabaran dan kesan kepada Abu Huzaifah apabila isteri tidak tinggal bersama... kursus perlu saya hadiri kerana hamba sebagai pensyarah baru ... maklumat dan pengisian program memang sangat saya perlukan.Namun jika saya mengikuti kursus adakah anak-anak saya perlu tinggalkan persekolahan mereka selama empat hari berturut-turut...sedangkan awal Mac dulu saya terpaksa korbankan dua hari persekolahan mereka...pengalaman sebagai guru disiplin saya faham sangat dengan kehadiran.Dalam masa yang sama kursus tersebut penting juga kepada saya dalam meningkatkan kompetensi sebagai pendidik..

Jika sahabat-sahabat ziarah ditempat Abu Huzaifah, bagaimana? Seorang sahabat hamba yang berkhidmat di bumi Kenyalang pernah mencadangkan agar Ummu Huzaifah berhenti kerja...Ohh cadangan tersebut  mudah! Namun rasanya sangat drastik...Wallahu a’lam.

Apapun saya masih mengharapkan adanya tangan-tangan pegawai KPM yang menggunakan pertimbangan manusiawi agar isteri saya dapat berpindah ke negeri yang dipohon. Sebenarnya ramai suami yang senasib dengan Abu Huzaifah, bahkan ada warga pendidikyang hampir enam tahun berulang-alik saban minggu menjenguk isteri dan anak-anak dari Terengganu ke selatan tanah air. Rasanya KPM sangat beruntung punya kakitangan yang tak pandai marah...termasuklah saya.

Saya  belum tergamak untuk buat kerja gila-gila saban minggu menunjukkan muka di Putrajaya. Memaki pegawai2 di KPM, walaupun ada segelintir guru yang sanggup berbuat demikian.Mungkin kerana guru-guru saya semasa disekolah menengah tidak mengajar saya bertindak luar batasan.

     

Apapun sekali lagi Abu Huzaifah  bersyukur; masih ada insan dan sahabat  yang sanggup menjaga  dan menghantar anak-anak hamba ke sekolah selama empat hari saya berkursus. Terima kasih tidak terhingga kepada Ustaz Zamri Abu Bassyar dan isteri serta  keluarga  beliau kerana menerima anak-anak hamba tumpang berteduh. Teman semasa senang memang ramai...tetapi ketika kita ditimpa ujian ; hanya sahabat sejati yang memahami keadaan. Tiada kata yang sesuai untuk Abu Huzaifah rakamkan kecuali mengharapkan balasan yang setimpal dari ALLAH Azza wa Jalla. Semoga saya tidak menzalimi anak-anak saya yang masih mentah dengan ujian duniawi..BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL .

Tuesday, January 11, 2011

Satu Penantian...

Posted by Abu Huzaifah On 5:49 AM

Assalamualaikum Warahmatullah

Dengan nama Allah kumulakan bicara.Segala puji dan puja selayaknya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat kekasihNya Nabi Muhammad saw, para sahabat yang setia memperjuangkan kebenaran dan ahli keluarga baginda yang mulia.

Petang tadi ketika pulang dari kerja selepas mengambil kedua anakanda di sekolah dalam jasad yang keletihan, entah mengapa hati merasa sepi, semangatpun terasa lemah dibaluti sedikit perasaan kecewa…menanti dan menunggu jawapan yang belum diterima..

Berapa lama hamba-Ummu Huzaifah  dan anak-anak akan berjauhan begini? Berapa banyak wang yang akan mengalir semata-mata untuk hamba berulang alik sejauh lebih 500km setiap hujung minggu dari Besut  ke Kuala Pilah..? Berapa jam pula masa Abu Huzaifah dihabiskan dalam bas? 

Soalan ’cepumas’ hampir  setiap kali bertemu rakan-rakan dan sahabat handai ...zaujah anta dah pindah ke? Anta tak cuba ke guna kabel2 yang power sikit? Kadang-kadang rasa dah malas nak jawab persoalan tadi...
Memang Abu Huzaifah  dah cuba ke Putrajaya dan Cyberjaya membuat rayuan sampai bawa kesemua lima orang anak kami, (nak tunjuk payahnya bila suami-isteri berjauhan) anak-anak kamipun terpisah dah hampir setahun. 
'Aisyah dan Huzaifah semasa pulang dari sekolah. Walaupun baru berumur 11 tahun, 
Aisyah sudah menuntut di 3 buah sekolah berlainan daerah. Dari Miri-Kuala Pilah ke Besut

Malam tadi selepas  menghantar Ummu Huzaifah, Asmaa’, Iman dan Ilham ke stesen bas Jerteh..dalam samar-samar cahaya anak sulong kami ’Aisyah menitiskan airmata..menahan tangisan seorang anak yang kian meningkat usia . Ya!Anakanda Aisyah sekarang dah berumur sebelas tahun makin mengerti erti perpisahan, kasih sayang akan ummi dan abinya. Walaupun abi dan ummi berusaha memberi pendidikan yang terbaik namun dalam mengharungi kehidupan sudah dua kali Kak ’Aisyah jauh terpisah dari ummi. Dahulu (2004) ketika Ummu Huzaifah musafir ke Jitra Kedah untuk meraih Diploma Pendidikan, Aisyah dan Asmaa’ bersama abi di Miri kini sekali lagi hatinya teruji. Putera tunggal kami, Huzaifah pula payah menitiskan 'hujan',  mungkin atas jiwa lelakinya.Hamba sering berpesan;"Huzaifah berdoalah mohon Allah makbulkan doa kita semua supaya ummi dapat pindah" itulah ungkapan yang sering hamba pesankan penyedap telinganya.

Sekadar memaparkan kesulitan sementara yang terpaksa kami hadapi...namun jalan mesti terus ke hadapan...kehidupan dunia yang fana mesti diteruskan. Apapun sebagaimana sering diungkap : penantian suatu penyeksaan batin..kami akan terus menanti bilakah pihak KPM akan  meluluskan perpindahan ummu Huzaifah ke lokasi penempatan yang munasabah dengan daerah yang dipohon. Kami akan terus menunggu dan menunggu surat rayuan yang belum diutusi...hmm entah bila?

Hamba sedar. Hakikatnya tidak wajar kami kecewa kerana mungkin ini sebahagian dari ujian hidup di dunia yang sementara cuma. Namun kepada anak-anak kami seusia dua dan lima tahun tentu keliru mengapa sang ayah di timur dan siibunya di selatan tanah air. Takdir Allah adalah urusanNya, tetapi soal-soal pentadbiran dan pengurusan hidup seharian kita ada budi bicara manusia. Apakah sudah tiada budi bicara ....??? atau saya akan menerima jawapan dari pegawai yang berkata : Apa boleh buat, dah tangan saya nak letakkan nama encik di Sarawak”. Jawapan yang Abu Huzaifah terima 10 tahun lalu semasa penempatan pertama ketika meraih simpati untuk berada dekat dengan bapa yang sering uzur.

Apa jua situasipun..moga lapan ayat dari surah al-Syarh menjadi ubat mujarab pengubat hati dicelah-celah kehidupan dunia yang semakin meragut kebahagiaan insan. Semoga ada sinar bahagia di hadapan.Wallahu a’lam bissowab.
 

Sunday, December 26, 2010

Alhamdulillah. Allah selamatkan kami dari musibah..

Posted by Abu Huzaifah On 5:09 PM

Alhamdulillah dengan izinNya, Abu Huzaifah, isteri dan anak-anak tiba di Kuala Pilah ketika jam melewati 12 tengah malam tadi. Syukur padaNya kami selamat sampai di rumah biarpun jasad sudah keletihan tanpa makan malam, hanya berbekalkan roti dan jagung serta air mineral. Bukan tak ada fulus, tapi untuk mengelak dari mengantuk semasa memandu dan ingin tiba di Kuala Pilah sebelum pukul 12 malam, kami abaikan mengisi perut.

Sebelum berangkat pulang ke rumah kami di Kuala Pilah, Ummu  Huzaifah sempat shopping di Jerteh  memilih pakaian sekolah anak-anak. Abu Huzaifah  pula pergi servis kereta kerana malam Sabtu lepas ketika  mengejar masa untuk ke suatu program, tak sengaja ’terjun’ dalam lubang...biasalah banyak jalan rosak selepas musim hujan/banjir di laluan Jelawat-Tok Bali dan Bachok. Kerana bimbang akan keselamatan dalam perjalanan hamba habiskan masa setengah jam di bengkel kenderaan di Jerteh. Selepas makan tengah hari di restoran kami berangkat menuju jalan ke Setiu-Kuala Berang ketika jam menghampiri 4 ptg. Demikianlah kesibukan hamba dan zaujah hujung minggu lalu.


Beberapa hari sebelum itu Abu Huzaifah  ’masghul’ dengan kenduri aqiqah dirumah kami di Dar al-Mawaddah (Mulong). Ramai juga khirijjin dan khirrijat Urdun yang dijemput ; tapi ramai yang tidak dapat datang  mungkin kerana kenduri diadakan pada hari kerja (isnin) atau sebahagian sahabat sudah pulang ke negeri zaujah/zauj masing-masing. Terima kasih kepada Ust.Asri Ab.Ghani  sekeluarga, Ust Wazi dan Ust Wan Hakiman yang sudi bertandang seketika. Kepada sahabat-sahabat lain yang tidak sempat ana sms jemputan  mohon kemaafan. Kesibukan Abu Huzaifah juga bertambah apabila menerima ’on call’ dari Gabungan Mahasiswa Mulong memenuhi undangan dua forum dan liqa’bersama para pelajar.

bersama ahli panel(ust Hamdi KIAS)dan AJK Gabungan Mahasiswa Mulong usai forum
Hijrah al-Rasul SAW

Hasrat mengadakan kenduri aqiqah anakanda kelima ( Ilham Sumayyah)tertunai, namun hajat Abu Huzaifah ingin mengumpul sahabat-sahabat Mafraq/Jordan serta sahabat semasa berkhidmat di Miri kurang menjadi... Apapun terima kasih daun keladi kepada Ust Muzaha,Ust Ismail Daud dan Cikgu Abdullah dan keluarga yang sudi menziarahi kami di Dar al-Mawaddah Besut Terengganu awal Disember lalu.

Dalam keadaan banyak perkara perlu dilunaskan..semalam kami berangkat ke N9. Biasalah sekolah akan bermula awal Januari...zaujah ada mesyuarat di STJ dan beberapa urusan lain. Sesuatu yang tidak diduga berlaku, hamba sekeluarga hampir terlibat dalam  kemalangan dengan sebuah motosikal ketika merentasi jalan Muadzzam-Bahau.

Alkisahnya begini, setelah melepasi stesen minyak Petronas di Muadzzam(yang biasa lalu tentu tahu lokasinya) hamba memandu sedikit laju kerana jam sudah menunjukkan pukul 10.pm. Kenderaan pun tidak banyak menuju ke Segamat atau Bahau NSDK. Selepas memotong dua buah kereta...saya beritahu ummu Huzaifah ada motosikal dihadapan kami..terlepas dari mulut hamba rasa kasihan kepada penunggang motosikal yang memandu di jalan yang gelap(dalam perjalanan yang jauh) terutama pada waktu malam.

Tidak semena-mena  motosikal di hadapan Abu Huzaifah  itu tergelincir ke dalam lubang(kesan akibat hujan) dan pemandu tadi gagal mengawal motornya sehingga beliau jatuh ditengah-tengah jalanraya. Nasib menyebelahi Abu Huzaifah, hamba sempat memperlahankan kereta dan mengelak dari melanggar mangsa. Mujurlah hamba sempat mengelak ke kiri dan tiada kenderaan dari arah hadapan. Jalanraya gelap gelita...Hampir 200 meter melepasi mangsa saya memberhentikan kereta viva silver milik zaujah.
Dalam keadaan panik, hamba bergegas ke arah mangsa. Ya Allah bagaimana keadaan mangsa tadi?..ada beberapa pemandu lain menghentikan kenderaan mereka dibahu jalan bagi menyelamat mangsa. Abu Huzaifah menghubungi 999 ...pihak polis menginginkan nama hamba...dan operator tadi menghubungi Hospital Muadzzam.Payah juga hamba ingin terangkan lokasi sebenar kejadian kerana kepekatan malam ...kurang lebih 20 minit Abu Huzaifah  berada disisi mangsa van ambulan masih belum tiba.

Telahan hamba terdapat beberapa orang pemandu yang berhenti adalah penduduk tempatan. Alhamdulillah mangsapun hamba kira tidak kritikal...namun mungkin ’cedera dalaman’. Kerana malam makin beransur Abu Huzaifah memohon izin dari pemandu-pemandu lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah.

Hati hamba masih berdebar mengingatkan inseden tadi. Syukur padaMu Ya Allah masih menyelamatkan hamba dari melanggar mangsa. Abu Huzaifah yang tadi agak mengantuk dan keletihan berbicara dengan zaujah..Andai tadi kereta kami tidak sempat mengelak mungkin mangsa agak teruk dan kami akan bermalam di Muadzzam pada malam tadi. Mujur juga tiada lori atau bas yang datang dari arah hadapan ketika mangsa sudah tertiarap di atas jalan. Segala-galanya kehendak Allah.

Kami bersyukur padaMu ya Ilaahi! ALLAH SELAMATKAN KAMI DAN MANGSA DARI MUSIBAH YANG TERUK.

Peristiwa malam tadi mengingatkan hamba dan anak-anak akan kepentingan doa sepanjang perjalanan.Itulah hikmah dari doa musafir dan menaiki kenderaan.

Thursday, November 4, 2010

36 TAHUN MENUMPANG DI BUMI TUHAN

Posted by Abu Huzaifah On 8:49 AM

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, segala pujian dirafa’kan kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dengan izinNya pagi ini seperti hari-hari biasa Allah masih mengurniakan nikmatNya untuk diri hamba terus menghuni alam dunia yang fana ini.

Hari ini, Khamis 4 Nov 2010 genap 36 tahun hambaMu menumpang di bumi milik Rabb al-Jalil...dan hakikatnya apabila semakin bertambah usia kita maka semakin dekat pertemuan dengan Al-Khaliq,suatu hari yang pasti.

Ya Allah.Sesungguhnya kubersyukur kepadaMu diatas nikmat yang banyak yang tidak mampu kuhitung satu persatu. Nikmat memiliki ibubapa yang mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak...mengutamakan nilai agama lebih dari kepentingan material. Selaut terima kasih istimewa kepada ayah dan ibu...Budi keduanya tak terbalas.Buat ayahanda yang bersemadi di alam barzakh, anakanda doakan sentiasa beroleh maghfirah dan rahmatNYA.Kepada ibu,penghargaan yang tidak ternilai kerna tidak pernah jemu mengasuhku dalam suasana kepayahan dan kekurangan...

Sekalung penghargaan juga kuaturkan khas kepada guru-guru yang gigih mendidik dan mentarbiyahku dari awal tadika Kemas,SK Mulong,Maahad Muhammadi Lelaki,IKIP Pahang hinggalah ku menjejak kaki ke bumi Mafraq,Urdun dan sepanjang berteduh di MPI Bangi serta UKM.Jutaan terima kasih Ustaz,ustazah,dan guru-guruku.

HambaMu juga bersyukur dengan nikmat memiliki 'permaisuri'dalam membina istana kasih dan 'usrah bahagia' dan nikmat memiliki harta...anak-anak yang bisa diatur ...mudah dilentur.. Namun semua itu adalah pinjaman dan tentunya uijian dariMu Ya Allah..

Kepada semua saudara-mara,sahabat handai dan kenalan
Abu Huzaifah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kebaikan kalian dan nikmat persahabatan...semoga kita semua sentiasa IKHLAS dalam mencari kemanisan IMAN dan UKHUWWAH menuju jalan TAQWA.

Dalam kesempatan ini, Abu Huzaifah merakamkan terima kasih kepada Ummu Huzaifah, mentee2 (di IPGKSM) dan bekas-bekas pelajar yang melayangkan ucapan....’eid milad’ seawal pagi 4 Nov .Jazakumullahu khairal jaza'..Wa BarakALLAHU fikum...

Al-Faqir ila afwi Rabbih,
Abu Huzaifah
Dar Mawaddah-Besut

Sunday, October 31, 2010

2010 ; Ujian Buat Hamba Sekeluarga

Posted by Abu Huzaifah On 3:01 AM

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullah
Segala pujian disembahkan kepada Rabb al-Jalil.Selawat dan salam kepada baginda kekasih Allah insan yang paling mulia,ahli keluarga dan para sahabat seluruhnya.

Dengan berlabuhnya tirai bulan Oktober 2010, genaplah tujuh bulan Abu Huzaifah tinggal berjauhan dari isteri dan anak-anak. Ummu Huzaifah bersama tiga cahayamata di selatan tanah air.Hamba, anakanda 'Aisyah dan Huzaifah pula di Besut Terengganu. Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul...namun pejam celik hari berganti hari, minggu berganti minggu dah 7 bulan saya berulang alik .

Ditengah-tengah rutin yang tidak selesa yang menguji kesabaran ini...rupa-rupanya ada rakan ’sewaktu’ yang senasib dengan hamba. Abu Huzaifah bertemu seorang hamba Allah yang hampir setiap minggu berulang alik dari Tepoh, Kuala Terengganu ke Kuala Pilah. Hamba tidak terkata mendengar jawapan beliau...begitu sabarnya pegawai tersebut yang sudah enam tahun berulang alik saban minggu..sudah berapa banyak pendapatan bulanan beliau digunakan untuk tambang bas...mungkin nilainya sudah mampu membayar pinjaman satu perempat harga rumah teres kos sederhana. Andainya perkara ini berlaku kepada anak-anak pegawai yang berjawatan tinggi hamba rasa tentu tidaklah sang suami, isteri dan anak yang masih perlukan perhatian sang bapa mengalami situasi yang ’meragut’ kemesraan dan kasih sayang anak-anak yang menagih rindu saban minggu..

Sebagaimana Abu Huzaifah nyatakan dalam entri bulan Julai lalu..hamba gembira berpindah ke Besut kerana hampir dengan bonda, tetapi perlu berjauhan dari anak dan isteri..itulah pilihan yang ada.

Hakikatnya banyak perkara yang terjejas dalam menghadapi kondisi ini terutama perbelanjaan bulanan yang melibatkan kos sewa rumah, bil letrik,air, minyak kereta, pengangkutan awam, keselamatan dalam perjalanan dan yang paling merugikan masa berada dalam kenderaan awam antara 16-18 jam pergi dan balik hampir setiap minggu dari K.P ke Besut,Terengganu..Untuk tambang bas sahaja wang mengalir RM450 sebulan; cukup untuk gaji biasa seorang pembantu rumah atau gaji guru tadika. Paling merugikan hamba pada bulan Ramadhan lalu tidak dapat berterawih di masjid atau surau pada malam Jumaat dan Ahad. Jika sempat berqiam Ramadhan ketika bas berhentipun tak sempat menghabiskan 11 rakaat terawih dan witir. Itulah kerugian yang perlu hamba terima. Apapun segala yang berlaku Abu Huzaifah anggap sebahagian daripada ujian Ilahi.

Firman Allah swt bermaksud : Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku) Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya dengan ( keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah ) Maka dia diselamatkan oleh Allah daripada angkara tipudaya mereka.

Apapun kalau hendak dihitung dengan ni'mat Allah yang kita perolehi amat banyak, tak terhitung.Ya! Dalam usia masih muda(anggapan sesetengah orang)hamba telah dikurniakan dengan rumah sendiri,kenderaan,isteri dan zuriat dll..banyaknya nikmat Allah ini yang sering 'menghiburkan hati' bahawa sebenarnya dalam sedikit ujian itu ada kemudahan dan rezeki Allah yang luas...

Prestasi pelajaran

Prestasi akademik anak-anak juga sedikit menurun. ’Aisyah yang biasanya setiap maddah mampu mencapai 75%-90%, turun mendadak. Keserasian belajar ditempat baharu terutama untuk memahami teori dan suasana baru....agak menganggu kondisi anakanda sulong kami yang telah berteduh di tiga buah sekolah biarpun masih di alam sekolah rendah. Tahun satu di SK Agama Miri, tahun dua dan tiga di Kuala Pilah dan tahun empat SK Kg.Raja,Besut. Huzaifah putera kami Alhamdulillah masih ’maintain’ dengan mengenggam nombor wahid ketika di SK Tuanku Munawir dan mampu meraih tempat yang sama di madrasahnya sekarang.

Suatu malam hamba menitis airmata apabila menerjahkan pertanyaan sekadar mengujinya ; Kenapa Huzaifah ikut abi ke Besut? Huzaifah sayang dan ingatkan ummi dan adik Ilham tak? Dengan tulus jawapannya mudah sahaja ; ”Sebab Ummi suruh ikut Abi.(kasihan mengenangkan anak-anak usia sebegini mereka sudah teruji).Hamba terdiam sejenak .Ya Allah ! Taatnya anakku sorang ni kpd umminya. Syukur Ya Allah dan Alhamdulillah begitulah Huzaifah feelnya mudah dilentur.

Pernah satu ketika hamba sedang mengajarnya IQRA' ...kerana ada keperluan mendesak saya ke pasar. Selepas pulang dari pasar, Huzaifah masih mengadap buku iqra’...Abu Huzaifah memohon maaf kerana lupa nak tamatkan bacaan tadi.Demikian anakku..moga-moga puteraku menjadi anak yang taat kepada penciptaNya dan menghormati orang-orang dewasa.

Anak ke empat kami pula sering bertanya kenapa Abi dah lama tak hantar Iman ke Pasti? Setiap hari Pak Abbas(jiran kami) yang tolong hantar?luah Iman saat pulang dari Pasti Imtiyaz. Demikian situasi hamba, Ummu Huzaifah dan anak-anak membilang hari bila lagi kami dapat hidup seperti dahulu siang malam sentiasa bersama dalam hilai tawa biarpun kesibukan tak pernah berkurang sebagai murabbi pada siangnya.Si bapa yang perlu berdamping dengan anak-anak mengajar terutama dalam mengenal kalam Ilahi terabai seketika.

Dalam menghadapi situasi begini, jutaan terima kasih tidak mampu Abu Huzaifah ungkapkan dengan kata-kata kepada ’ummi’ anak-anak kesayangan kami ; isteri tersayang dulu,kini dan selamanya.Hanya Allah yang mampu menyediakan balasan yang setimpal di dunia dan di akhirat.

Kepada sahabat-sahabat ziarah(khususnya anak-anak didik hamba)catatan ini bukan memohon simpati .Andai ada secebis n istifadah ambillah ujian dan pengalaman yang hamba lalui ini .Sesungguhnya kehidupan berumahtangga dan berkeluarga bukan sahaja berdepan dengan madu dan manisan..kadang-kadang ujian datang tanpa kita mampu menepisnya.Berbekalkan iman dan taqwa ...ujian yang kecil ini hanya sekelumit dari ujian-ujian Allah kepada sang hamba dibandingkan dengan ujian dan cabaran ibubapa kita generasi terdahulu.

Semoga adik-adik remaja yang sedang dilamun cinta 'perkahwinan'bukan sahaja mengimpikan yang indah-indah belaka...kerana tanggungjawab sebagai sang suami dan sibapa juga perlu dihitung-kira apabila berkeluarga.

Kepada sahabat-sahabat ziarah doakan yang terbaik untuk hamba sekeluarga dan seluruh saudara muslimin dan muslimat. Moga kehidupan kita semua beroleh keredhaaNYA di dunia dan kerehatan abadi di Firdausi.

Akhir bicara semoga hadith ini memberi motivasi kepada diri yang hina ini.Daripada Jabir bin Abdullah R.A. Bahawasanya dia telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tiga hari sebelum baginda wafat ; Janganlah mati seseorang daripada kamu melainkan hendaklah dia bersangka baik kepada Allah Azza wa Jalla.

Al-Faqir ila afwi Rabbih,
Abu Huzaifah
Dar al-Mawaddah, Besut

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU .TERIMA KASIH GURU-GURUKU

Posted by Abu Huzaifah On 1:30 AM


Kejayaan setiap insan pastinya bermula dari pendidikan yang diterap oleh ibubapa seawal usia dan digilap oleh guru-guru mereka secara formal.Hargailah setiap insan yang berbudi kepada kita terutama para guru.

Alhamdulillah segala pujian hanya kepadaMu ,Tuhan sekalian alam.Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw.,ahli keluarga baginda dan para sahabat yang setia menjulang panji-panji Islam serta seluruh para pejuang kebenaran.

Alhamdulillah,hari ini 16 Mei adalah hari bertuah kepada insan bergelar guru kerana hari ini diingati sebagai hari mengenang jasa dan sumbangan guru-guru sepanjang zaman.Tanpa guru yang mengajar,mengasuh dan mendidik kita semua..siapalah kita hari ini???

Pastinya insan yang paling layak kita sanjungi ialah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. ,baginda merupakan ‘mahaguru’ yang paling agung,paling layak dihargai kerana perjuangan baginda yang mengajak seluruh umat manusia menuju cahaya kebenaran yang bersumberkan wahyu Allah Azza wa Jalla.Nabi Muhammad SAW adalah GURU UTAMA dalam hidup setiap umat baginda kerana jasa dan ajaran baginda menjadikan kita individu muslim yang mentauhidkan Allah dan berpegang dengan ajaran Islam yang suci.

Pada kesempatan ini,Abu Huzaifah ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang hamba sempat mengambil ilmu biarpun sekecil mana sumbangan atau jasa mereka.Maka, tentunya orang yang paling hamba hargai ialah bonda dan ayahanda hamba sebagai guru pertama setelah lahirnya hamba ke alam dunia .Bonda tersayang tentunya insan yang mengasuh dan mendidik hamba sejak saat awal kelahiran hingga menjadi dewasa.Darinya hamba belajar bertatih , berjalan dan bertutur dan mengenal apa yang boleh dan apa yang dilarang.

Insan kedua yang menjadi guru hamba ialah almarhum ayahanda yang banyak berkorban siang dan malam. Terima kasih ayahanda kerana mengenalkan hamba ‘ alif sampai ya’ ,mengkhatamkam muqaddam hingga menamatkan al-Quran .Terima kasih ayahanda kerana memilih dan menghantar hamba ke Maahad Muhammadi Lelaki untuk mempelajari ilmu-ilmu al-Quran dan bahasa syurga. Alhamdulillah hari ini, di atas nawaitu ayahanda yang murni, hamba bukan sahaja belajar bahasa al-Quran tetapi sudah mampu mengajarkan orang lain al-Quran dan ilmu-ilmu dari khazanah al-Quran.Terima kasih ayahanda dan bonda .Engkaulah guru pertamaku yang banyak mengajar putih dan hitam kehidupan.

Terima kasih kepada guru-guru yang ikhlas berbakti mengenalkan hamba A,B,C… 1,2,3 dan hari-hari dalam seminggu di tadika Kemas ,Kedai Mulong.

Terima kasih kepada semua guru hamba di SRK Mulong yang mengajar hamba dari darjah satu hingga darjah enam…memori bersama guru-guru tetap dalam lipatan sejarah kehidupan.

Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru hamba dari tingkatan peralihan hingga tingkatan enam di Maahad Muhammadi Lelaki .Terima kasih Ustaz Rozuki yang menimbulkan keinginan hamba mendalami Bahasa al-Quran sehingga memilih Jordan sebagai pilihan.

Terima kasih hamba rakamkan kepada para pensyarah di Universiti al-Bayt,Mafraq Jordan yang menabur budi hingga hamba memperolehi ijazah dalam bahasa dan kesusateraan Arab , disini hamba mengenali kecekalan menghadapi mehnah kehidupan

Terima kasih jua hamba tujukan kepada para pensyarah di Fakulti Pengajian Islam UKM Bangi, disinilah hamba banyak belajar erti kesabaran dan ‘tasamuh’ sesama insan.

Sekalung penghargaan juga buat abang-abang yang pernah menjadi naqib hamba semasa belajar di bumi Anbia; Ust.Ismi M.Taib,Ust Mat Isa Daud,Ust Wan Mohammad,Ust Khairuddin Aman Razali dan Ust.Hj Safwan Ismail.Jazakallahu khairal jaza' wa barakAllahu fikum.

Dan akhirnya hamba rakamkan jutaan terima kasih kepada Ummu Huzaifah isteri tercinta yang banyak membantu hamba mengasuh dan mentarbiyah anak-anak kami berlima ; Aisyah, Asmaa’, Ahmad Huzaifah , Iman Nusaibah dan Ilham Sumayyah menghadapi hari-hari mendatang dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Akhirnya terima kasih kepada sahabat-sahabat dan kenalan di serata ceruk yang kalian bukan sahaja sahabat kepada Abu Huziafah ,kalian juga mungkin guru hamba dalam mempelajari sesuatu yang bermakna dalam hidup hamba sebagai insan. Wassalamualaikum warahmatullah .

SELAMAT HARI GURU,Kullu 'am wa antum bi alfi khair.

Wednesday, March 31, 2010

Dari SMKA Miri ke IPG Sultan Mizan

Posted by Abu Huzaifah On 7:36 PM

Foto kenangan; sambutan Hari guru pada 2007 di SMKAM,Miri

Assalamualaikum warahmatullah.
Segala pujian kepada Allah Azza wa Jalla yang sentiasa mengurniakan rahmat kepada hamba-hambaNya.Selawat dan salam yang berterusan kepada sebaik-baik pesuruhNya Nabi Muhammad SAW,para sahabat baginda dan ahli keluarganya.

Alhamdulillah,setelah tiga hari berturut-turut (24,25 &26 Mac lalu )Abu Huzaifah berulang alik ke Putrajaya menguruskan penempatan baru selepas tamat cuti belajar ,akhirnya terjawab . Bagaikan mimpi disiang hari, hamba tidak terfikirpun untuk berkhidmat di ‘wilayah Besut’ yang terkenal dengan rakyat Terengganu tetapi menggunakan loghat Klate.

Dua minggu sebelum tamat cuti belajar,Abu Huzaifah ke JPN Kelantan di Kota Bharu bertemu ketua Sektor Bahagian Pendidikan Islam(dahulu SPIM).Hamba mendapat layanan mesra dari beliau,namun hakikatnya peluang untuk berkhidmat di Kelantan sekalipun di ceruk Jajahan Gua Musang atau Jeli adalah gelap. Malahan jawapan dari JPN, guru-guru agama di Kelantan sudah lebih dari mencukupi.Wallahu a’lam…

Hamba pulang dari JPN dengan perasaan,entah berapa tahun lagi hamba berjauhan dari ibu sejak mula musafir ke Urdun pada 31 Ogos 1994. Ohh..kena bermastautin di negeri beradat lagilah.Setiap kali cuti sekolah Abu Huzaifah akan membawa anak-anak pulang ke Kelantan dan akan meredahi daerah Bera,Temerloh,Jerantut,Lipis dan Gua Musang yang memakan masa antara 9-10 jam.Kalau pulang bercuti dekat nak raya puasa atau raya haji boleh jadi perjalanan mengambil masa 12 jam. Mungkin bagi sahabat lain tiada masalah memandu dalam jarak perjalanan jauh hatta dari Johor ke Kelantan.Namun bagi Abu Huzaifah ,sangat alah dengan mengantuk Jika memandu lebih sejam mata akan pejam. Sahabat-sahabat hamba sewaktu di Miri ,Sarawak yang pernah berkonvoi dari Miri ke Sabah sangat gerun melihat cara hamba memandu sewaktu pulang dari Ranau nak ke KK semula.Apa tidaknya ,memandu dalam keadaan separuh tidur.Begitulah kelemahan hamba.. Kalau tidak dalam peliharaan Allah dan jagaan Yang Maha Kuasa entah apa yang berlaku.Nauzubillah..

Itulah yang menerawang dalam minda hamba ,ketika pulang dari JPN Kelantan tempoh hari. Harapan Abu Huzaifah hanya satu ,harap-harap kekosongan di sebuah sekolah SBP di Jempol NSDK menjadi taruhan .Seorang sahabat karib hamba memaklumkan akan kekosongan guru Bahasa Arab di situ.Harap peluang masih ada.Daripada hamba ke Pahang yang jauh dari Kuala Pilah dan jauh dari ibu di kampung (Mulong) ,biarlah hamba meneruskan bakti di Negeri Sembilan.


24 Mac,hari Rabu Abu Huzaifah sudah berpakat dengan Ust.Hafizan untuk ke Putrajaya menguruskan penempatan baru selepas cuti belajar yang tamat pada 26 Mac 2010. Hajat hamba ingin ke unit SBP memastikan tempat sebagai guru B.A diisi. Namun ,entah mengapa hati tidak sepenuhnya untuk ke sekolah tersebut…. Tidak timbul rasa ceria sekalipun sekolah yang mungkin saya akan bermukim untuk dua ,tiga tahun di sana pelajarnya senang diatur.Almaklumlah yang masuk ke situ pelajar terpilih seusai tamat UPSR.

Ust.Hafizan mengajak hamba ke BPG dahulu.Hamba pun tidak berbuat apa-apa persediaan untuk ditemuduga atau keperluan lain.Namun ada beberapa helaian ‘ resume’ yang agak lengkap (disegi kronologi akademik )tetapi sijil-sijil pula hamba tinggalkan dirumah.

Sewaktu di kaunter BPG, Abu Huzaifah rasa serba salah nak beri atau tidak resume kepada pegawai terbabit. Dalam hati.. segan juga nak serah sebab sijil-sijil tidak ada bersama.Tak ada bukti,walaupun semua maklumat benar belaka berdasarkan pengalaman perkhidmatan.Hampir-hampir hamba nak keluar dari pejabat BPG dan ingin meneruskan urusan di Unit SBP.

Selepas sesi soal jawab pegawai BPG bersama Ust.Hafizan ,pegawai tersebut menyapa Abu Huzaifah ,: Ustazpun nak minta ke IPG ? Saya mengiakan sambil menghulurkan resume .IPG mana? IPG Sultan Mizan…jawab dengan penuh yakin.Sebenarnya Abu Huzaifahpun baharu dapat maklumat ada kekosongan untuk pensyarah Bahasa Arab di IPG Kampus Sultan Mizan dalam perjalanan menuju ke Putrajaya sebentar tadi.Pegawai tadi meneruskan pertanyaan tentang pengkhususan hamba di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana.Berulangkali beliau meminta kepastian tentang tempat belajar dan takhasus hamba. Masa sudah hampir pukul 4.35 petang.Beliau memberikan harapan…jika ada keperluan BPG akan menghubungi ustaz esok.Itulah janji pegawai tersebut kepada Abu Huzaifah dan Ust Hafizan yang memohon penempatan ke IPG Tuanku Bainun,Pulau Pinang.

Pagi Khamis 25 Mac ,sebagaimana yang dijanjikan seorang pegawai wanita menghubungi Abu Huzaifah untuk mendapat kepastian pengkhususan pengajian hamba.Siswazah Jordan menjadi pilihan kata beliau…IPGKSM hendak Bahasa Arab ,Jordan sahaja. Harapan saya melonjak 70 peratus. BPG mohon hamba hantarkan resume baharu dan salinan sijil-sijil sekali.Abu Huzaifah yang sedang beriktikaf di Masjid An-Nur BBB, memecut laju kereta pulang ke Kuala Pilah. Sebelum petang Khamis 25 Mac berlabuh ,hamba mesti tiba di Putrajaya .

Ringkas cerita, sekali lagi Abu Huzaifah bertemu pegawai di BPG Putrajaya sore 25 Mac.Sebelum meninggalkan Putrajaya, pegawai tersebut memberi harapan 90 peratus kepada hamba.Katanya pagi esok seawal pagi hamba kena laporkan diri ke bahagian Tajaan dan pejabat IPGM di Cyberjaya. Semuanya berlaku dalam tempoh yang singkat..Ajaib dan pelik kata Ust.Hafizan.

Pagi 26 Mac,Abu Huzaifah dan Ust Hafizan ke Cyberjaya ,cuaca baik pada pagi Jumaat itu.Itulah kali pertama hamba ke sana.Hampir sejam kami menunggu surat rasmi yang menentukan penempatan semula ke stesen khidmat baharu. Sah! Abu Huzaifah ke IPG Kampus Sultan Mizan,Besut Terengganu dan Ust Hafizan ke IPG Tuanku Bainun di Pulau Pinang.Perut mula meragam …belum sarapan walaupun jam dah pukul 11 pagi. Gembira berbaur sedih.Sedih kerana Abu Huzaifah terpaksa berjauhan dari isteri tercinta dan anak-anak yang amat perlu kepada perhatian sang bapa. Gembira setelah 15 tahun jauh dari ibu di kampung,kini dah di sempadan Kelantan.

Abu Huzaifah sedar harapan sahabat-sahabat di Kuala Pilah inginkan hamba terus bermukim di sana.Ahli jemaah Madrasah Yam Tuan Beringin masih mengharapkan kuliah hadis Riadussalihin hamba.Banyak tuntutan sebenarnya…Ya!dimana bumi dipijak disitu Islamku Junjung.Sahabat-sahabat di Miri mengajak hamba kembali ke sana .Kuala Pilah pun perlukan ustaz yang prodakwah. Setelah lima hari di IPGKSM ,,,hakikatnya hamba perlu berikan sesuatu untuk siswa-siswi disini ..lebih-lebih lagi pengisian di surau IPG.

Kini Abu Huzaifah meneruskan kelana ,kini di IPGSM Besut .Banyak perkara yang perlu hamba ambil iktibar di atas apa yang berlaku. Kita sering merancang, Allah menentukan.Sesuatu yang payah menjadi mudah bila Allah yang mengatur dan memudahkan urusan hambaNya .Seringkali hamba belajar aqidah ; taqdir , qada’ dan qadar melalui pengalaman hidup harian.

Penutup bicara ,terima kasih kepada sahabat-sahabat di Miri atas perkongsian pengalaman selama hamba di SMKA Miri .Jutaan terima kasih juga kepada Us.Fendi,Us.Bakri ,Us.Zamri Rejab dan Us.Azhan serta teman-teman sekuliah di UKM yang banyak membantu.Tekad dan azam hamba sekarang untuk berbakti di IPGKSM sedaya mungkin ,moga semangat ini terus bersemarak sepanjang masa .Wallahu a’lam.Ila al-Liqa'

Tuesday, January 5, 2010

Masa cuti...masa berharga bersama ibunda ...

Posted by Abu Huzaifah On 8:41 AM


bersama bonda semasa mengerjakan umrah pada hujung Mei 2005.Gambar dirakam di hadapan Masjid Nabawi

Bonda bersama anak-anak dan adikku ketika menziarahi keluarga Abu Huzaifah di K.Pilah
Segala puji dan puja hanya selayaknya kepada Allah Yang Maha Agung.Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W,ahli keluarga baginda ,para sahabat R.A dan pejuang Islam sepanjang zaman.

Awal bicara Selamat Tahun Baru Hijrah 1431H dan selamat bertugas kepada seluruh sahabat warga pendidik seluruh negara.Selamat memulakan sesi persekolahan kepada anak-anak didik hamba, tak lupa juga kepada yang berada di menara gading yang memulakan semester baru pengajian di kampus .

Syukur kepadaNya ,penghujung tahun 2009 Abu Huzaifah berada di kampung halaman agak lama bersama bonda dan keluarga.Ramai sahabat hamba dan rakan-rakan sekerja Ummu Huzaifah bertanya mengapa lama sangat balik kampung? Tak cukupkah kalau berada di kampung satu atau dua minggu? Ada apa di kampung? Ada pula yang berkongsi cerita ;katanya dia jarang balik ke rumah mertua ...kadang-kadang kalau sisuami balik kampung sendiri siisteri tak ikutpun.Demikianlah sebahagian cerita dalam masyarakat.
Kadang-kadang payah juga Abu Huzaifah nak terangkan kepada sahabat-sahabat di sekeliling .Mengapa bila cuti sekolah, Abu Huzaifah agak lama di kampung halaman?

Kepada sahabat ziarah mungkin isu ini tidaklah penting seperti isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E milik negara kita atau masalah jenayah ragut yang berleluasa ,namun biarkan Abu Huzaifah berkongsi cerita suka duka seorang perantau yang telah meninggalkan halaman dan bumi kelahiran hampir 15 tahun yang lalu.

Kata sahabat hamba Ibnu Rajab(http://ibnurajab.wordpress.com ),Nabi Muhammad SAW pun hidup merantau apabila baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan baginda berjaya membangunkan Madinah menjadi sebuah negara yang mendaulatkan kalimah Allah.Dalam sejarah para sahabat R.A, berapa ramai para sahabat syahid di medan jihad sebagaimana yang berlaku kepada mujahidin Islam dalam peperangan Mu'tah.Jarak antara Madinah dan Mu'tah (sekarang dalam negara Jordan) bukanlah dekat.Apatah lagi peristiwa tersebut berlaku ketika lebuhraya dan komuter belum dikenali manusia. Bahkan para sahabat dan tabiin ,ramai yang menghabiskan usia mereka diluar negeri kelahiran.Itulah kehidupan seorang pejuang Islam...mereka yang lahir di Madinah atau Makkah ..akhirnya jasad mereka disemadikan di sebuah daerah yang jauhnya beribu batu.

Sejarah dan catatan kehidupan anak Kelantan merantau sudah sinonim dalam masyarakat Malaysia.Tok Kenali tokoh tersohor, sebelum menjadi ulama' masyhur merantau ke Makkah al-Mukarramah menimba ilmu.Haji Ismail Pontianak ulama Kelantan yang pernah merantau ke Borneo dan kemudian menjadi Mufti di Pontianak ( Indonesia )selama beberapa tahun.Ustaz Yahya Osman (bekas exco Kelantan)pernah menceritakan di hadapan pelajar-pelajar Jordan (dalam satu liqa'), beliau merantau mencari ilmu selama 16 tahun di negara Arab.Prof. Dr.Mahmud Zuhdi bekas Pengarah APIUM dan saudaranya Ust Mohamad Kamil Abd Majid ,berasal dari Nilam Puri pernah menjadi tenaga penting di Uni.Malaya.Demikianlah beberapa nama tersohor ulama' Serambi Makah yang menjadi dalil bahawa anak-anak kelahiran Darul Naim ramai yang merantau sama ada kerana menyebarkan ilmu atau meneruskan kerjaya masing-masing.

Catatan ini bukan bertujuan untuk menyanjung sesiapa.Namun sekadar berkongsi cerita dan pengalaman hidup seorang hambaNya yang kerdil.Insya' Allah di akhir noktah catatan mungkin terjawab mengapa hamba agak lama berada di desa apabila tiba cuti raya atau akhir tahun.

Sebagaimana dikatakan tadi ,anak Kelantan sudah sinonim dengan kehidupan di rantauan.Hari ini jika sahabat ziarah pergi ke sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak,anda dapati hampir setiap sekolah akan ada guru berasal dari Kelantan berkhidmat di sana .Seorang rakan Abu Huzaifah berbangsa Iban (cikgu Anhu a/l Umam dari Sarawak) menyatakan yang beliau semasa di sekolah rendah lagi sudah belajar dengan guru dari Kelantan sehinggalah sampai di universitipun (UUM),pensyarahnya juga dari negeri Cik Siti WK.

Sebenarnya ramai warga pendidik berasal dari warga Darulnaim.Mungkin salah satu faktornya suasana ilmu dan keutamaan terhadap pendidikan Islam subur di Kelantan sejak zaman Tok Kenali lagi.Hari ini di Kelantan terdapat tiga buah Maahad Tahfiz Sains dan sebuah Maahad Tahfiz wal Qiraat kelolaan Yayasan Islam Kelantan.Terdapat lebih 80 buah sekolah menengah agama negeri dan 6 buah SMKA ( KPM ).Semua sekolah tersebut belum termasuk pusat-pusat tahfiz swasta dan persendirian.

Sesungguhnya pendidikan Islam amat subur di Serambi Makah termasuk institusi pondok, terdapat 15 pondok yang masih bernafas dan berkembang di bawah naungan Pusat Pembangunan Pondok Berhad.Manakala pihak YIK sendiri telah mewujudkan sistem pengajian pondok moden di Kandis ,Bachok.

Kembali kepada cerita hamba sebagai perantau, Abu Huzaifah mula menjadi perantau ilmu sejak 31 Ogos 1994 apabila ditawarkan oleh Kem. Pendidikan untuk melanjutkan pengajian BahasaArab di Jordan.Sebelum ke Amman Jordan ,dua bulan kami berkampung di IKIP Pahang untuk mengikuti kursus Bahasa Arab secara intensif.Maka detik itu bermulalah pemusafiran dan kembara ilmu ke Dataran Syam , bumi barakah.Enam tahun hamba merantau di bumi gersang namun subur dengan kemanisan ukhuwwah bersama sahabat-sahabat seperjuangan.Hamba pulang bukan sahaja membawa ijazah bahkan seorang zaujah dan cahayamata kami yang sulong ; 'Aisyah alhumaira'.Niat awal untuk menimba ilmu tetapi tiga dalam satu yang Allah kurniakan.Syukur Ya Allah!

Sepanjang pemusafiran di bumi Anbia' hamba sempat pulang bercuti di Malaysia dua kali;pada musim Soifi 1995(bersama Allahyarham Azamiruddin)dan Julai 1997 bersama 3 orang sahabat junior.Sebagai perantau biarpun kehidupan di Jordan agak selesa sebagai rakyat asing)namun sentiasa berjimat agar di hujung semester dapat melepaskan rindu bersama ayah dan ibu di desa.

Abu Huzaifah pulang ke Malaysia pada 27 September 2000 setelah menamatkan pengajian pada Jun 2000.Ummu Huzaifah menaiki penerbangan 17 hari lebih awal kembali ke tanah air.Kepulangan kami pada tanggal berlainan kerana masalah tiket penerbangan.

Setelah kembali ke tanah air ,belumpun sempat menyantuni ayahanda ; pada penghujung tahun 2000 ayahanda dimasukkan ke wad CCU ,HUSM Kubang Kerian kerana masalah jantung.Setelah enam tahun berjauhan...di situlah Abu Huzaifah dapat berbakti kepada almarhum ayahanda.Membantu beliau mengambil wuduk, kadang-kadang bertayamum..waktu malam tidur dikerusi (di tepi katil ayahanda)..silih berganti bersama adik (Abd Fatah )menjaga ayah di HUSM.Setelah hampir seminggu/dua minggu di sana, almarhum di nasihatkan untuk mendapat rawatan di IJN,Kuala Lumpur kerana di sana mempunyai kepakaran merawat pesakit jantung.

Almarhum ayah ke IJN dengan penerbangan MAS ditemani abang ipar dan seorang doktor dari HUSM.Abu Huzaifah dan kakak (Kak Nor) ke sana selang sehari kemudian menuju ke IJN Kuala Lumpur.Itulah kali pertama hamba ke IJN;masa itu bulan Ramadhan.Pendek kata kami adik beradik yang menemani ayah, berpuasa di hospital beberapa hari.Sempat juga berterawih di hospital tersebut.Menjelang iedul Fitri ,ayah mohon dari doktor yang merawatnya untuk pulang ke kampung dengan alasan untuk bersama keluarga di hari lebaran .Sepatutnya ayah perlu di bedah untuk rawatan selanjutnya .Atas pandangan bersama dia mengelak. Alhamdulillah, selepas keluar IJN kesihatan ayah bertambah baik setelah menerima rawatan biasa di IJN walaupun tanpa pembedahan.

Selepas Iedil Fitri tahun 2001 ,hamba meneruskan pengajian KPLI di MPI,Bangi.Sekali lagi hampir setahun pula hamba bermastautin di B.B Bangi meneruskan pengajian.Ummu Huzaifah pula mengajar di Maahad Muhammadi Lelaki dan kemudian di SMU (Arab) Nipah , Bachok.Sekali lagi hamba berjauhan dari ayah,bonda ,isteri dan anak.Bas ekspress dari Bangi ke Kota Bharu menjadi tempat hamba melelapkan mata dihujung minggu.Kalau hendak balik awal ke KB,naiki bas di Hentian Putra pukul 2.30/3.00 petang pada hari Jumaat.Kerana mengejar masa,selepas tamat kuliah terus bergegas ke Kuala Lumpur dan solat Jumaat di surau Kedutaan Indonesia.Hampir setahun demikianlah rutin setiap dua atau tiga minggu sekali.

Apabila tamat KPLI ,menjelang awal tahun 2002 ,hati rasa berdebar menunggu surat penempatan guru.Hamba amat berharap agar tidak di hantar ke Sabah atau Sarawak atas alasan ayah sering sakit(jantung dan kencing manis).Almarhum agak uzur dan sering ke hospital atau klinik.Seorang pegawai di KPM pernah memaklumkan kepada sahabat hamba; pelatih yang sudah berumahtangga tidak di posting jauh(luar Semenanjung).Hamba berpegang kepada kata-kata tersebut...namun ketetapan Ilahi ,Abu Huzaifah menerima surat tawaran berkhidmat di Sarawak.Sebagai anak lelaki sulong ,hamba merasa berat hati untuk meninggalkan kedua ibubapa yang banyak berjasa.Adik lelaki hamba (Abd Fatah) ke Al-Azhar Mesir dan seorang lagi sedang belajar di Kuala Lumpur.Yang ada di Kelantan dua orang kekanda yang sudah berkeluarga.

Abu Huzaifah tidak berputus asa; demi niat menjaga ayah dan ibu , ditemani dua orang sahabat sepengajian di MPI(Fairuz dan Zaidi) ke JAPIM,KL merayu dari dihantar ke Sarawak.Namun jawapan dari pegawai tersebut menghampakan.Perjalanan jauh hamba dari KB ke KL yang beratus kilometer hanya diselesaikan dengan tiga ,empat patah perkataan.Sedih ...kecewa mengenangkan ayah dan bonda yang bakal hamba tinggalkan.

Apapun setelah tiba di Miri Sarawak,ternyata perancangan Allah adalah segala-galanya.Hamba bersyukur ditempatkan di SMKAM, Miri.Peluang mengajar bahasa Al-Quran dan Pend.Islam sesuai dengan pengkhususan sesuatu yang diimpi.Peluang berbakti terbuka luas bila dilantik sebagai warden asrama. Setiap hari bersama anak-anak didik dari pagi sampai ke malam(pada hari bertugas).Kebaikan dan kecaknaan para sahabat di Miri menjadikan hamba tidak merasa asing berada di sana mencecah enam tahun.

Hubungan sesama rakan-rakan sekerja di SMKAM banyak memberi pengalaman berguna hingga ke detik ini.Tiada sikap mementingkan diri dan bermasam muka ,jika adapun hanya seketika bukan sampai tidak bertegur sapa selamanya.Pengalaman bekerja dan berukhuwah di Miri sesuatu yang bermakna dalam hidup ini.Abu Huzaifah dan keluarga juga berterima kasih di atas kemesraan dan persahabatan dengan ikhwah di Shell, Petronas dan Maktab Perguruan Miri.

Selepas lebih setahun di Miri..ayahanda di desa semakin uzur.Tanpa disangka ketika hamba sibuk menguruskan program Kursus Kefahaman Islam pelajar-pelajat tingkatan satu SMKAM ,almarhum bertarung kesakitan kerana kemalangan motorsikal.Lutut beliau cedera (serius )lalu dimasukkan ke hospital.Selang beberapa hari dibawa pulang ke rumah.Almarhum masih rasai kesakitan..

Pada malam 10 Mac 2003,Isnin malam Selasa seusai program Kursus Kefahaman Islam yang hamba dan sahabat-sahabat (guru agama) kendalikan.Hamba menerima panggilan dari rumah(kuaters SMKAM)kurang lebih 8.30 malam,ketika itu berada di bilik guru .Ummu Huzaifah dalam tangisan ..meminta hamba bersabar.Allah telah memanggil ayahanda yang dikasihi Haji Jaafar bin Ali bin Abdullah PERGI untuk selama-lamanya mengadap Ilahi.Hamba tidak menyangka sakitnya bukan sakit biasa kali ini.Dalam kesibukan setiap hari dengan rutin sebagai guru dan warden asrama , rupanya ayahanda sedang menanggung derita sakit.

Almarhum meninggal diatas ribaan bapa saudaranya(ayah angkatnya).Bapa kepada almarhum meninggal dunia ketika ayah masih remaja.Nenek berkahwin lain,maka ayahanda tinggal dan membesar dibawah jagaan tok saudara .Ayah menghembuskan nafas terakhir saat azan Isyak berkumandang.Ketika saat-saat akhir almarhum ayah meminta untuk bersandar ke tubuh Pak Nik Haji(panggilan bapa angkatnya).Dia ingin duduk dengan selesa katanya...

Dalam esakan kesedihan,hamba menghubungi Ust Ismail Daud untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Kelantan dengan segera.Malam sudah melabuhkan kegelapannya ..tiada perkhidmatan pada masa tersebut.Ust.Amin, pengetua SMKAM menasihatkan hamba dan isteri ke LT Miri seawal pagi lagi.Nasib menyebelahi hamba,ada kekosongan cukup untuk empat penumpang.Penerbangan ke Kuala Lumpur berjalan lancar namun tiada tiket pula untuk ke Kota Bharu.(penuh dengan penumpang balik dari haji).Puas hamba dan zaujah merayu dan mengadu di kaunter MAS ,akhirnya penerbangan pukul 3.30 petang ada kekosongan dan kami tiba di LT Sultan Ismail Petra Peng. Chepa lewat 4.30ptg.Hamba bergegas ke tanah perkuburan .Sudah ketentuanNYA, hamba tidak sempat menatap wajah kudus ayahanda tercinta yang telah banyak berkorban untuk anak-anaknya berenam.Abu Huzaifah tidak sempat mencium dahi almarhum yang sentiasa sujud kepadaNya di waktu dinihari...

Masing terngiang ditelinga,beliu mengejutkan kami solat Subuh dipagi hari.Bacaan solat tahajud dan hajatnya sebelum Subuh sering mengejutkan hamba dari lena berpanjangan.Ketika di Jordan ayah sentiasa mendoakan kejayaan hamba dalam mengharungi pengajian.

Demikian satu catatan kehidupan.Kini bondaku masih bersama kami dalam usia mencecah 70 tahun.Maka ,hamba merasakan alangkah baik dalam keadaan ibu masih ada;sedaya upaya berbakti kepadanya.Cuti sekolah,cuti hari raya dan hujung tahun hamba ingin bersamanya..menyenangkan hati dan sanubarinya .Bersama bonda yang berjasa dari dulu ,kini dan selamanya.Ayah dan ibu setiap anak pasti rindukan kepada zuriatnya..Si anak pula tentulah ingin berbakti dan berbudi kepada siibu.Enam tahun di bumi Anbia',setahun di Selangor ditambah enam tahun di bumi Kenyalang dan dua tahun di negeri Darul Khusus menjadikan Abu Huzaifah sekeluarga 15 tahun berjauhan berada di perantauan .Apalah salahnya sebulan dalam setahun hamba menghiburkan insan yang mengandungkan hamba selama 9 bulan lebih,kemudian mendapat kasih sayang mereka sehingga ke hari ini.

Tidak ada nawaitu lain kecuali menyahut firmanNya dalam al-Quran ,sebagaimana termaktub dalam surah an-Nisa' :"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua.Dan hendaklah kamu berbuat baik dengan kedua ibubapa dan kaum kerabat,anak-anak yatim, orang-orang miskin,jiran tetangga..."

Masa cuti hujung tahun jugalah detik dan ketika untuk saya bersama masyarakat desa(tempat hamba dilahirkan).Sesekali berada di desa,pada malam hari menyampaikan kuliah dan tazkirah.. malam tertentu pula memimpin tahlil dan bermesra dengan jemaah.Semoga amalan diri yang tidak seberapa ini dikira amal soleh dihadapan Allah Azza wa Jalla.

Justeru di akhir catatan hamba dan isteri memohon maaf kerana terpaksa berada lama dikampung halaman apabila cuti sekolah.Bagi Abu Huzaifah,kalau dulu kita ada satu negeri (masa bujang)sekarang sudah ada tiga negeri yang perlu diziarahi.Watan sendiri,negeri asal isteri(Terengganu)dan tempat bermastautin hari ini.Abu Huzaifah dan zaujah memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam beberapa program atau majlis tertentu dek kerana hal-hal yang dinyatakan.

Allah swt menyuruh kita berbakti kepada ibubapa;perintah berbuat ihsan dinyatakan didalam al-Quran.Junjungan mulia menyebut dalam hadis-hadis baginda,di antaranya daripada Abu Hurairah R.A katanya ; seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya , wahai Rasulullah siapakah orang yang paling berhak menikmati pergaulan yang baik? Jawab baginda SAW ; ibumu .Dia bertanyalagi ;kemudian siapa pula ? Jawab Rasulullah ibumu.Dia bertanya lagi ;kemudian siapa pula ? Jawab Rasulullah ibumu .(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Peluang untuk hamba berbakti kepada almarhum ayah hanya sempat beberapa bulan sahaja selepas pulang dari pemusafiran di Jordan ,maka sayugia hamba mengambil iktibar memanfaatkan cuti bersama ibu tercinta menyambut penegasan Nabi SAW ,imam kepada seluruh umat manusia sebagai manifestasi kepatuhan dan ketaatan kepada Allah dan rasulNya.

Salam perjuangan kepada pengunjung blog Abu Huzaifah.Teruskan berjuang mendaulatkan Islam dimana jua berada.Hidup biar berbudi ,berkelana untuk menabur bakti.Wassalamu alaikum warahmatuLLah.

Tuesday, November 3, 2009

Selamat Hari Lahir yang ke 35

Posted by Abu Huzaifah On 8:43 PM


Kehidupan dunia adalah satu perjalanan singkat utk manusia mencari bekalan
menuju ke alam akhirat ,namun ramai manusia terpedaya dan tidak mengambil 
teladan dari sejarah umat terdahulu.

Alhamdulillah segala puji dan puja hanya selayaknya kepada Allah Azza wa Jalla yang menciptakan segala makhluknya.Selawat dan salam buat Rasul Junjungan mulia dan ahli keluarga baginda,para sahabat dan seluruh pejuang Islam .

Alhamdulillah , pagi ini seawal 6.07 minit pagi hamba menerima ucapan tahniah melalui sms dari Bank Islam sempena hari lahir yang ke 35 ( jika ikut taqwim hijrah dah lebih 35 tahun).Semalam CELCOM awal-awal lagi dah hantar ucapan..nampaknya selain dari zaujah hamba , Bank Islam dan Celcomlah yang perihatin dalam hal ini. Agaknya kedua-dua institusi ini memang pandai jaga pelanggan mereka ..

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Ummu Huzaifah yang menjadi teman hidup hamba ketika suka dan duka sejak 1 Sept 1999. Selepas mendirikan rumahtangga kami berjauhan seketika ; hampir setahun apabila Ummu Huzaifah melanjutkan pengajian di IPDA ,Kedah Darul Aman.Terima kasih jua kepada anak murid hamba 'Fatin Shafiqah' di Usim dan Roziana di IPG Miri kerana masih mengingati guru Bahasa Arab kalian yang telah meninggalkan Miri 22 bulan yang lalu .Jazkumullahu khairan

Apabila semakin bertambah umur . .. maka semakin dekatlah saat kita akan bertemu Allah.Dalam mengenang usia yang semakin meningkat, kerap kali hamba akan mengingati dan menginsafi bahawa sudah ramai sahabat seperjuangan...sahabat sepengajian; yang sama-sama berjalan, bermusafir, belajar dan berusrah dan bertamrin suatu ketika dahulu., hari ini mereka telah kembali menemui Ilahi.

Bagi sesetengah orang sambutan hari lahir tentunya saat untuk bergembira dengan mengadakan jamuan dan memotong kek..atau meniup lilin tetapi bagi hamba tarikh ini juga sesuai untuk memuhasabah diri sejauhmana persediaan dan amalan yang telah dilakukan untuk mengadap Tuhan Yang Maha Esa.

Seingat hamba..sudah ramai sahabat2 yang dahulunya bersama dalam kegembiraan kini telah kembali ke rahmatullah.Antaranya sahabat hamba yang pernah seusrah ketika di Dataran Syam( Jordan ) seperti Allahyarham Rasyimi Rafsanjani , Zainul Aman ,Fakrul dan dua orang lagi yang mati dalam kemalangan ngeri di Aqabah, Jordan pada tahun 1995.

Manakala seorang lagi sahabat karib yang pernah seusrah ( bermula Jun 1994 ketika berkursus di IKIP Pahang ) juga telah mengadap Ilahi sepuluh tahun kemudian pada 3 Jun 2005 yang mana ketika itu hamba menerima berita kematian Allahyarham Azamiruddin Awang sebaik pulang dari solat Jumaat ketika berada di Makkah al-Mukarramah mengerjakan umrah .

Demikian juga , sahabat senior hamba Ustaz Jamnul Azmin ( adik kpd Dr Jamnul Azhar Mulkan )telah kembali menemui Ilahi lebih kurang setahun selepas hamba pulang dari bumi Jordan.Kali terakhir hamba bertemu beliau ketika bermalam di rumah Allahyarham (ketika transit ) dalam rehlah siswi Universiti al-Bayt ke Mu'tah dan Aqabah pada lewat September 1999 .Ketika itu Ust Wazi (kini pensyarah KIAS) hamba dan Ummu Huzaifah menjadi muraqib ahkawat dalam rehlah Soifi.

Dan tahun lepas ,seorang lagi sahabat junior hamba di Universiti al-Bayt iaitu ustaz Hafiz Kamil yang dahulunya pernah hamba berguru dengan beliau dalam mempelajari tarannum al-Quran telah menemui ajalnya di Besut Terengganu selepas beberapa tahun berhempas dengan penyakitnya.Kalau hendak dikira , rasanya sudah ramai juga sahabat-sahabat Jordan yang dipanggil mengadap Ilahi dalam usia yang muda .Semoga mereka semuanya ditempatkan bersama para solehen ,syuhada' dan para anbia' A.S.

Hamba bercerita , mengenang kembali sahabat-sahabat lama bukan untuk "bernostalgia",untuk berduka nestapa .Namun disebalik kehilangan mereka , hamba sendiri akan memikirkan APAKAH persediaan hamba dan tetamu ziarah yang budiman bagi kita yang masih bernyawa buat bekalan mengadap TUHAN.Usahlah kita merasakan bahawa kita telah bahagia dengan pencapaian yang kita perolehi hari ini dengan memiliki isteri,anak-anak dan sedikit harta berupa rumah dan kereta.

Dalam ruangan ini , hamba mengajak sahabat-sahabat ziarah ; ayuh MARILAH sama-sama kita memakmurkan bumi Allah dengan usaha-usaha dakwah ,melaksanakan amar makruf dan Nahi mungkar .Bersamalah kita islahkan bumi Allah melalui amal jamaie dan ijtimaie..usahlah memberikan alasan lapuk tidak mahu terlibat dengan kerja -kerja dakwah kerana sibuk dengan anak-anak dan bini.Marilah kita makmurkan rumah Allah dengan solat jamaah , tazkirah dan tazkiyah .Usahlah dikira keletihan yang seketika cuma.
Abu Huzaifah ketika diziarahi akhi Syahir dan isterinya ( dahulu pernah bersama
hamba
di Miri)

Sahabat-sahabat kita yang telah pergi , takkan kembali lagi sebagaimana ungkapan almarhum ustaz Asri Rabbani . Adapun kita yang masih berteduh di bumi Allah Yang Maha Penyayang , masih punya masa dan peluang untuk BERAMAL .

Firman Allah bermaksud :
Dan katakanlah (wahai Muhammad ) Beramallah kamu , maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata..
( surah al-Taubah : 105 )

Akhir bicara , jazakumullahu khairan kepada sahabat-sahabat ziarah , kenalan dan anak-anak didik hamba dimana jua berada di atas doa kalian selama ini .Doakan hamba dipermudahkan segala urusan kebaikan .Wassalamu 'alaikum wa rahmatuLLah.