• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Sunday, October 23, 2011

SOLAT JUMAAT TERAKHIR BUAT SAHABAT( Al-Marhum Ust.Ahmad Abd Ghani)

Posted by Abu Huzaifah On 11:45 PM No comments


Masjid Bilal bin Rabah, Universiti Al-Bayt ; tempat pelajar Malaysia bertalaqqi 
menerima mutiara ilmu selain dari di bilik-bilik kuliah

Kenangan di bumi Syam ; bersama sahabat2 seperjuangan di Urdun pada
majlis sambutan Iedil Fitri pelajar Malaysia ,Jamia'ah al-Bayt

Assalamualaikum warahmatullah

Petang Jumaat tanggal 23 Zulkaedah beberapa hari lalu bagaikan suasana suram.Cuaca pada sore itu diselimuti mendung biarpun tidak hujan.  Ummu Huzaifah sedang melayani FB sekali sekala membalas sapaan anak-anak muridnya yang ditinggalkan  tiga bulan lalu semasa berkhidmat di SMS Tuanku Jaafar di negeri beradat Perpatih.

Abu Huzaifah yang turut ada bersama terpandang satu mesej (dalam group khirrij Al-Bayt)  dari Ust.K.Anwar memaklumkan kepada sahabat2 khususnya bekas pelajar Ja’miah Al-Bayt, Jordan bahawa Ust.Ahmad Abdul Ghani (generasi ke-4 ) telah terlibat dengan satu kemalangan di Grik Perak dan meninggal dunia. Jam di hp hamba hampir 5.30 petang. Hati saya sayu dan sebak.

Terkejut... pantas minda saya cuba mengingati wajah beliau kerana sudah lebih 10 tahun saya tidak menatapi wajahnya. Susuk tubuh yang sentiasa ceria dan mesra. Menghormati senior-senior lain tanpa mengenal daerah dan loghat. Segera Abu Huzaifah membayangkan wajah al-marhum kepada isteri yang berada disamping. Saya memanjangkan kalam : ” Ingat tak  Ahmad Abdul Ghani yang menyanyikan lagu-lagu nasyid bersama Sabri Zakaria dan Bahauddin semasa majlis walimah kita? Saya cuba mengembalikan nostalgia majlis walimah kami tanggal 1 dan 2 September 1999 di Bayt Zhilal Mafraq 12 tahun yang lalu.

Dalam majlis walimah bersejarah itu, Ust Uda Kassim dan Ust Harme membawa bunga manggar : Ust Azahar (tok Ayah) mempersembahkan silat dan Ust Sabri Zakaria, arwah Ahmad Ab.Ghani, Bahauddin, Hasmadi , Husni dan ramai lagi mendendangkan nasyid dan menghadiahkan lagu ’teman sejati’ buat kami pasangan raja sehari. Foto-foto almarhum dan sahabat2 lain masih tersimpan kemas dalam album walimah kami. Sekadar mengingatkan diri semula.

Semasa Abu Huzaifah di ijabkabulkan, sahabat-sahabat seangkatan dengan hamba ramai yang dah pulang ke Malaysia termasuk arwah Ust.Azamiruddin, Zawawi, Zamri Kashfullah dan Hafizullah. Seingat  Abu Huzaifah yang masih menghuni bumi Mafraq ialah ; Pak Syeikh , Pak Lah , Itqan,Fendi , Kamal Nazmi, dan Muzaha. Ust Hazman Hasyim (sekarang imam) mengetuai jawatankuasa kerja majlis walimah sebagai pengarah. Sahabat-sahabat dari generasi almarhum Ust Ahmad lah yang turut membantu termasuk memasak dan berarak ke rumah Bayt Zhilal dan rumah Ust Kamal Nazmi (mantan Presiden PRISMA) di Hayyu Dhubbat.

Seingat saya juga ; hamba tidaklah terlalu rapat dengan arwah. Bersahabat seperti biasa sebagaimana dengan junior yang lain. Apapun jika dibandingkan dengan pelajar seangkatan dengan almarhun, beliau dan almarhum Ust.Hafiz Kamil( meninggal beberapa tahun lalu) adalah yang kerap saya temui dan berbualmesra bila bertemu. Rumah al-marhum di Hayyu Sikah berjiran dengan Hayyu Hussain pernah saya jengah dan sempat menikmati makan malam bersama ahli bayt Nik Nizam dan Shahriman Abu Bakar.

Dua tahun keberadaan Abu Huzaifah dalam  Biro Kebajikan PRISMA yang turut  mengambil berat ehwal kebajikan dan perumahan ahli membolehkan hamba mengetahui  lokasi rumah pelajar2 Malaysia. Semasa cuti Soifi kerja  hamba dan AJK Kebajikan  mencari rumah-rumah sewa  untuk pelajar baharu. Kalau tak silap hamba Ust.Ahmad adalah pelajar persendirian, oleh itu beliau sentiasa berhemah dalam perbelanjaan tidak semewah pelajar-pelajar  tajaan. Demikian nostalgia lama bertandang sejenak.

Minda hamba juga teringat ada sahabat di Grik yang sedang menabur khidmat di negeri Perak yang berjiran dengan Kelantan iaitu Ust. Wan Hakiman yang berasal dari Pasir Mas. Telefon bimbit saya capai dan menghubungi  beliau. Katanya dia dalam perjalanan menuju hospital disana. Masih belum pasti adakah almarhum masih bernafas! Jika ada maklumat terkini maklumkan kepada hamba.

Melewati jam 6 petang, Ust Hakiman hubungi hamba semula. Comfirm Ust Ahmad telah menghembuskan nafas selepas mengalami kemalangan dengan sebuah trailer usai solat Jumaat tadi. Jenazahnya akan dimandi dan dikafankan dihospital itu. Hati saya semakin sayu mengenangkan seorang lagi sahabat Urdun kembali rahmatullah. Almarhum Azamiruddin dan Hafiz Kamil telah mendahuluiku beberapa tahun lalu.

Saya ingatkan Ust. Hakiman, jika mengetahui nombor zaujah dan alamat arwah di Kelantan...mohon dihantar segera kepada Abu Huzaifah. Saya khabarkan kepada Ummu Huzaifah; jika diizinkan Allah pagi esok kita bertolak ke Jeli. Jajahan Jeli adalah satu daerah yang asing bagi saya biarpun jaraknya dua jam sahaja dari Kota Bharu.

****************************
Awal pagi Sabtu, 7. 40 pagi sms dari Ust Hakiman hamba terima. Nombor telefon arwah tertera. Saya telefon keluarga almarhum dan meminta alamat rumah keluarganya di Jeli. Saya meminta Ummu Huzaifah segera menyiapkan anak-anak. Kali ini saya mahu pergi ; kalau sempat nak lihat jenazah beliau. Dah ramai sahabat lama yang sama2 belajar di Urdun meninggal yang tak sempat diziarahi. Semasa almarhum Ust Azamiruddin meninggal( 2005) saya di Makkah. Ketika Hafiz Kamil meninggalkan dunia yang fana ini hamba di N.9. Biarlah kali ini  saya sempat mengucapkan takziah dan menyatakan simpati kepada usrah beliau. Pagi itu saya meredah jalan ke Jeli melalui Rantau Panjang menuju ke rumah almarhum.

Saya ditemani sepupu yang pernah bertugas di JPN negeri. Beliau sering keluar ke jajahan lain seluruh Kelantan dalam melaksanakan tugas. Perjalanan Abu Huzaifah dari Nilam Puri ke Jeli untuk tiba ke rumah almarhum lebih mudah melalui Rantau Panjang. Jalan tidak sibuk walaupun hari cuti. Pukul 11.22 pagi kami tiba di perkarangan rumah keluarga beliau...jenazah almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kg.Pasir Dusun sejam yang lalu. Orang ramai dan saudara mara masih ramai memenuhi ruang tamu dan perkarangan rumah.

Tiba dirumah keluarga Ust Ahmad saya memperkenalkan diri  dan menemui abang beliau. Abu Huzaifah mmemohon untuk bertemu bapanya..Hampir sejam hamba dan Ummu Huzaifah berada disisi keluarga  mereka. Isteri Ust.Ahmad masih dalam situasi kejutan menerima berita yang sangat memilukan.

Dari perbualan bersama ayahanda almarhum Ust Ahmad mengalami kemalangan dengan sebuah trailer. Beliau keseorangan semasa memandu ubtuk pulang ke Grik setiap petang Jumaat selepas solat. Kata bapanya kemungkinan trailer terbabit memasuki lorong sebelah beliau memandu dan bertembung. Kereta Wira yang dipandu arwah agak teruk. Kemungkinan juga tubuh almarhum  tercampak keluar dari kenderaan. Arwah mengalami pendarahan yang serius di kepala.

Ajalnya sudah tiba biarpun ramai antara kita yang pastinya menjadi kejutan kepada ahli keluarga dan sanak saudara. Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Anak yang ketiga baru berusia hampir 6 bulan.

Abu Huzaifah cuba menyelami kesukaran arwah yang terpaksa berulang alik dari Grik Perak-Jeli  saban hujung minggu. Bukan baharu tetapi sejak beliau bertugas di Daro Sarawak  lagi Ust Ahmad hanya dapat bertemu mata sekali sekala denga isteri dan anak-anak. Hajat beliau suatu masa ingin berkhidmat di tanah kelahiran tetapi panggilan Allah mengadapNya lebih dahulu.

Hamba  dan Ummu Huzaifah mendoakan almarhum Ust. Ahmad meninggalkan dunia fana ini dengan beroleh keampunan daripada Allah Azza wa Jalla dan ditempatkan bersama para solehin dan siddiqin. Beliau meninggal usai solat Jumaat pada hari penghulu segala hari. Moga beliau dipanggil dalam keadaan dibaluti air wuduk ; selesai melafazkan doa kudus kepada Penciptanya dan selesai melakukan  amalan paling mulia sujud kepadaNYA.

إنا لله وإنا اليه راجعون

Oleh kerana ada permintaan dari beberapa sahabat (alumni Urdun) untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga al-marhum di Jeli Kelantan sebagai tanda kebersamaan menerima taqdir Allah SWT. Maka sesiapa yang berhajat bolehlah masukkan sumbangan ke akaun Bank Islam, ( 05-030- 02-016570-7)atas nama Mohammad Kamil Jaafar. Saya akan sampaikan sumbangan tuan-puan kepada isteri  atau ayahanda beliau. Jazakumullah khairan kathira.

0 comments: