• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

SOLAT JUMAAT TERAKHIR BUAT SAHABAT( Al-Marhum Ust.Ahmad Abd Ghani)

Posted by Abu Huzaifah On 11:45 PM


Masjid Bilal bin Rabah, Universiti Al-Bayt ; tempat pelajar Malaysia bertalaqqi 
menerima mutiara ilmu selain dari di bilik-bilik kuliah

Kenangan di bumi Syam ; bersama sahabat2 seperjuangan di Urdun pada
majlis sambutan Iedil Fitri pelajar Malaysia ,Jamia'ah al-Bayt

Assalamualaikum warahmatullah

Petang Jumaat tanggal 23 Zulkaedah beberapa hari lalu bagaikan suasana suram.Cuaca pada sore itu diselimuti mendung biarpun tidak hujan.  Ummu Huzaifah sedang melayani FB sekali sekala membalas sapaan anak-anak muridnya yang ditinggalkan  tiga bulan lalu semasa berkhidmat di SMS Tuanku Jaafar di negeri beradat Perpatih.

Abu Huzaifah yang turut ada bersama terpandang satu mesej (dalam group khirrij Al-Bayt)  dari Ust.K.Anwar memaklumkan kepada sahabat2 khususnya bekas pelajar Ja’miah Al-Bayt, Jordan bahawa Ust.Ahmad Abdul Ghani (generasi ke-4 ) telah terlibat dengan satu kemalangan di Grik Perak dan meninggal dunia. Jam di hp hamba hampir 5.30 petang. Hati saya sayu dan sebak.

Terkejut... pantas minda saya cuba mengingati wajah beliau kerana sudah lebih 10 tahun saya tidak menatapi wajahnya. Susuk tubuh yang sentiasa ceria dan mesra. Menghormati senior-senior lain tanpa mengenal daerah dan loghat. Segera Abu Huzaifah membayangkan wajah al-marhum kepada isteri yang berada disamping. Saya memanjangkan kalam : ” Ingat tak  Ahmad Abdul Ghani yang menyanyikan lagu-lagu nasyid bersama Sabri Zakaria dan Bahauddin semasa majlis walimah kita? Saya cuba mengembalikan nostalgia majlis walimah kami tanggal 1 dan 2 September 1999 di Bayt Zhilal Mafraq 12 tahun yang lalu.

Dalam majlis walimah bersejarah itu, Ust Uda Kassim dan Ust Harme membawa bunga manggar : Ust Azahar (tok Ayah) mempersembahkan silat dan Ust Sabri Zakaria, arwah Ahmad Ab.Ghani, Bahauddin, Hasmadi , Husni dan ramai lagi mendendangkan nasyid dan menghadiahkan lagu ’teman sejati’ buat kami pasangan raja sehari. Foto-foto almarhum dan sahabat2 lain masih tersimpan kemas dalam album walimah kami. Sekadar mengingatkan diri semula.

Semasa Abu Huzaifah di ijabkabulkan, sahabat-sahabat seangkatan dengan hamba ramai yang dah pulang ke Malaysia termasuk arwah Ust.Azamiruddin, Zawawi, Zamri Kashfullah dan Hafizullah. Seingat  Abu Huzaifah yang masih menghuni bumi Mafraq ialah ; Pak Syeikh , Pak Lah , Itqan,Fendi , Kamal Nazmi, dan Muzaha. Ust Hazman Hasyim (sekarang imam) mengetuai jawatankuasa kerja majlis walimah sebagai pengarah. Sahabat-sahabat dari generasi almarhum Ust Ahmad lah yang turut membantu termasuk memasak dan berarak ke rumah Bayt Zhilal dan rumah Ust Kamal Nazmi (mantan Presiden PRISMA) di Hayyu Dhubbat.

Seingat saya juga ; hamba tidaklah terlalu rapat dengan arwah. Bersahabat seperti biasa sebagaimana dengan junior yang lain. Apapun jika dibandingkan dengan pelajar seangkatan dengan almarhun, beliau dan almarhum Ust.Hafiz Kamil( meninggal beberapa tahun lalu) adalah yang kerap saya temui dan berbualmesra bila bertemu. Rumah al-marhum di Hayyu Sikah berjiran dengan Hayyu Hussain pernah saya jengah dan sempat menikmati makan malam bersama ahli bayt Nik Nizam dan Shahriman Abu Bakar.

Dua tahun keberadaan Abu Huzaifah dalam  Biro Kebajikan PRISMA yang turut  mengambil berat ehwal kebajikan dan perumahan ahli membolehkan hamba mengetahui  lokasi rumah pelajar2 Malaysia. Semasa cuti Soifi kerja  hamba dan AJK Kebajikan  mencari rumah-rumah sewa  untuk pelajar baharu. Kalau tak silap hamba Ust.Ahmad adalah pelajar persendirian, oleh itu beliau sentiasa berhemah dalam perbelanjaan tidak semewah pelajar-pelajar  tajaan. Demikian nostalgia lama bertandang sejenak.

Minda hamba juga teringat ada sahabat di Grik yang sedang menabur khidmat di negeri Perak yang berjiran dengan Kelantan iaitu Ust. Wan Hakiman yang berasal dari Pasir Mas. Telefon bimbit saya capai dan menghubungi  beliau. Katanya dia dalam perjalanan menuju hospital disana. Masih belum pasti adakah almarhum masih bernafas! Jika ada maklumat terkini maklumkan kepada hamba.

Melewati jam 6 petang, Ust Hakiman hubungi hamba semula. Comfirm Ust Ahmad telah menghembuskan nafas selepas mengalami kemalangan dengan sebuah trailer usai solat Jumaat tadi. Jenazahnya akan dimandi dan dikafankan dihospital itu. Hati saya semakin sayu mengenangkan seorang lagi sahabat Urdun kembali rahmatullah. Almarhum Azamiruddin dan Hafiz Kamil telah mendahuluiku beberapa tahun lalu.

Saya ingatkan Ust. Hakiman, jika mengetahui nombor zaujah dan alamat arwah di Kelantan...mohon dihantar segera kepada Abu Huzaifah. Saya khabarkan kepada Ummu Huzaifah; jika diizinkan Allah pagi esok kita bertolak ke Jeli. Jajahan Jeli adalah satu daerah yang asing bagi saya biarpun jaraknya dua jam sahaja dari Kota Bharu.

****************************
Awal pagi Sabtu, 7. 40 pagi sms dari Ust Hakiman hamba terima. Nombor telefon arwah tertera. Saya telefon keluarga almarhum dan meminta alamat rumah keluarganya di Jeli. Saya meminta Ummu Huzaifah segera menyiapkan anak-anak. Kali ini saya mahu pergi ; kalau sempat nak lihat jenazah beliau. Dah ramai sahabat lama yang sama2 belajar di Urdun meninggal yang tak sempat diziarahi. Semasa almarhum Ust Azamiruddin meninggal( 2005) saya di Makkah. Ketika Hafiz Kamil meninggalkan dunia yang fana ini hamba di N.9. Biarlah kali ini  saya sempat mengucapkan takziah dan menyatakan simpati kepada usrah beliau. Pagi itu saya meredah jalan ke Jeli melalui Rantau Panjang menuju ke rumah almarhum.

Saya ditemani sepupu yang pernah bertugas di JPN negeri. Beliau sering keluar ke jajahan lain seluruh Kelantan dalam melaksanakan tugas. Perjalanan Abu Huzaifah dari Nilam Puri ke Jeli untuk tiba ke rumah almarhum lebih mudah melalui Rantau Panjang. Jalan tidak sibuk walaupun hari cuti. Pukul 11.22 pagi kami tiba di perkarangan rumah keluarga beliau...jenazah almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kg.Pasir Dusun sejam yang lalu. Orang ramai dan saudara mara masih ramai memenuhi ruang tamu dan perkarangan rumah.

Tiba dirumah keluarga Ust Ahmad saya memperkenalkan diri  dan menemui abang beliau. Abu Huzaifah mmemohon untuk bertemu bapanya..Hampir sejam hamba dan Ummu Huzaifah berada disisi keluarga  mereka. Isteri Ust.Ahmad masih dalam situasi kejutan menerima berita yang sangat memilukan.

Dari perbualan bersama ayahanda almarhum Ust Ahmad mengalami kemalangan dengan sebuah trailer. Beliau keseorangan semasa memandu ubtuk pulang ke Grik setiap petang Jumaat selepas solat. Kata bapanya kemungkinan trailer terbabit memasuki lorong sebelah beliau memandu dan bertembung. Kereta Wira yang dipandu arwah agak teruk. Kemungkinan juga tubuh almarhum  tercampak keluar dari kenderaan. Arwah mengalami pendarahan yang serius di kepala.

Ajalnya sudah tiba biarpun ramai antara kita yang pastinya menjadi kejutan kepada ahli keluarga dan sanak saudara. Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Anak yang ketiga baru berusia hampir 6 bulan.

Abu Huzaifah cuba menyelami kesukaran arwah yang terpaksa berulang alik dari Grik Perak-Jeli  saban hujung minggu. Bukan baharu tetapi sejak beliau bertugas di Daro Sarawak  lagi Ust Ahmad hanya dapat bertemu mata sekali sekala denga isteri dan anak-anak. Hajat beliau suatu masa ingin berkhidmat di tanah kelahiran tetapi panggilan Allah mengadapNya lebih dahulu.

Hamba  dan Ummu Huzaifah mendoakan almarhum Ust. Ahmad meninggalkan dunia fana ini dengan beroleh keampunan daripada Allah Azza wa Jalla dan ditempatkan bersama para solehin dan siddiqin. Beliau meninggal usai solat Jumaat pada hari penghulu segala hari. Moga beliau dipanggil dalam keadaan dibaluti air wuduk ; selesai melafazkan doa kudus kepada Penciptanya dan selesai melakukan  amalan paling mulia sujud kepadaNYA.

إنا لله وإنا اليه راجعون

Oleh kerana ada permintaan dari beberapa sahabat (alumni Urdun) untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga al-marhum di Jeli Kelantan sebagai tanda kebersamaan menerima taqdir Allah SWT. Maka sesiapa yang berhajat bolehlah masukkan sumbangan ke akaun Bank Islam, ( 05-030- 02-016570-7)atas nama Mohammad Kamil Jaafar. Saya akan sampaikan sumbangan tuan-puan kepada isteri  atau ayahanda beliau. Jazakumullah khairan kathira.

Monday, September 5, 2011

Perginya Seorang Ulama Terbilang Selepas Berakhir Ramadan

Posted by Abu Huzaifah On 9:31 PM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
1.  Syawalku untuk  1432 hijriah ini tiba - tiba menjadi suram, seakan turut bersedih mengiringi perkelanaan abadi seorang mursyiidul ummah al-Marhum Tuan Guru Hj Hashim Abu Bakar [ Ayah Shim ] yang telah kembali ke Rahmatillah seusai solat zuhur kelmarin.

2. Allah swt lebih menyayangi susuk yang banyak berbakti membangunkan generasi beriman dan bertaqwa kepada Allah swt sejak Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah [Pondok Pasir Tumbuh] beroperasi pada tahun 1954 yang lalu.

3. Al Marhum Ayahanda Tuan Guru Hj Hashim bersama dua lagi tokoh ulama terkenal tanahair iaitu al Marhum Tuan Guru Hj Musthafa dan  al Marhum Tuan Guru Hj Abd Aziz yang juga pengasas madrasah tersebut adalah antara mereka yang berjasa besar mendidik dan melahirkan para alim ulamak dan pejuang - pejuang Islam di negara ini.

4. Perginya mereka adalah hilangnya mutiara yang sangat berharga buat ummat ini, terutama di saat negara memerlukan tokoh ulama' seperti mereka. Ulama' yang bukan sahaja tinggi ilmunya tetapi sangat gigih dan tekun mendidik dan membimbing ummah. Mereka adalah mursyiidul ummah tanpa mengenal erti putus asa dan kalah.

5. Al Marhum Tuan Guru Hj Hashim adalah ikon ummah yang cinta dan kasihkan ilmu serta kehidupan yang bersendikan akhlak Islami. Saya mendoakan agar al Marhum Tuan Guru tergolong dari kalangan hamba - hamba Allah yang soleh .

6. Saya juga mengharapkan anak - anak muda hari ini dapat memperuntukan sebahagian masa dan waktu mereka untuk mentelaah dan menghayati perjuangan para alim ulama' dalam membina generasi hari ini justeru alim ulama' inilah selayaknya dijadikan idola dan qudwah demi masa depan yang baik di dunia dan akhirat.

Nota: Dipetik dari catatan Ustaz Nasrudin bin Hassan dari blog beliau dihttp://www.eperjuangan.com/
****************************

Catatan Abu Huzaifah : Perginya Seorang Ulama' Terbilang Selepas Berakhir Ramadan

Syawal kali ini Abu Huzaifah dikejutkan dengan dua kematian orang yang dikasihi; biarpun baru sahaja saya kenali mereka. Pertama kematian al-Marhum TG Haji Hashim mudir pondok Pasir Tumbuh yang nama beliau cukup dikenali oleh pelajar-pelajar pondok seluruh Malaysia.Keduanya kematian bilal  Madrasah Yam Tuan Beringin Kuala Pilah tempat saya menyampaikan kuliah Maghrib dwi bulanan antara tahun 2008-2010. Bilal tersebut berusia lewat 70-an adalah murid setia Abu Huzaifah dan sering bertanyakan soalan usai saya menyampaikan kuliah hadis 40. Bilal 'Pak Aman' mula tidak sedar diri ketika sedang sujud semas solat iedul Fitri  di madrasah tersebut sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada malam kedua Syawal. Kali terakhir hamba berkongsi ilmu bersama para jemaah madrasah YT Beringin  bulan April 2011 sebagai buah tangan terakhir sebelum meninggalkan Kuala Pilah.Sama -sama kita hadiahkan surah al-Fatihah kepada kedua-dua almarhum.

Manakala al-Marhum TG Haji Hashim pula walaupun saya tidak pernah mendapat pendidikan dan tarbiyah ruhiyyah dari ulama' pondok di mana-mana institusi pendidikan tertua di Malaysia, ianya tidak mengurangkan rasa hormat hamba kepada ulama' yang menabur khidmat dan keringat di pondok-pondok gedung ilmu yang sangat berjasa. Bayangkan sebelum lahirnya para mufti di negara kita yang lulus dari Al-Azhar, Madinah, India dan negara-negara Timur Tengah; ulama keluaran pondoklah yang bertungkus lumus menyelamatkan akidah umat Islam di Tanah Melayu dari pengaruh penjajah Inggeris.
Biarpun Abu Huzaifah lahir di desa yang hampir dengan dua buah pondok iaitu pondok Tunjung ( Madrasah al-Fununiyah al-Tunjuniyah) dan pondok Pasir Tumbuh, namun hamba tidak terdedah dengan pendidikan pondok. Entah kenapa? Pada ketika saya mula menjejak alam sekolah menengah pendidikan formal di sekolah sahaja yang menjadi buah mulut ibubapa untuk memyambung pelajaran. Abu Huzaifah tidak menyalahkan ibubapa..kerana banyak faktor yang mempengaruhi minda guru dan para ibubapa terhadap pendidikan di pondok.

Walaupun begitu, hamba tidak kecewa kerana ramai guru/asatizah hamba di MML lahir hasil didikan tuan-tuan guru di pondok. Apabila saya balik dari Jordan dan berkhidmat dalam kerajaan rasa hormat saya kepada ulama dan tok-tok guru pondok juga tidak berkurang. Hari ini, anak-anak yang belajar dipondok bukan lagi remaja yang gagal dalam peperiksaan SRP dan SPM. Ramai juga pelajar yang datang dari Selangor, KL dan negeri-negeri sebelah Pantai Barat kerana bimbang anak mereka terpengaruh dengan cara hidup yang jauh dari agama.

Mengenali TG Haji Hashim

Kali terakhir Abu Huzaifah bersama isteri dan anakanda Ilham Sumayyah 
menziarahi TG Haji Hasyim(berdiri dihadapan rumah TGHH)
 
Abu Huzaifah hanya  mengenali nama beliau sahaja sejak remaja lagi. Sekali sekala jika ada solat hajat di Stadium Sultan Muhamad IV beliau diberi penghormatan memimpin solat. Tidak pernah menadah kitab dan bersila dihadapan beliau mengutip mutiara ilmu di Pondok Pasir Tumbuh bertuah itu. Ketika ayahanda hamba meninggal dunia pada detik 10 Mac 2003, almarhum Tuan Guru Haji Hasyim yang memimpin solat jenazah. Abu Huzaifah dan zaujah tidak sempat melihat wajah almarhum ayahanda buat kali terakhir. Biarpun hati sedih dan pilu yang teramat, rasa terubat bila kakak mengkhabarkan bilangan jemaah yang solat jenazah ayahanda hamba begitu ramai memenuhi setiap ruang tamu rumah kami. Saya terhutang budi kepada TG Haji Hasyim yang datang bersama murid-murid beliau menyempurnakan jasad seorang hambaNya yang akan mengadap Rabbul Jalil bila-bila masa yang dikehendaki. ALLAHU AKBAR!

Tempoh pemusafiran saya berkelana di bumi Kenyalang selama enam tahun berkhidmat disana tidak memungkinkan hamba belajar di pondok itu. Seawal 2008, Abu Huzaifah bermastautin di NSDK. Sekali sekala ketika pulang saya mula menjengah dan beriktikaf di Masjid Pondok Pasir Tumbuh bertemankan zaujah dan anak-anak. Pada tahun 2009, dua kali hamba membawa rombongan ahli jemaah sebuah surau dari Kuala Pilah NSDK melawat pondok. 'Bagaikan orang mengantuk diberikan bantal' saya dipelawa oleh seorang murid kepada TG Haji Hasyim untuk menziarahi beliau. Alhamdulillah itulah kali pertama saya dapat bersalam dan melihat almarhum dari dekat. Berbicara dengan seorang tokoh ulama yang cukup dihormati oleh murid dan masyarakat Islam disekeliling. Timbul rasa kasih dan sayang pada orang 'alim! Beberapa bulan kemudian saya bersama isteri dan anak (Ilham Sumayyah) berumur hampir 6 bulan menziarahi beliau sekali lagi. Kali ini beliau kurang berinteraksi dan jelas tubuhnya semakin uzur dimamah usia.

Hubungan beliau dengan murid-muridnya sangat erat. Betapa tidak ; seorang lelaki lewat 40-an bersama dua temannya datang sejauh Pulau Langkawi semata-mata untuk menziarahi al-marhum TG Haji Hasyim ; guru dan mursyid mereka. Demikian terjelma rasa kasih dan dekatnya hubungan guru dan murid yang terdidik di institusi pondok yang hari ini dipandang sebelah mata oleh umat Islam sendiri.

Alhamdulillah! Biarpun saya tidak pernah belajar dari almarhum TG Haji Hashim. Moga-moga ziarah saya terhadap seorang ulama menjadi saksi diakhirat  nanti akan  sikap kita terhadap insan yang berjasa dalam mentarbiyah ummah hingga ke akhir hayatnya. Semoga ruh beliau ditempatkan bersama para anbia' dan para solehin.Amiin.

Takziah buat ahli keluarga TG Haji Hashim dan warga pondok Pasir Tumbuh.

Saturday, August 20, 2011

Novelis Azizi Haji Abdullah meninggal dunia

Posted by Abu Huzaifah On 9:02 PM

GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April.
Namun, keadaan allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang. Azizi, bekas guru Pendidikan Islam, terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas. Jenazah Allahyarham  dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor.

Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setelah bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.
Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lepas.

Tuesday, April 12, 2011

Jenazah Sahimi Ghazali selamat disemadikan di Kota Bharu

Posted by Abu Huzaifah On 10:19 PM


KOTA BHARU, 13 April: Kepulangan jenazah Allahyarham Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan di Dataran Perbandaran Sibu petang Ahad lalu disambut dengan kesedihan oleh anggota keluarganya.Sahimi meninggal selepas kemalangan helikopter yang dipandunya sebaik sahaja selesai menghantar para pembantu Timbalan Perdana Menteri yang berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Turut serta menyambut jenazah beliau adalah pemimpin kerajaan negeri yang diketuai Datuk Husam Musa jam 7.20 malam tadi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Jenazah allahyarham Sahimi, 38 yang juga bekas anggota polis tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 7.20 malam dengan pesawat khas jenis  Nomed 20A milik Layang-Layang Air.

Pesawat yang diterbangkan khas dari Sibu itu mula berlepas dari lapangan terbang Sibu kira-kira jam 1.45 petang dan kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Senai, Johor Bharu untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Bharu.

Solat jenazah Allahyarham Sahimi diimamkan Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-Bandaraya Islam,  Ustaz Ropein Hasan  di rumah saudara mangsa di Wakaf Mek Zainab, di sini selepas solat Isyak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan, Pohon Tanjung, Wakaf Mek Zainab. Turut menguruskan jenazah Allahyarham adalah 15 anggota Unit Amal Kota Bharu yang diketuai Mohd Aliman Ismail.

Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.
Husam ketika ditemui berharap Allahyarham tergolong pada golongan orang yang syahid dalam menjalankan tugasnya.“Saya juga berharap anggota keluarga tenang menerima takdir dan ketentuan Allah,”ujarnya.

Sempena kunjungan itu, Husam turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga dan akan mencadangkan pada kerajaan negeri untuk memberi sumbangan lain yang sewajarnya.Abang allahyarham, Mohd Bizanuddin Ghazali, 45, menyifatkan allahyarham seorang adik yang baik, warak serta pendiam.“Apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan Allah lebih tahu tentang ketentuan itu, kami sekeluarga redha,”ujarnya.

Isteri allahyarham Suriani Mohammad, 38 yang begitu tenang ketika ditemui juga turut redha di atas apa yang berlaku.“Dia seorang suami yang baik dan saya redha pemergiannya,”ujarnya

Friday, March 25, 2011

Takziah kepada Ustaz Abdullah Hamzah sekeluarga

Posted by Abu Huzaifah On 9:21 PM

Abu Huzaifah bersama Ust Abdullah dan almarhum Ust Azamiruddin ketika  
menuntut di tahun 1 di bumi Anbia
السلام عليكم ورحمة الله 
Abu Huzaifah, zaujah dan anak-anak  merakamkan ucapan takziah kepada Ust Abdullah, bondanya dan ahli keluarga serta kerabat beliau diatas kehilangan orang tersayang dan amat berjasa ; iaitu ayahandanya Haji Hamzah ke rahmatullah pada hari semalam Jumaat 25 Mac 2011. Abu Huzaifah  mendapat khabar kematian tersebut dari sahabat2 agak lewat dan  hamba dalam perjalanan dari KB-Kajang yang mengambil masa panjang (10.00 malam – 3.15 ptg Jumaat baru tiba di Kajang). HP Abu Huzaifah kehabisan bateri..malam tadi berita tersebut diterima dari pesanan ringkas  Ust.Zamri Rajab, akhi Sidqi dan akhi Awang Hat. Syukran diatas keprihatinan sahabat-sahabat sekalian dengan khabar dukacita tersebut.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar Allah SWT menempatkan almarhum bersama para solehiin,siddiqin yang penghuni syurgaNya  yang lain. Inna liLLAH wa inna ilaih roji’un.

Sunday, March 6, 2011

Hikmah Sakit, Menziarahi Dan Mengiringi Jenazah ke Kubur

Posted by Abu Huzaifah On 9:19 PM

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله ومن تبعه ووالاه

Beberapa hari lepas terbaca dalam sebuah blog tulisan seorang blogger lebih kurang berikut : "Siapakah antara kita yang berani berpesan kepada isteri dan anak-anak bahawa dalam almari didalam bilik kita terdapat dua helai kain putih yang sudah disiapkan untuk diguna bagi mengkafankan jenazah sendiri sekiranya berlaku kematian….” mungkin ada yang mahu berbuat demikian tetapi berapa orang yang sedar dan mampu  bertindak sedemikian???

Hamba juga teringatkan kata-kata Saidina Umar RA. : Jika hari ini orang menyebut si pulan bin si pulan telah meninggal dunia dan esoknya orang menyebut si pulan bin si pulan pula meninggal ..maka suatu masa nanti orang akan menyebut hari ini Umar bin Al-Khattab telah kembali menemui Tuhan-Nya..

Catatan blogger dan kata-kata Saidina Umar cukup memberi inzar dan keinsafan kepada diri  penulis akan persediaan kita untuk mengadap Rabb al-Jalil. Tambahan pula beberapa hari lalu, Abu Huzaifah sempat menghadiri seorang saudara kepada biras yang meninggal dunia setelah lama dalam keuzuran.

Seorang penulis (Muhammad Uzair) mengumpamakan sakit itu umpama beduk maut. Kalau beduk berbunyi maka bersiap-siaplah ke masjid, kerana itulah tandanya waktu solat telah masuk. Menziarahi orang sakit dianjurkan oleh Nabi saw dan banyak hadis sahih yang menggalakkannya. Menziarahi orang sakit akan mengingatkan kita juga kepada sakit.

Kadang-kadang  terfikir disebalik hikmah sakit dan uzur itu merupakan satu warning daripada Allah agar kita beringat bahawa kesihatan yang baik itu sebenarnya kurniaan Allah. Namun berapa ramai manusia yang sedar bahawa masa sihat dan kuat itulah masa yang sesuai dimanfaatkan untuk amal makruf dan nahi mungkar..?
Berapa ramai yang berebut-rebut untuk melakukan amal soleh? Berapa ramai yang berfikir masa sihat itulah untuk berusaha semaksima mungkin (menyimpan wang) melaksanakan rukun Islam kelima atau sibuk menukar kereta atau melancong ke Langkawi,Genting Highland, Bukit Tinggi atau sejauh Hong Kong dan London?

Menziarahi orang sakit, menghadiri dan melawat simati, mengiringi jenazah ke kubur, melihat jenazah diturunkan ke dalam liang lahad dan mendengar pak imam membacakan talqin memang menginsafkan, biarpun untuk mungkin sehari dua atau kurang 24 jam…sekurang-kurangnya hati yang masih ada iman akan insaf seketika.

Benarlah peringatan  Rasulullah saw bahawa hak seorang muslim terhadap muslim yang lain sebagaimana saranan  baginda daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawasanya Rasulullah sallahualaihi wasallam telah bersabda: "Hak muslim ke atas muslim (yang lain) enam perkara;
1) apabila kamu bertemu dengannya, maka berilah ucapan salam kepadanya,
2) apabila dia menjemput kamu, maka (berikan) jawapan (respond) atas jemputannya,
3) jika dia meminta nasihat dari kamu, maka nasihatilah dia,
4) jika dia bersin, jawab dan doakan (kesejahteraan) padanya,
5) jika dia sedang sakit, maka ziarahilah dia
6) jika dia meninggal dunia, maka iringilah (jenazahnya) ke perkuburan".

Berbicara soal sakit dan penyakit..hakikatnya kita patut bersyukur kerana penyakit yang dialami oleh seseorang sebenarnya mengingatkan diri  bahawa kesihatan seseorang individu  itu adalah hak dan kurniaan Allah. Tuhan yang Maha Berkuasa berhak memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Seorang hamba yang ditakdirkan sakit dan  dirawat di hospital pakar oleh 20 orang pakar perubatan sekalipun jika Allah tidak mengizinkan sembuh maka insan tersebut tidak dapat dipulihkan..

Dan biasa kita dengar, terdapat pesakit yang dibawa ke hospital pakar dalam tempoh beberapa hari untuk dirawat…kemudian pihak hospital menyuruh pesakit dibawa pulang oleh keluarganya  dan pihak hospital tidak dapat mengesan penyakit yang dihadapi.Hal ini menunjukkan bahawa terdapat penyakit yang gagal dikesan dengan teknologi manusia  sekalipun oleh para pakar…(mungkin dinafikan oleh sesetengah doktor, namun tetap ada kes demikian). Begitulah keterbatasan manusia walau betapa hebat dan canggih, peralatan yang diguna pasti ada kelemahan dan kekurangan.

Secara umumnya, kita boleh beranggapan bahawa kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh seseorang sebenarnya satu warning atau peringatan dari Allah agar kita beringat; agar segera bertaubat sebelum terlambat. Segera melaksanakan ibadah sebelum anggota dan pancaindera kita gagal berfungsi. Segera melunaskan zakat dan bersedeqah sebelum harta kita menjadi aset untuk diagih-agihkan kepada ahli keluarga. Segera melakukan amalan-amalan  sunat dan memperbanyakkan zikrullah sebelum ditahlil dan ditalqinkan. 

Maka sepatutnya kita tidak mengeluh apabila ditimpa musibah dan penyakit kerana itu satu isyarat amaran bahawa nikmat kesihatan, harta dan anak pinak yang kita miliki ; semuanya anugerah sementara yang diberi dan dipinjamkan oleh Allah Azza wa Jalla dan kelak semua milik pinjaman itu akan dipersoal dan dihisab pada hari yang dinyatakan Allah ; bahawa harta yang banyak dan anak-pinak yang menjadi kebanggaan insan di dunia fana tidak memberi manfaat kecuali hamba-hambaNya yang datang dengan hati yang sejahtera (yang menyerah diri keseluruhannya kepada Allah).

Wallahu a’lam bissowab.

Dar al-Mawaddah,
Besut, Terengganu

Thursday, July 29, 2010

Takziah kepada Ustaz Nazri Ismail

Posted by Abu Huzaifah On 7:21 PM

“Assalamualaikum.Ayahanda tercinta telah kembali ke rahmatullah jam 10 pagi tadi.Al-Fatihah.Nazri,Sibu.”Demikian sms yang Abu Huzaifah terima dari bekas sahabat serumah (di Mafraq - Jordan) lewat petang semalam ketika sedang memandu dari Besut menuju ke Kota Bharu. Inna LILLAH wa inna ilaihi roji’un…semoga ayahanda Ust.Nazri Ismail ditempatkan bersama para solihin.Amiin!

Usai solat maghrib di Masjid Kg.Puteh Kota Bharu..hamba terus meluru ke restoran sebelah masjid untuk berbuka puasa.Sebelum solat hanya sempat menghirup air mineral yang entah berapa hari tersimpan dalam kereta…apa boleh buat itu sahaja yang ada.Terpaksa berkejar dari teratak baharu di Besut , singgah di Kota Bharu untuk bertemu seorang ‘hamba Allah’kemudian pulang ke Kedai Mulong…jam 9.30 malam mesti berada di Nilam Puri dan bakal melelapkan mata serta dibuai mimpi dalam bas Ekspress Sani pulang ke Negeri Perpatih. Demikian hampir setiap minggu rutin hamba sejak empat bulan yang lalu.

Buat Ustaz Nazri sekeluarga hadapilah dengan sabar dalam situasi yang dilalui. .Alhamdulillah Abu Huzaifah sempat ziarahi arwah ayahanda beliau sore Isnin dua minggu yang lalu. Ketika Abu Huzaifah ziarahi keluarga beliau , ust Nazri pulang dari Sibu,Sarawak ke kampung menjengah ayahandanya.Adik beradik beliau yang berada diluar Kelantan turut ada bersama.Kata ust Nazri,sudah tiga bulan ayahandanya terlantar sakit.Berbicara dengan anak-anak pun kurang.

Abu Huzaifah hanya sempat ziarah seketika dan berbual bicara dengan ust.Nazri hal-hal keluarga dan semasa. Memang kadang-kadang ingin sekali bermesra dengan sahabat-sahabat serumah dahulu (Mafraq-Jordan) namun jarak dan tugasan masing-masing di medan yang berlainan menjadikan kami jarang bertemu mata.

Maafkan hamba dan Ummu Huzaifah ...kami tidak sempat mengucapkan takziah dan datang ke laman rumah di Kg. Pak Badol.Abu Huzaifah turut merasai saat begini ; ketika kematian ayahanda hamba Mac 2003 dahulu, tidak sempat berada disisinya saat almarhum ayahanda hamba menghempuskan nafas terakhir.Betapa kasih ,sayang dan cintanya kita sang anak kepada dua insan yang sangat berjasa dalam hidup ,akhirnya tetap mengadap Tuhan Maha pencipta tanpa notis. Moga sekelumit bakti ’kita’ di bumi Kenyalang menyampaikan dakwah siang dan malam membolehkan mereka senyum kerna salah seorang anak lelaki mereka musafir demi agama Tuhannya.
Amiin Ya Rabb al-Alamin.

Untuk makluman kepada sahabat-sahabat yang bermastautin di Kelantan dan negeri berjiran,insya Allah ust.Nazri akan berada di Kelantan sehingga hari Selasa depan.Sama-sama kita panjang ukhuwah.Ila liqa'