Tuesday, February 21, 2012

Jutaan rakyat Syria Bersumpah Untuk Syahid!


 Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

dipetik daripada : http://sayangislam.com (blog ummu Abbas)

Kita panjatkan doa qunut nazilah untuk saudara-saudara kita di Syria. Semoga Allah terima amalan kita sebagai usaha membantu saudara-saudara kita yang teraniaya di sana.
Nu’man bin Basyir r.a melaporkan bahawa Nabi s.a.w. berkata:
“Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang-orang beriman diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam serta merasa panas dan gelisah.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
FATWA ULAMA SYRIA
Kenyataan ulamak terkenal Syria, Syeikh Muhammad Abul Huda Al-Ya’aqubi yang menyeru kebangkitan rakyat menentang kezaliman rejim Basyar:

Wahai rakyat Syria! Sesungguhnya rejim telah melakukan penyembelihan terbaru setiap hari di Homs dan di tempat-tempat lain yang dikepung, maka sudah sampai masanya untuk tidak harus kita duduk berdiam diri. Demikian itu kerana wajib kita membantu golongan yang lemah, mengharamkan mereka dari meneruskan pembunuhan, mempertahankan hak manusia. Ini kerana rejim hari ini sudah hilang kelayakan memerintah, maka kami mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi kita memikul senjata dan meniup semboyan bagi menghapuskan mereka yang membunuh secara berleluasa demi menyelamatkan nyawa-nyawa lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga tua di Homs, Zabdani, Dir Zur, Lazaqiyah, pinggir Halab dan semua bandar-bandar di Syria. Ramai penduduk yang sudah disembelih, rumah-rumah dimusnahkan dan manusia yang dibunuh oleh skuad penembak. Oleh itu, kami mengeluarkan fatawa bahawa:

Pertama: Wajib bagi tentera dan polis rejim keluar dan menyelamatkan diri

Kedua: Wajib bagi pasukan tentera simpanan untuk menyertai tentera yang berpaling tadah dan tidak boleh bagi mereka menyertai tentera rejim. Wajib bagi rakyat memberikan bantuan sedaya mungkin kepada pasukan tentera yang berpaling tadah ini dari sudut perlindungan dan apa jua bantuan.

Ketiga: Wajib bagi para peniaga dan usahawan mengumpulkan sumbangan kewangan bagi membantu daerah yang dikepung.

Keempat: Wajib bagi para ulamak dan khatib menyeru kepada kebangkitan selain mendirikan solat ghaib untuk roh mereka yang terkorban.

Kelima: Kami menyeru kepada penduduk Damsyik dan Halab menyertai kebangkitan ini

Keenam: Kami menyeru kepada para pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli politik dan pegawai diplomatik kerajaan untuk keluar dari pentadbiran rejim.


PUISI UNTUKMU, SYRIA

Saudara-saudara Islamku di Syria,
Hatiku bersama hatimu
Jantungku berdegup bersama jantungmu
Aqidahku bersama aqidahmu
Tuhan kita hanya SATU… Allah!
Nabi untuk kita hanya satu…Muhammad s.a.w
Akhawatmu akhawatku
Ikhwanmu ikhwanku
Anak-anak lelakimu, anak-anak lelakiku
Anak-anak perempuanmu, anak-anak perempuanku
Ibubapa kamu, ibubapaku
Kita adalah satu jasad
Kita adalah satu ummah
Perjuangan kita hanya satu
Membebaskan bumi ini dari para taghut
Menyebar keadilan ke seluruh benua
Kutangisi pemergianmu
Namun
Aku berbangga
Sekaligus…
Aku cemburu
Menyaksikan impian Rasulullah s.a.w yang tidak tercapai
Dianugerahkan Allah buatmu
Itulah SYAHID.
Ya Allah,
Ampunilah segala dosa kami
Maafkanlah segala kelemahan kami
Dalam mentaatiMu

Ummu Abbas
1.26pm
21 Rabi’ul Awwal 1433H
Melbourne

Thursday, February 16, 2012

Keuntungan Menggila 83.233% ke atas segelas air!

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menguatkuasakan dengan segera Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap kedai, restoran dan kedai kopi yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk air minuman. Pihak kementerian tidak seharusnya menunggu pengguna untuk membuat laporan dikenakan bayaran berlebihan tetapi menggunakan kuasanya di bawah Akta itu untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Daripada laporan media, dinyatakan bahawa pengguna dikenakan bayaran sehingga RM1.50 untuk segelas air.  Menurut SYABAS, mereka mengenakan caj RM2.00  bagi 1,000 liter air di Selangor. Berdasarkan kepada caj itu, segelas air (300 ml) yang biasanya berharga 50 sen di beberapa kedai sepatutnya hanya berharga RM0.0006 sen.  Ini bermakna restoran dan kedai memperolehi keuntungan 83,233% bagi setiap gelas air yang dijual. Ini merupakan satu rompakan di siang hari! 

Pihak restoran berkata harga air meningkat memandangkan mereka terpaksa mengambil kira kos yang ditanggung. Bagaimanapun, CAP merasakan ia bukanlah alasan yang wajar kerana sekalipun perbelanjaan yang ditanggung diambil kira, harganya masih tinggi.

Sebaliknya sudah menjadi satu kebiasaan di sesetengah restoran dan kedai untuk menghidangkan air sebaik sahaja pelanggan mereka duduk. Dalam kebanyakan kes, air tidak diminum memandangkan pelanggan memesan minuman lain dan air itu dibuang begitu sahaja. Dalam keadaan ini, air seharusnya dihidangkan jika pelanggan memintanya. Oleh sebab itu CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan Akta itu.


S.M Idris
Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
No. 10, Jalan Masjid Negeri,
11600 Pulau Pinang.
Tel: 04-8299511 Faks: 04-9298109 

Wednesday, January 11, 2012

UiTM diarah bayar bekas pelajar RM254,059 akibat kemalangan

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar gantirugi RM254,059 kepada bekas pelajar universiti itu yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di kampus universiti itu pada Mei 2006.
  
Hakim Datuk Hinshawati Shariff memberikan plaintif, Nur Faizurah Amat @ Sani, RM24,058.99 sebagai gantirugi khas, RM70,000 ganti rugi am dan RM20,000 bagi surgeri di masa depan bagi kecacatan pada kakinya.

Plaintif juga diberikan RM15,000 bagi tulang belakangnya yang retak, RM10,000 bagi parut di badannya, RM5,000 bagi kecederaan di kepala dan RM40,000 bagi kesakitan dan penderitaan dan RM70,000 bagi pengehadan perubatan iaitu tidak boleh mempunyai lebih daripada tiga orang anak akibat kecederaan itu.
  
Nur Faizurah, 30, yang kini bekerja sebagai eksekutif bank, cedera parah dan terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang apabila beliau tersadung dan terjatuh dari tingkat dua bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di universiti itu di Shah Alam pada 21 Mei 2006. Beliau berada di sana bagi mengambil jubah dan untuk menghadiri raptai bagi majlis konvokesyen selepas menamatkan pengajian pada 2005.
  
Hakim Hinshawati berkata UiTM didapati 70 peratus bertanggungjawab manakala kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian di tingkat dua bangunan itu 30 peratus bertanggungjawab bagi kemalangan itu. Beliau juga memerintahkan defendan menanggung kos perbicaraan itu dengan jumlahnya akan ditentukan kemudian.
  
Dalam kemalangan itu, Nur Faizurah berada di lobi lif di tingkat dua Menara Sultan Abdul Aziz Shah apabila beliau tersadung pada sesuatu dan hilang imbangan badan sebelum terjatuh pada jarak setinggi 6.09 meter (20 kaki) ke tingkat bawah.
  
Plaintif dalam tuntutannya difailkan pada 2008 berkata kawasan tempat beliau jatuh sedang diubahsuai, dengan terdapat banyak pasir dan bahan binaan di atas lantai, manakala besi penghadang di sekeliling balkoni itu telah dialih tanpa sebarang tanda atau notis untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai kerja ubahsuai itu.
  
Oleh yang demikian, berlaku kecuaian di pihak defendan dalam mentadbir kawasan ubah suai itu kerana tiada penghadang diletakkan untuk mengelak pelajar daripada pergi ke balkoni yang terdedah dan bahaya, katanya.

Plaintif dihantar ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) dan dirawat selama sebulan di samping menjalani pembedahan tulang belakang. Pembedahan dan rawatan di SMC memerlukan Nur Faizurah membayar RM32,256 dan beliau telah meminta UiTM membayar bil perubatan itu tetapi universiti itu enggan berbuat demikian dan meminta kontraktor menanggung kos itu.

Bagaimanapun, kontraktor hanya membayar RM20,000 daripada bil itu dan enggan membayar lebih banyak, mengakibatkan defendan masih berhutang dengan SMC manakala hospital itu enggan memberikan rawatan susulan kepadanya sehingga hutang itu diselesaikan.
  
Akibat kecederaan itu, beliau sering berasa sakit dan tidak boleh berdiri atau duduk bagi tempoh yang lama, berjalan untuk jarak yang jauh atau terbabit dalam aktiviti sukan. Kesakitan itu bertambah teruk dalam keadaan cuaca sejuk.

Thursday, January 5, 2012

Isu Pelajar Malaysia di UK ; Siti Fatimah Masih Istiqamah dan Terus Cemerlang

Assalamu 'alaikum,

Hangat diperkatakan seluruh negara, mahasiswa cemerlang Malaysia ke United Kingdom membuka aurat, hilang jati diri dan sebagainya. Pesan kami, jangan kita menjadi terlalu negatif, kerana kita semua manusia ada kelebihan dan kekurangan, dan ramai lagi watak cemerlang negara yang terus mengekalkan jati diri dan nama baik negara untuk kita semua teladani. Ambillah yang jernih. Mari kita belajar daripada contoh-contoh kejayaan dan positif. 

Anak Kelantan (bekas pelajar Maahad Muhammadi Perempuan KB) yang menduduk tempat pertama dalam SPM 2006, dengan 17 1A dan 1 2A, kini sedang membuat jurusan perubatan (Medicine) di University of Nottingham, United Kingdom. Beliau ialah Siti Fatimah Mukhtar.

Masih kekal dengan imej tudung labuh, masih kekal dengan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang Muslimah. Inilah watak yang seharusnya menjadi contoh kepada seluruh anak muda dan para pelajar di seluruh negara.
 Siti Fatimah bersama dengan keputusan peperiksaan SPM 2006 beliau. Cukup cemerlang sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh negara dengan 17 1A dan  1 2A.
  
Fatimah (kiri sekali) bersama rakan-rakan kuliah perubatan di University of Nottingham,
masih mengekalkan imej bertudung labuh walaupun berada di negara Barat.
Fatimah (dua dari kiri) menyemak bacaan Quran rakan beliau.
 
Masa lapang digunakan untuk mengajar dan sama-sama bertadarus al-Quran bersama 
teman-teman di sekitar Nottingham, UK. Majlis sering dihadiri oleh para pelajar
Malaysia, Brunei dan Indonesia yang bacaan mereka disemak oleh Fatimah. 

nota = dipetik dari blog yang boleh dilayari dari http://mengajipastiboleh.blogspot.com/.Jazakumullah khayra kepada tuan blog.

Monday, January 2, 2012

Puluhan Ribu Hadir Program Ilmu Sambut Tahun 2012 Bersama Ust Azhar Idrus


SHAH ALAM, 1 JANAURI: Puluhan ribu orang hadir ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang turut menggandingkan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya membawa pendekatan baharu dan berbeza pengisian ilmu malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih hebat berbanding jumlah kehadiran ke program “Karnival Sayangi Selangor” dan sambutan malam tahun baharu I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja. Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.
Mengikut laporan-laporan di blog dan media sosial program yang di bawa oleh kerajaan Selangor yang mengisi malam sambutan tahun baharu 2012 dengan pengisian ilmu dan bermanafaat memang dinanti oleh masyarakat. Mereka juga menyatakan komen positif di atas kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha menangani gejala tidak sihat dalam sambutan tahun baharu.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan “kena dengan caranya”.

Antara pimpinan kerajaan Selangor yang hadir malam semalam  ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Dr Yaakob Sapari serta ahli parlimen Shah Alam; Khalid Samad.

Saturday, December 31, 2011

Sambut Tahun Baru Tanpa Maksiat

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt. apabila sambutan tahun baru kali ini tidak lagi didominasi oleh aktiviti maksiat dan mungkar seperti pesta mandi buih, larian tanpa pakaian, malam tanpa seluar dalam,  dan macam-macam lagi nama program karut yang menggerunkan insan beriman mendengarnya.

2. Wallahu a'lam, jika saya terlepas pandang atau tidak mengetahui bahawa masih berleluasa pesta-pesta maksiat melampau sedemikian, namun sekurang - kurangnya tahun ini sambutan tahun baru telah dimeriahkan program alternatif yang tetap menawarkan keseronokan dan hiburan yang  terkawal tanpa maksiat dan mungkar.

3. Kini masyarakat mempunyai pilihan. Khasnya anak-anak muda yang tidak lagi dikepong oleh aktiviti hedonisme sebaliknya dihadapan mereka terbentang pilihan alternatif yang mampu membebaskan mereka dari pengaruh maksiat dan mungkar.

4. Antara contoh program alternatif yang saya maksudkan, untuk sekitar Lembah Kelang sahaja ada 6 program yang cukup menarik dan meriah.

a] Konsert Hibur Didik di Dataran Greenwood,  Gombak.
Majlis ini bermula malam ini [31 Disember]
Menariknya program ini turut disertai DPPM membuat persembahan bersama bekas kumpulan - kumpulan rock yang mula mendekati dakwah Islam.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150434675321123&set=a.139739791122.124204.670736122&type=1&ref=nf)

b] XPDC Dakwah oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), di Masjid Jamek Bandaraya KL.
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- best sebab ada bedah buku dan boleh belajar tentang dakwah secara praktikal di Dataran Merdeka.

(https://www.facebook.com/events/236589383076588/)

b]  Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati (Masjid Negara / Dewan Jawi)
- Mula tengahari 31 Disember hingga tengahari 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Shoutul Harakah dan larian 1000 pemuda.

(https://www.facebook.com/events/208410885904653/)

c]  Soal Jawab Agama USTAZ AZHAR IDRUS (Dataran Kemerdekaan Shah Alam)
- Mula malam ini [31 Disember]
- Ust Azhar Idrus berganding dengan Zizan Raja Lawak.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150423649556612&set=a.466868491611.253845.247020686611&type=1&ref=nf)

d]  Malam Apresiasi Ikim.Fm, (di Masjid Wilayah Persekutuan KL)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Prof Dr.Muhaya dan ramai artis nasyid yg hadir.

(http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=171%3Amalam-apresiasi-ikimfm-2011&catid=61%3Aberita-terkini)

e] Program Indahnya Islam, (di Masjid As-Syakirin KLCC)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada banyak bedah buku menarik terutama buku Abdul Latip dan forum oleh Fatimah Syarha.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2683729527154&set=a.1223249936077.2034960.1073841570&type=1&theater)

5. DPP juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk sambutan tahun baru. Sebagai contoh DPP  Indera Mahkota akan menganjurkan XPDC ke Cherating atau ke kawasan yang dikenali "Kampung Yahudi". Begitu juga DPP turut menganjurkan mini konsert. Pastinya Motto kita ialah " HIBURAN TANPA MAKSIAT"

6. Akhirnya saya ucapkan tahniah kepada ngo-ngo Islam yang kian aktif dan berani menganjurkan program alternatif kepada masyarakat kita khasnya muda-mudi agar mereka tidak hanyut dan terjebak dalam kancah maksiat dan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt. khasnya sempena sambutan tahun baru. Mudah-mudahan perkara ini akan terus berkembang dan menjadi fenomena di saban tahun.

Nasrudin bin Hassan al-Tantawi
Ulama Muda & Pendakwah 
Bookmark and Share

Saturday, December 24, 2011

Kembara Abu Huzaifah ke bumi Medan

saat  ketibaan di bumi Medan, sore 2.00pm waktu Sumatera Utara
makan tengahari bersama ahli rombongan..mendapat layanan yang baik.Menu makanan 
lebihkurang citarasa Malaysia



bermalam di Danau Toba menikmati keindahan alam ciptaan Allah,mengikut cerita 
Tasik Toba terbentuk rentetan ledakan gunung berapi hampir 5000 tahun lampau
Masjid Maimon di kota Medan dibina pada zaman Kesultanan Deli,
masih utuh hingga sekarang
Kebebasan politik terpapar selepas era Suharto, dimana2 terdapat
papan tanda parti politik tanpa contengan atau unsur sabotaj

Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah tuhan sekalian alam yang mengizinkan hambaNya mengecapi berbagai ni'mat yang tak terhingga.Selawat dan salam ke atas junjungan mulia PesuruhNya nabi Muhammad saw. dan ahlu al-Bayt serta para sahabat baginda yang setia.

Tanggal 18-21 Dis lalu, abu Huzaifah bersama rakan-rakan sekerja berlepas ke Medan Indonesia untuk lawatan ke negara jiran, Indonesia yang terkenal dgn bumi pelancongan hari ini. Suatu ketika dahulu, Indonesia telah berjaya melahirkan dua tokoh besar Nusantara iaitu Buya Hamka dan Pak Nastir yang terkenal dgn buah fikiran berbaur dakwah dan pengislahan umat. Hari ini Indonesia terkenal sebagai negara yg mempunyai umat Islam teramai dengan kepadatan penduduk yang sukar bagi mana-mana pemimpin mentadbir negara sebegitu rupa.

Insya Allah jika kelapangan Abu Huzaifah akan merakamkan sedikit sebanyak catatan minda yang terakam sepanjang kembara 4 hari  3 malam. Selamat menatapi foto-foto yang menjadi sejarah perjalanan seorang hamba di dunia fana sebagai sebahagian proses pencarian ilmu melalui pemerhatian melihat pelbagai budaya hidup, adat, perkembangan siasah dan tradisi masyarakat muslim dan non Muslim di bumi yang memiliki ratusan pulau ini.



Friday, December 16, 2011

IKLAN: SEMINAR PERUBATAN ISLAM DI KIAS, NILAM PURI

Assalamualaikum warahmatullah

Tuan /puan dijemput menyertai Seminar Perubatan Islam Menurut al-Quran dan Sunnah
pada 17 Dis 2011/21 Muharram 1433H pada hari Sabtu bermula 8.00 pagi. Yuran penyertaan hanya RM20 sahaja. Pengisian akan disampaikan oleh al-Fadhil Ust Hj.Abdul Halim in Mohd Saud dan beberapa perawat lain.

Pendaftaran masih dibuka sehingga hari seminar.Untuk pendaftaran dan keterangan sila hubungi Ust Muna di talian 013-9950908

Wednesday, December 7, 2011

HIJRAH DIRI DAN DAULAH PERANGI JAHILIYAH

dipetik dari http://ekhutbah.wordpress.com   

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat  5 surah Ibrahim :

وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur

Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1433H yang mengingatkan kita bagaimana kita bukan sahaja menyambut bulan yang baru malah melangkah kepada tahun yang baru. Sempena berada pada bulan Muharram marilah kita sama-sama menghayati beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan ini termasuk peristiwa Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan para pengikutnya daripada kalangan bani Israel daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang dihancurkan dengan tenggelam lemas dalam Laut Merah. Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ  -  رواه البخاري
Maksudnya : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya: Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik di mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  - رواه مسلم
Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Setiap kali menyambut kedatangan bulan Muharram maka kita dihidangkan dengan kisah Hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah tanah air tercinta ke Kota Madinah. Kegagalan dalam meletakkan betapa bernilainya pengajaran Hijraturrasul menyebabkan ia hanya menjadi sambutan tanpa tindakan sewajarnya.

Oleh itu kita wajib berusaha dalam memartabatkan nilai hijrah dalam diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara barulah kebaikan hijrah dapat dirasai dan membawa nilai yang tinggi dalam membentuk peribadi dan suasana yang hebat. Peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri kepada manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri oleh Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah. Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.

Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Inilah antara intipati hijrah yang mahu kita suburkan dalam masyarakat kita yang semakin hilang jatidiri sehingga agama dipinggirkan manakala hawa nafsu dijadikan Tuhan. Kesannya begitu dahsyat di mana jika pada zaman jahiliah anak perempuan dibunuh hidup-hidup atas alasan bawa sial sedangkan jahiliah moden membunuh anak lelaki dan perempuan akibat merebaknya zina. Penzinaan menyebabkan dari tahun 2008 hingga 2010 seramai 152 182 orang anak luar nikah dilahirkan mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Itu belum kira masalah dadah dan jenayah-jenayah lain yang semakin merebak ketika Hukum Hudud ditentang oleh umat Islam sendiri daripada dilaksanakan. 

Kejayaan dan kegagalan kita bergantung pada sejauh mana kita mahu berhijrah kepada keadaan yang lebih baik berasaskan Islam. Nabi Muhammad s.a.w berjaya membina tamadun hebat kerana melaksana sistem Islam dengan menghancurkan jahiliah sedangkan sebahagian besar  umat Islam hari mengagungkan jahiliah dengan meninggalkan sistem Islam sehingga merana dan hina di negara sendiri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Hijrah turut mengajar kita tentang cabaran, ujian, halangan, tentangan yang bakal kita hadapi dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ramai mana yang gugur syahid, ramai mana yang dipenjara, ramai mana yang dibuang negara semata-mata berjuang pada jalan Allah.

Hijrah turut menyingkap bagaimana pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah dan berdirinya Daulah Islamiah bukan secara kebetulan malah penuh perancangan. Antaranya Madinah merupakan negara strategik kerana subur dengan pertanian sedangkan Mekah banyak bergantung pada perdagangan. Madinah berada di tengah-tengah laluan perniagaan antarabangsa sehingga mampu memberi tekanan kepada kafir Quraisy yang terpaksa melalui Madinah sekiranya mahu berniaga. Madinah juga mempunyai sistem pertahanan yang kukuh yang mampu menjamin keselamatan.

Ciri-ciri ini mesti kita perkasakan dalam negara, supaya kita mampu maju ke hadapan bukannya terpaksa bergantung pada negara luar dalam setiap keperluan. Kita mesti rasa sedih bila bumi kita subur untuk pertanian tetapi masih banyak bergantung kepada negara lain untuk hidup seperti banjir besar yang melanda Thailand baru-baru ini menyebabkan bekalan sayur, buah-buahan, beras, lembu berkurangan dalam negara sehingga harga melambung tinggi. Begitu juga sistem pertahanan kita yang masih bergantung pada sistem luar sehingga membuka masalah rasuah dan pecah amanah dalam pembelian senjata. Itu belum diambil kira tentang betapa amanahnya kepimpinan nabi dan para sahabat dalam mentadbir negara berasaskan Islam sehingga daripada sebuah kerajaan kecil akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya menguasai Empayar Hindu India dan Empayar Budha China. Sebaliknya negara kita terpaksa menjemput  pihak asing untuk mentadbir negara dengan bayaran mahal ketika rakyat terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kepimpinan nabi dan para sahabat sentiasa membuka ruang untuk menerima teguran dan krtikan membina sedangkan kempimpinan kita bukan sahaja tidak mengendah penyelewengan dan pecah amanah yang merugikan berbilion duit rakyat malah berusaha mengekang suara rakyat dengan undang-undang yang mundur ke belakang. Kegagalan kita untuk berhijrah dari segi kepimpinan menyebabkan kita bakal menanggung risiko negara muflis ditambah dengan masalah sosial dan jenayah yang semakin tinggi. Berhijrah dan berjaya atau duduk ditakuk lama dan terus hina dan merana.

Hayatilah makna sebenar hijrah untuk berjaya dunia dan akhirat:
قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sunday, December 4, 2011

Merebut Kelebihan Bulan Muharam


بسم الله الرحمن الرحيم
dipetik dari : http://ustazazhar.net

ALLAH s.w.t berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi s.a.w bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saturday, November 26, 2011

Hukum Hudud : Hanya Muslim Jahat Yang Takut

oleh : Pemuda Islam WP.Labuan


Tulisan ini mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha, menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam kepada masyarakat keseluruhannya?

Kebiasaannya mereka yang menentang hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada jahil, atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan hukum Hudud digeruni oleh Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu takut.

Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan (kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin.

Tidak pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum memandang serong terhadap usaha pihak2 yang ingin mendaulatkan hukum Islam. Mufti-mufti, ulama’ samada dalam parti politik atau non partisan mendiamkan diri, tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.

Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat Kerajaan Kelantan mengangkat hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama mereka?  Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama
.
Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey “semua”  rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka.

Satu ketika kononnya seorang tokoh negara kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju? Bagaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya. Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya.

Persoalannya, adakah dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim?

Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuknya sedikit sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.

Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?

Tuesday, November 15, 2011

Fenomena meng'tawhibkan(mengwahhabikan) orang yang tidak sealiran

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullah. 
Kepada sahabat-sahabat ziarah yang dikasihi, kali ini Abu Huzaifah ingin memaparkan satu catatan dari sahabat hamba yang ditulis pada bulan September lepas. Biarpun catatan ini telah hampir dua bulan berlalu, namun Abu Huzaifah merasakan ianya wajar dikongsi bersama pembaca lain. Isu siapa Wahhabi? dan sejauhmana aqidah yang dibawa aliran Salafi/Wahhabi adalah menyesatkan dan membawa kekafiran menjadi isu yang tidak berkesudahan. Apa yang lebih malang terdapat segelintir penceramah agama dan penulis buku yang sentiasa menyemarakkan titik bengit ini sehingga mengelirukan kefahaman umat Islam di Malaysia khususnya orang awam sehingga menimbulkan tuduh-menuduh dan melabelkan dengan berbagai gelaran.

Saya telah beberapa kali membaca tulisan sahabat ini ( Abu Haseef) yang boleh dicapai dari blog beliau di http://mufakkir-islami.blogspot.com. Semoga perkongsian ini memberi kebaikan kepada sesiapa yang berhajat kepada penjelasan isu-isu berkaitan topik diatas.Selamat membaca...!

*************

Penulis mulakan tulisan ini dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 10 :
فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ.
“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.

Penulis berlindung dengan Allah SWT daripada sebarang perasaan hasad dengki, niat buruk dan perancangan jahat daripada mana-mana orang yang  "berpenyakit hati", semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk-Nya kepada penulis dan mengampunkan dosa orang yang "berpenyakit hati".


Penulis sebenarnya amat yakin, antara punca segala kekeliruan, kekecohan, penyelewengan, pendustaan dan pembohongan adalah bermula daripada "penyakit hati". Seseorang tidak akan bertindak mengata, menuduh semberono, menempelak, memperlekeh, menjatuhkan maruah orang dan lain-lain jika hatinya benar-benar ikhlas, suci dan murni. Hanya hati yang rosak dan punah sahaja yang akan melakukan itu semua. Apatah lagi jika hati yang rosak itu datang daripada seorang bergelar 'ustaz', 'ahli tariqat', 'syeikh mursyid' dan pelbagai lagi gelaran keagamaan yg pastinya akan melambangkan kethiqahannya (kebolehpercayaannya) di kalangan para pengikut.


Dalam banyak-banyak fenomena, "gerakan tawhib" adalah salah satu fenomena yang jelas menunjukkan betapa implikasi hati yang rosak itu bertindak. Bak kata pepatah, 'membujur lalu melintang patah', golongan ini tanpa menghiraukan sesiapapun, apapun keadaan dan situasi yg sebenar, faktanya, kesahihannya..hanya jika boleh dikaitkan dengan Wahhabi maka dicoplah orang yang dituduhnya itu Wahhabi walaupun mungkin orang yang dituduh langsung tidak tahu menahu apa itu Wahhabi, bahkan mungkin orang itu juga sebenarnya adalah penentang Wahhabi!


Pada asasnya, gerakan tawhib bukanlah suatu fenomena yang pelik jika dilakukan oleh penganut Syiah. Ini kerana, golongan Syiah memang bijak mengkambinghitamkan fahaman Wahhabi untuk meloloskan diri mereka masuk bersama-sama golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya'irah-Maturidiyyah). Mereka mendakwa hanya Wahhabi lah yang menolak Syiah, selain daripada Wahhabi mereka tidak akan menolak Syiah, malah akan rapat dan boleh berkawan serta menerima Syiah sebagai mazhab kelima. Adapun yang menolak Syiah itu semata-mata adalah Wahhabi. Walaupun pada zahirnya mereka itu adalah penganut dan pendukung mazhab ASWJ Asya'irah Syafi'iyyah, namun hakikatnya di sisi Syiah mereka itu tetap Wahhabi penyamar yang merosakkan perpaduan umat Islam.



Bagi penulis, ini adalah taktik biasa Syiah untuk mengelirukan orang awam kalangan penganut Sunni. Sebagai contoh, dalam kes terbaru di Melaka, antara buku yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Melaka dalam serbuan tersebut adalah sebuah buku tanpa penulis dan penerbit berjudul "Benarkah Salafi-Wahabi Pemusnah Islam dan Pembunuh Umatnya". 


Apa yang menarik adalah kerakusan dan kegelojohan puak Syiah Malaysia melabelkan ramai tokoh ilmuan dan para asatizah sebagai Wahabi secara membuta tuli termasuk Pengerusi Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Abdul Shukor Husin, Ketua Pengarah Jakim, Tn Hj Othman Mustapha, Dr. Zahazan Muhammad, Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Prof. Zakaria Stapa, Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi, penulis sendiri dan lain-lain. Dalam memorandum Syiah kepada YDP Agong lebih mengejutkan apabila al-Fadhil Us. Uthman El-Muhammady yang amat tegas dalam mendepani Wahhabi turut dilabel oleh Syiah jadian sebagai Wahhabi nawasib.   

Sebaliknya ustaz-ustaz yang turut sama membantai Wahhabi dan agak lunak terhadap Syiah tidak dimasukkan pula dalam senarai yang dikutuk Syiah, tetapi tulisan-tulisan mereka dijadikan hujjah sokongan terhadap kebenaran Syiah dan kebatilan Wahhabi. Nama-namanya tidak perlu disebutkan di sini kerana mereka itu memang pun terkenal di kalangan pengikutnya.  


Itu kisah gerakan tawhib di kalangan Syiah, apa yang menjadi ralat, adalah kegelojohan mentawhib di kalangan ustaz-ustaz Sunni sendiri. Sehinggakan jika tiada bukti pun maka bukti palsu pun sanggup direkayasa, dicetak dan dijual kepada umum! Apa yang penting orang yang dituduh itu berjaya ditawhibkan, maka jadilah ustaz itu Wahhabi yang 'najis' di kalangan orang awam yang tidak tahu apa-apa.


Fitnah buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy"


Penulis sebenarnya, tidak pernah terbayang akan menjadi mangsa tawhib. Masakan logik kerana penulis sendiri beraqidah Asya'irah dan bermazhab Syafi'i. Mempelajari Syarh Jauharat al-Tawhid karangan al-Laqqani dan kitab-kitab Syafi'iyyah secara talaqqi. Pernah mengajar kitab fiqh Syafi'i, Fathul Mu'in, Kifayatul Akhyar, Sifat Dua Puluh dengan syarh kitab Usuluddin al-Islami dll. Bagaimanapun dengan dasar yang terbuka dan bersifat muqaranah ketika pengajian di peringkat BA di(universiti Al-Bayt)Jordan, maka penulis diajar untuk menilai setiap aliran yang lain secara ilmu, adil dan beradab. Bermakna apa jua hikmah yg boleh diambil dari aliran lain, maka tiada sebab untuk ianya tidak dimanfaatkan, tetapi hendaklah disesuaikan dengan waqi' dan keadaan setempat, lebih penting hendaklah meraikan aliran arus perdana sedia ada. 


Isu buku Muhammad bin Abdul Wahhab


Antara punca tuduhan Wahhabi dikenakan kepada penulis, berpunca daripada satu risalah kecil karangan penulis berjudul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (SMAW) ketika menjadi Imam 1 di Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya. Risalah itu ditulis atas permintaan para jemaah masjid yang ingin mengetahui apakah itu Wahhabi dan asal usulnya. Apa yang cuba penulis sampaikan adalah pandangan yang adil dan sederhana terhadap tokoh yang dikaitkan dengan terasasnya gerakan Wahhabi. Ini langsung tidak bermakna penulis bersetuju dengan uslub dakwah Wahhabiyah yang wujud di negara kita pada hari ini. Kerana itu, banyak dalam kuliah-kuliah, penulis membetulkan tuduhan-tuduhan keras pengikut Wahhabi seperti bid’ah tahlil, tidak sampainya bacaan al-Qur’an kepada si mati, wirid selepas solat dan lain-lain. Bagi penulis, mengambil sudut positif yang wujud pada dakwah dan pemikiran SMAW tidak bermakna penulis menerima semua pendekatan yang dibawa oleh beliau.

Perkara ini, dapat dilihat sebagaimana pendekatan yang diambil oleh ramai para ulama Asya’irah muta’akhirin yang memilih tidak berkonfrontasi dengan sejarah dan sumbangan SMAW yang pada hakikatnya telah pun pergi menemui Penciptanya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi atas setiap perbuatan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, tidak hairan kita melihat bagaimana para ulama tersebut mengambil sudut positif atas sumbangan yang telah diberikan oleh SMAW.


Antara ulama tersebut adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang banyak menyentuh tentang jasa dan sumbangan SMAW di dalam kitab-kitab dan tulisan-tulisannya. Contohnya, al-Qaradawi menyebut SMAW (dengan gelaran al-Imam) sebagai antara tokoh muslih yang mengutamakan penyucian aqidah dari perkara khurafat dan syirik di dalam kitabnya “Fi Fiqh al-Awlawiyyat”.

Manakala Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili pula pernah mengarang buku berjudul “Ta’aththur al-Da’awaat al-Islahiyyah al-Islamiyyah bi Da’wah al-Syaikh Muhammad bin Abd al-Wahhab”. Buku ini menyebut tentang sumbangan dan pengaruh dakwah SMAW terhadap gerakan-gerakan pengislahan Islam.

Begitu juga beberapa ulama al-Azhar yang terkenal seperti bekas Syeikh al-Azhar al-marhum Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq dan al-marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali. Antaranya Syeikh Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq menyebut dalam kitabnya “Bayaan linnaas”:

وقد ظهرت في القرن الثامن عشر الميلادي حركة إصلاحية بالجزيرة العربية عرفت باسم "الوهابية" نسبة إلى زعيمها "محمد بن عبد الوهاب" الذي ولد في العيينة من بلاد نجد سنة 1116 هـ "1704 م" الذي توفي في شوال سنة 1206 هـ "1792م" على ما جاء في بعض المصادر...تقوم هذه الدعوة على تنقية الدين من الشوائب عقيدة وسلوكا...
“Bahawa muncul pada kurun ke 18 miladi, satu gerakan  islah di Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai Wahhabiyah sempena nama pengasasnya Muhammad bin Abdul Wahhab yang dilahirkan di Uyaynah, Najd pada tahun 1116/1704 yang wafat pada bulan Syawal 1206/1792 seperti yang disebutkan dalam sesetengah rujukan…dakwah ini (beliau) adalah berdasarkan penyucian agama daripada kekotoran aqidah dan akhlak…”.

Syeikh Muhammad al-Ghazali pula menyebut dalam kitabnya “al-Da’wah al-Islamiyyah tastaqbil qarnaha al-khamis ‘asyar” berkenaan dakwah SMAW:

" ومع أننا نعيب على العرب تقاعسهم في خدمة الثقافة الإسلامية الصحيحة إبّان هذه القرون الهامدة من الحكم التركي ، إلا أننا نذكر أن الحركة الوحيدة التي نهض بها العرب لإصلاح العقائد والعبادات ومحو ما شابها من زيغ وانحراف. . نعني حركة الإصلاح التي قام بها محمد بن عبد الوهاب في جزيرة العرب ... " 
“Walaupun kita kecewa dengan orang-orang Arab atas kegagalan mereka berkhidmat bagi kebudayaan Islam yang sahih pada ketika kurun-kurun kejatuhan pemerintahan Turki, tetapi kita mengingati bahawa satu-satunya gerakan yang membangunkan orang Arab untuk pengislahan aqidah dan ibadah serta memadamkan apa yang dicemari oleh penyelewengan…kami maksudkan ialah gerakan islah yang dijalankan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab di Semenanjung Tanah Arab”.

Selain itu kita juga boleh melihat sanjungan tinggi yang diberikan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, salah seorang ulama Syam terhadap SMAW. Lebih mengagumkan pujian terhadap SMAW diberikan ketika beliau menulis kitab yang mengkritik beberapa tokoh aliran Wahhabi iaitu Syeikh Nasiruddin al-Albani dan beberapa lagi. Beliau menyebut dalam kitabnya “Kalimaat fi Kasyf Abathil wa Iftiraa’aat” berkenaan SMAW :

فأما الشيخ محمد بن عبدالوهاب رحمه الله تعالى ، فهو إمام الدعوة غير منازع ، وقد كان داعية الى الله تعالى ، وقام بالدعوة بحاله ومقاله وعلمه وقلمه
“Adapun SMAW rahimahullah ta’ala, beliau adalah imam dakwah tanpa ragu, beliau berdakwah menyeru kepada Allah ta’ala, beliau bangkit berdakwah dengan perbuatan, ucapan, ilmu dan tintanya…”

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak pendirian ulama Asya’irah terhadap SMAW, pandangan Muhaddith al-Haramayn Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki di dalam kitabnya “Mafahim Yajib an Tusahhah” paling memberi kesan yang mendalam terhadap pendekatan penulis kepada golongan Wahhabi. Kita dapat lihat bagaimana pendekatan yang penuh hikmah dan bijaksana digunakan oleh beliau dalam berhadapan dengan ketaksuban dan kefanatikan golongan Wahhabi terhadap aliran mereka. Beliau menggunakan pendekatan dengan membersihkan segala tuduhan yang dipalitkan kepada SMAW seperti tuduhan SMAW menolak mazhab, mengkafirkan umat Islam, menolak tawassul dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan SMAW dan menjadi ikutan kepada pengikut Wahhabiyah (inilah yang penulis bentangkan dalam risalah kecil tersebut). Melalui pembersihan terhadap peribadi, dakwah dan pemikiran SMAW, Syeikh Muhammad ‘Alawi mengajak supaya pengikut aliran Wahhabi berpatah balik dan mengambil pendekatan yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan oleh pengasas gerakan mereka, SMAW. Malah antara ungkapan beliau yang memuji dan menunjukkan tazkiyah beliau terhadap SMAW adalah tulisannya :

وها هو إمام التوحيد ورأس الموحدين يقول : كلمته السديدة بحكمته الرشيدة التي بسببها انتشرت دعوته بين الأنام واشتهرت طريقته عند الخاص والعام

“Dan ini dia imam tauhid dan ketua golongan muwahhidin yang mengungkapkan ucapannya yang benar dengan hikmahnya yang bijaksana yang dengannya tersebar dakwahnya antara manusia dan termasyhur gerakannya di kalangan golongan agama dan awam”.

Ringkasnya, setelah disenaraikan beberapa tokoh ulama besar Asya’irah di atas dan pandangan positif mereka terhadap pengasas gerakan Wahhabi, dapat disimpulkan bahawa; Menyebut dan menyanjung sumbangan seseorang yang berbeza aliran atau mazhab bukan bermakna kita menganut aliran atau mazhab mereka. Adakalanya para ulama ingin menunjukkan sikap tasamuh (toleransi), hormat menghormati dan sangka baik mereka terhadap tokoh-tokoh yang telah meninggal dunia. Adakalanya juga ia sebagai suatu pendekatan yang berhikmah dalam menyedarkan pengikut aliran tersebut daripada kefanatikan dan ketaksuban yang pada hakikatnya menyalahi pendekatan yang dibawa oleh pengasas aliran mereka sendiri.

Oleh itu, jika dengan pendekatan para ulama Asya’irah ini memuji dan menyanjung seorang tokoh yang berbeza aliran, maka dianggap mereka adalah penganut atau bias aliran tersebut, maka silalah kepada mereka yang dangkal pemikirannya untuk menuduh Syeikh al-Qaradawi, Syeikh Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki dan ramai lagi seperti Syeikh 'Athiyyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Syeikh Salim Muhammad Salim (Setiausaha Lajnah Fatwa al-Azhar) dll sebagai Wahhabi atau bias Wahhabi. Apa lagi terhadap penulis yang teramat da’if ini…

Sementara itu, Panel Kajian Aqidah Jakim sendiri, sekurangnya-kurangnya telah membentangkan isu Wahhabi sebanyak tiga kali iaitu pada mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000, mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002 dan mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac 2003. Kesemua mesyuarat telah memutuskan bahawa aqidah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara bid’ah dan khilafiah.


Selain itu, ia juga telah dibincangkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat.

Semua keputusan ini dibuat sebelum penulis mula bertugas di Jakim pada tahun 2005. Bermakna sebarang dakwaan yang mengatakan penulis bertanggungjawab sehingga menyebabkan Wahhabi tidak difatwakan sesat adalah satu pendustaan oleh orang yang menuduh. Kepada Allah jualah penulis serahkan urusan penuduh-penuduh itu.


Penulis sendiri sebenarnya, dalam banyak tulisan, cuba menegur dan menasihati rakan-rakan Salafi agar sentiasa menjaga adab dan disiplin ilmu dalam membahaskan masalah agama. Antara tulisan-tulisan penulis yang mengkritik tokoh dan gerakan Wahhabi seperti isu tawassul , kritikan Asya'irah terhadap Salafi , pesanan buat pendukung salafi , isu mengintip , kritik mufti perlis , risalah Bahaya Anti Mazhab ,isu Maulidur Rasul , isu bid'ah dan lain-lain.  


Tetapi penulis amat faham, gerakan tawhib memang tidak mengira sasarannya, sesiapa sahaja yang dianggap musuh, tetap saja akan diwahabikan.

Demi tawhib sanggup bercakap bohong

Dalam buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy" juga mendakwa penulis 'menyusup masuk' ke taklimat MKN berkenaan isu Wahhabi dan dikhuatiri membongkar maklumat sulit berkenaan. Bagi penulis ini adalah tuduhan yang paling menjijikkan daripada seorang bergelar ustaz. Malah penulis yakin, si penuduh yang mengarang buku ini sedia maklum bahawa dia telah menipu dan berbohong kepada para pengikutnya. Tanpa apa-apa bukti, tiba-tiba membuat kenyataan palsu kononnya penulis ‘menyusup masuk’ ke taklimat tersebut sedangkan penulis diminitkan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim di atas surat jemputan MKN supaya menjadi wakil rasmi Jakim ke taklimat tersebut. Adakah pergi sebagai wakil rasmi dianggap sebagai ‘menyusup masuk’? Kedua, penulis dituduh membocorkan maklumat sulit tersebut kepada pihak media tanpa mengemukakan sebarang bukti. Penulis juga yakin penuduh tahu bahawa dirinya telah berdusta. Jika penuduh bercakap benar, sila laporkan tuduhan tersebut kepada polis supaya siasatan dapat dilakukan.

Oleh sebab itu, dalam blog ini juga penulis telah bersumpah atas nama Allah, bahawa Allah menjadi saksi akan tuduhan pengarang buku ini adalah dusta, palsu dan berniat jahat untuk menjatuhkan integriti penulis sebagai pegawai kerajaan.

Kepada pengarang buku "Siapakah Sebenarnya Wahhabiy", penulis ingatkan beliau dengan hadith-hadith Rasulullah SAW berikut :

Rasulullah SAW bersabda :
كفى بالمرء كذباً أن يحدث بكل ما سمع
 Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap yang dia dengar (tanpa saringan)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan hadith Rasulullah SAW :
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda munafik itu ada tiga: jika bicara berdusta, jika berjanji menyelisihi janjinya, dan jika diberi amanah mengkhianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Isu Jurnal Penyelidikan Islam

Penulis sebenarnya telah bawakan gambaran yang adil terhadap fahaman Wahhabiyah sesuai dengan keputusan Panel Kajian Aqidah Jakim yang mengatakan Wahhabiyah masih termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ), tetapi isu-isu furu’ yang dibangkitkan perlu ditangani. Kerana itu, dalam tulisan jurnal tersebut, penulis cuba bentangkan pro dan kontra aliran Wahhabiyah. Bagaimanapun orang yang tidak berpegang pada keputusan Jakim mengenai Wahhabiyah sememangnya pada awal-awal lagi akan menolak tulisan ini kerana bagi mereka Wahhabiyah adalah sesat lagi menyesatkan dan terkeluar daripada ASWJ, malah sebahagiannya mengatakan terkeluar daripada Islam kerana mereka adalah golongan mujassimah. 


Dalam satu artikel lain tentang Wahhabi, penulis sendiri pernah menyebut dengan jelas bahawa "Adapun doktrin yang melampau di dalam aqidah sehingga menjisimkan Allah SWT dengan perkataan-perkataan yang jelas seperti golongan Karramiyyah atau mencaci dan menghina pegangan kepada mazhab adalah dilarang dan terkeluar daripada prinsip Ahli Sunnah Wal-Jamaah". Perkataan penulis ini kemudiannya dinukilkan oleh ramai orang termasuk kalangan mereka yg mewahabikan penulis sendiri.  
  
Untuk mengetahui pendirian lanjut penulis tentang soal tajsim dan mujassimah, sila dengar rakaman kuliah berikut. Klik di sini .  

Isu al-Ahbasy

Berkenaan isu al-Ahbasy, pengarang buku mendakwa kononnya penulis telah menuduh dan menjaja ke sana ke mari bahawa Syeikh Abdullah al-Harari dan jemaahnya sebagai sesat. Seingat penulis, ketika kali pertama kertas kajian tentang al-Ahbasy dibentangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jakim (PKA) kali ke-36 pada 15 November 2007, penulis sendiri telah menulis dalam kesimpulan kertas itu bahawa kumpulan al-Ahbasy dan yang sealiran dengannya adalah termasuk ke dalam golongan ASWJ kerana mereka beraliran Asya’irah dalam aqidah dan bermazhab Syafi’i dalam fiqh. Apa yang ditolak adalah dasar beragama yang ekstrim sehingga mengkafirkan golongan yang tidak sependapat.

Isu Ahbasy sekali lagi dibentangkan dalam mesyuarat PKA kali ke-41 pada 8-10 Disember 2010 setelah satu kajian dibuat oleh penulis dan dua orang ahli PKA di Lubnan. Hasil kajian memutuskan bahawa, metodologi dakwah Syeikh Abdullah al-Harari dan Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah serta yang sealiran dengannya berkemungkinan hanya sesuai dengan waqi’ setempat di Lubnan tetapi ia tidak sesuai untuk digunapakai di negara ini.

Walaupun dalam kajian tersebut, penulis dan ahli PKA telah mendengar kritikan yang sangat negatif terhadap Syeikh Abdullah al-Harari dan jemaah al-Ahbasy ketika menemuramah Prof. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, bagaimanapun kritikan itu diabaikan kerana ingin berlaku adil kepada al-marhum Syeikh Abdullah dan pengikutnya. Jika penulis berniat jahat terhadap jemaah al-Ahbasy, mungkin boleh sahaja penulis sebarkan rakaman video temuramah bersama al-Buti itu yang sememangnya amat keras terhadap al-Harari dan jemaahnya. Malah penulis boleh sifatkan kritikan al-Buti terhadap al-Ahbasy jauh lebih keras berbanding kritikannya terhadap Wahhabiyah.

Oleh itu, tuduhan pengarang bahawa penulis menjaja ke sana ke mari kononnya jemaah al-Ahbasy adalah sesat hanyalah rekayasa beliau sendiri untuk mengambarkan seolah-olah penulis seorang Wahhabi tegar yang gemar menuduh orang secara membuta tuli.


Hentikan gerakan tawhib (mewahabikan orang)


Penulis melihat kebelakangan ini, wujud kecenderungan yang melampau untuk mewahabikan orang itu dan orang ini. Apakah sebenarnya faedah daripada gerakan ini? Jika itu dikatakan dakwah ASWJ, ia sudah tentu batil kerana tujuan dakwah ASWJ adalah untuk mendekatkan diri seorang da'i kepada mad'u-nya, bukan menjauhkan atau menjatuhkan maruah orang lain dengan tuduhan-tuduhan dan label-label tertentu. Gerakan ini seolah-olah ingin mengatakan sesiapa sahaja yang mempunyai apa-apa kaitan (dalam apa jua bentuk) dengan ulama kerajaan Saudi, universiti di Saudi, tokoh-tokoh Salafi seperti Muhammad b. Abdul Wahhab, Ibn Kathir, Ibn Qayyim, Ibn Taimiyyah dll maka dijangkiti virus Wahhabi, bahaya dan boleh membawa kepada keganasan.


Bagi penulis, ini bukan pendekatan yang digunakan oleh para ulama Sunni yang soleh dan ikhlas dalam berdakwah. Kita boleh lihat bagaimana institusi Sunni (Asya'irah-Maturidiyyah) terkemuka dunia, Universiti al-Azhar dan seluruh para ulamanya menangani isu Salafiyyah/Wahhabiyyah dengan penuh hikmah dan bijaksana bukan secara membuta tuli, tuduh menuduh, fitnah memfitnah seperti sikap sesetengah pendakwah sunni di negara ini. Pengajaran ketika penulis berkursus di Masyiyakhah al-Azhar sangat bermanfaat dan menginsafkan dalam hal ini. 


Soalnya, jika kegelojohan mentawhibkan orang ini terus berleluasa, siapa yang untung? Ya, bukan Ahli Sunnah yang untung sebaliknya tentulah golongan seperti Syiah dan ajaran sesat lain yang untung. Ingat! Bagi puak Yahudi, Nasrani dan musuh-musuh umat Islam lagi ramai ustaz-ustaz yang berjaya diwahabikan, makin berjayalah gerakan mereka... 
  
Wallahu a'lam.













Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...