• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label Isu muslimah. Show all posts
Showing posts with label Isu muslimah. Show all posts

Wednesday, June 29, 2011

Muslimah dan Tudung Labuh

Posted by Abu Huzaifah On 10:51 AM

Seorang lelaki muslim yang bagus imannya akan terpaut hatinya kepada wanita muslim yang bagus imannya juga.  Begitu juga sebaliknya.  Ini adalah fitrah manusia.  Saling tertarik apabila mereka mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang hampir sama.
Manusia tidak dapat menilai kebaikan seseorang manusia lain melainkan setelah mengenali di antara satu sama lain.  Jadi, perkara pertama yang menjadi ukuran seseorang pastinya melalui penampilannya.  Melalui penampilannya, seseorang dapat diukur secara zahir bagaimana peribadinya.  Samada seseorang itu baik, rajin, pandai, kelakar, garang, malas dan sebagainya masih belum pasti.  First impression comes first.

Awal-awal Bertudung Labuh

aurat1
Sila klik gambar!
Wanita yang bertudung labuh atau dipanggil juga bertudung bulat memberi impressi (tanggapan pertama) bahawa dia wanita yang bagus agamanya.  Ia cuma impressi sahaja.  Belum tentu dia solehah atau tidak.  Dan kebiasaannya wanita yang memakai tudung labuh ini berlatar belakangkan sekolah agama.  Kerana mereka diwajibkan untuk memakai tudung labuh.

 Ada sebahagian pelajar-pelajar agama ini, di sekolah mereka bertudung labuh.  Tetapi apabila berada di luar sekolah mereka tidak lagi mengenakan pada diri mereka tudung labuh.  Ada yang memakai tudung biasa sahaja.  Tudung tiga segi, malahan skaf pun ada.  Ada juga yang tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi bilangan mereka sedikit sahaja.
Sekolah agama memberikan tarbiyyah.  Ia membentuk anak-anak didiknya agar berada di landasan yang betul.  Bagi pelajar muslimah di sekolah-sekolah agama, mereka diajar untuk menerapkan pakaian muslimah yang sejati pada diri mereka.  Ini bertujuan untuk merealisasikan tuntutan ISLAM dalam berpakaian khas untuk wanita beriman.
ALLAH subhanahu wata’ala telah berfirman dalam al-Quran berkaitan etika berpakaian wanita beriman yang maksudnya:
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…”  (Surah ke-24 an-Nur, ayat 31)
Pelajar-pelajar sekolah agama ini dikehendaki memakai uniform sekolah dan bertudung labuh, baju kurung yang longgar (tidak ketat), jenis kain yang tidak nipis dan berstoking panjang.  Bukan itu sahaja, malahan hal batasan ikhtilat (percampuran lelaki & perempuan) turut diajar kepada mereka.  Lelaki dan perempuan dipisahkan tatkala makan di kantin, tangga khas lelaki-perempuan, aktiviti kurikulum & ko-kurikulum kebanyakannya dipisahkan antara lelaki-perempuan dan sebaginya.  Ini semua untuk dijadikan bekalan ilmu buat mereka serta mengamalkannya.
Bukan semua yang gembira dengan peraturan ini.  Mereka terpaksa.  Tetapi, memang begitulah proses pentarbiyyahan perlu dilakukan.  Tanpa peraturan, mereka tidak akan patuh dengan kod pakaian yang ‘menyusahkan’ itu.  Mereka pastinya mahu bebas dan bersantai-santai dalam berpakaian.  Peraturan untuk berpakaian Islami ini adalah untuk kebaikan mereka sebenarnya.  Kebaikan yang diukur dari kaca mata agama.
 tudung
Sejuk mata tatkala terpandang...
Tahun demi tahun dalam keterpaksaan, lama-kelamaan mereka berasa selesa dengan bertudung labuh.  Malahan ada yang jatuh cinta dengan cara berpakaian tudung labuh pula.  Mereka membawa cara berpakaian yang penuh kesederhanaan ini ke luar sekolah.  Hatta, sehingga habis sekolah.  Sampai ke universiti, sampai ke alam pekerjaan. 
Tetapi bilangan mereka yang tetap dengan tudung labuh tidak ramai disebabkan oleh beberapa faktor.  Antara faktor-faktornya ialah kesesuaian pekerjaan (nature of work), trend, fesyen, akibat keluarga dan sebagainya.  Yang paling penting ialah mereka MENUTUP AURAT dengan SEMPURNA.  Samada bertudung labuh atau tidak, bukanlah menjadi ukuran utama.  Kerana syariat hanya menyuruh mereka menutup aurat.  Asal sahaja sudah menepati syariat, nah silakan…

Pandangan Masyarakat Terhadap Wanita Bertudung Labuh

Pentingkah pandangan masyarakat jika sesuatu yang diperbuat itu betul?  Pentingkah untuk kita ambil pusing dengan kata-kata orang lain, jika apa yang kita amalkan menepati tuntutan syar’iyyah?  Tak perlu, bukan?  Saya sengaja melontarkan persoalan itu untuk sama-sama kita fikirkan.  Agar kita tetap dengan pendirian kita jika apa yang kita buat itu betul, walaupun barangkali ada yang berkata itu dan ini. 
Ada sebahagian dalam masyarakat memandang wanita yang bertudung labuh ini ketinggalan zaman, kolot, tak moden, tak ikut trend dan sebagainya.  Namun, ada sebahagiannya juga memandang hormat, tinggi, segan dan mulia kepada mereka ini.
Hampir 100% pandangan yang saya temui mempunyai pandangan yang kedua, iaitu memandang tinggi dan hormat kepada wanita yang bertudung labuh.  Malahan sebahagian yang tidak bertudung labuh ada yang menanam hasrat untuk bertudung labuh, tetapi segan dan malu disebabkan tidak pernah berpakaian seperti itu.  Mahu, tetapi malu.
Saya secara peribadi ingin berterus-terang bahawa saya selalu didatangi perasaan yang damai tatkala terpandang wanita yang bertudung labuh.  Apabila ternampak mereka dari jauh, rasa sejuk hati ini.  Saya rasa ramai lelaki yang mempunyai perasaan seperti ini.  Tetapi, kalau mat-mat rock, mat-mat punk, mat-mat rempit, mat-mat disko dan seumpama dengannya, saya rasa mereka takdelah perasaan macam ni.  Eh, entah-entah pun ada perasaan yang sama…?  Agaknya mereka pun rasa tersentuh, rasa beragama…
Perasaan yang datang apabila terlihat wanita bertudung labuh bukanlah perasaan ingin melakukan yang ‘bukan-bukan’.  Sebagaimana apabila seseorang lelaki nampak perempuan seksi, apa yang terlintas di dalam hatinya pastilah sesuatu yang berkaitan dengan seks.  Syahwat segera bernyala-nyala tatkala melihat wanita yang ‘buka-buka’.
Tetapi apabila ternampak wanita bertudung labuh, perasaan damai datang.  Rasa ingin membimbing, membela dan mendidik wanita itu segera hadir.  Malah datang juga perasaan beragama pada diri.  Juga rasa ingin berkeluarga, keluarga yang soleh.
Ini bukan kesimpulan yang saya buat bagi diri saya sahaja.  Malahan pernah saya dan kawan-kawan membicarakan hal ini suatu ketika dahulu.  Di forum-forum Islami di internet juga tidak lepas membicarakan perkara yang sama.  Ya, wanita bertudung labuh lambang wanita yang hidup beragama.
Isteri saya sendiri bertudung labuh.  Sejak beliau di bangku sekolah, di universiti sehinggalah kini bekerja dan berumahtangga.  Saya suka isteri saya bertudung labuh.  Rasa damai dan tenang apabila saya berjalan di tengah ramai sambil saya memimpin tangan isteri.  Rasa cinta dan rasa hidup beragama sentiasa mekar sehingga kini.  Mudah2an beliau terus dengan bertudung labuhnya.  Kerana mata dan hati ini sejuk apabila melihat beliau berpakaian begitu.

Kesimpulan

Tulisan ini bukan ditulis tanpa tujuan.  Tulisan ini diharap dapat memberi motivasi kepada diri muslimah remaja yang berkira-kira ingin membuang tudung labuh dari tubuhnya.  Sebahagian mereka rasa ketinggalan zaman.  Rasa ‘takde orang nak’ orang yang bertudung labuh ini.  Rasa terpinggir dengan berpakaian tudung labuh ini.
Percayalah, cara berpakaian sedikit sebanyak boleh mengawal diri dari kita melampaui batas.  Dengan bertudung labuh, pasti akan ada setitik penyedar. Kita ingat siapa kita.  Kita tak mahu diri terfitnah.  Kita tak mahu agama terfitnah. 
Janganlah dibuang tudung labuh itu dari tubuh kalian.  Kalian nampak ayu dan sopan bertudung labuh.  Kalian menimbulkan rasa ingin beragama di kalangan sebahagian manusia.  Samada lelaki atau wanita, rasa beragama tiba-tiba datang tatkala kalian muncul.  Yang paling penting ialah berpakaian seperti itu jika betul niatnya dan caranya, kalian akan diredhai ALLAH.
Akhir sekali, ingatlah!  Bahawa beramallah kerana ALLAH.  Ikhlas kerana ALLAH.  Ikut cara ALLAH.  Bermatlamatkan ALLAH.  Bukan disebabkan hal lain.  Mudah2an kita semua digolongkan di dalam golongan solihin, amin…

nota : tulisan ini dicatatkan oleh SHAHMUZIR NORDZAHIR yang boleh dirujuk dari blog beliau...
www.muzir.wordpress.com.Jazakallahu khayran kathira kepada beliau.
 

Wednesday, May 11, 2011

PESANAN RASULULLAH S.A.W UNTUK PARA WANITA

Posted by Abu Huzaifah On 2:34 AM



بسم الله الرحمن الرحيم

Pesanan Untuk Wanita Ini amat berguna untuk setiap isteri, saya petik dari blog Dakwah Remaja.

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suami nya dan muhrammnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)
6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7) Wanita yang taat kepada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat kepada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10)Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11)Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya “tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun”. Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12)Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13)Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14)Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Hayatilah wahai muslimah…semoga kita dapat memelihara diri kita dari godaan duniawi,,,dan hiasi diri dengan iman dan taqwa serta akhlak Islam yg telah memartabatkan wanita setelah kedatangan Rasulullah SAW….

wallahu taa’la a'lam.

Tuesday, January 25, 2011

Wanita berkerjaya, Janganlah Abaikan Rumahtangga Anda

Posted by Abu Huzaifah On 8:39 PM

catatan : Ust.Emran Ahmad* 

Sabda Rasulullah Salallahu 'alaihiwassalam yang bermaksud : “Aku menjenguk ke dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang miskin dan aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Orang ramai mengadu dan berkeluh kesah tentang kes cerai yang semakin tinggi di bandar-bandar besar dan ibu kota. Kita seharusnya ingat bahawa kehidupan rumahtangga itu bukanlah penjamin kehidupan bahagia sebaliknya ia cuma sebagai wadah dan peralatan untuk mendapatkan bahagia. Kita harus pandai memanfaatkan peralatan dan peluang berikut untuk memberikan buah dan hasilnya bukan sekadar menanti pucuk dicita dan ulam mendatang dengan begitu sahaja.
Ibarat kereta yang mahal sekalipun adalah tidak berguna jika tidak dapat dipandu dengan baik.Kemahiran memandu itulah yang menzahirkan kehebatan sesebuah kereta apabila anda dapat menggunakan segala kelebihan dan memahami kekurangannya lalu memandu dengan baik untuk menuju kepada destinasi yang diinginkan. Begitulah lumrah kehidupan apabila dalam hubungan rumahtangga yang paling penting ialah bagaimana anda “memandu” keluarga yang dianugerahkan oleh tuhan untuk menuju kepada kebahagiaan.
Sekadar berkahwin dengan orang yang dikasihi bukanlah syarat bahawa anda akan mendapat bahagia jika perkahwinan dan kehidupan rumahtangga tidak di isi dengan aktiviti yang boleh menyebabkan anda bahagia.

Isteri sibuk, suami busy

Sudah beberapa kali saya terserempak dan terpandang secara tidak sengaja kepada kereta-kereta di sisi saya yang menghimpit dengan laju dan penuh perasaan pada setiap pagi kerana mahu segera menuju ke tempat kerja. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 6. 45 pagi tetapi wanita-wanita yang bekerjaya sudah pun bertolak keluar dari rumah-rumah mereka memandu seorang diri dan memecut laju ke tempat kerja.
Saya tertanya-tanya apakah mereka semua ini sudah bersarapan sebelum keluar dari rumah ? Apakah para isteri dan wanita ini sudah pun siap sedia menyiapkan sarapan dan makanan buat suami dan anak-anak mereka ?

Apakah sebelum keluar didahului dengan salam dan ciuman mesra kepada suami dan anak-anak yang tercinta ? Atau keluar dengan tergesa-gesa kerana mahu mengejar masa sedangkan suami masih nyenyak terbaring di atas tilam yang selesa ?Anak-anak ke sekolah siapa yang mempersiapkan mereka ?

Saya bukan sengaja tetapi selalu terpandang mereka apabila menoleh ke kiri dan kanan dari kaca tingkap kereta saya. Pakaian mereka penuh berketerampilan, menawan dan bergaya demikianlah yang mampu saya gambarkan. Jika boleh ingin saya tegur dan bertanya apakah suami memang mengizinkan mereka berpakaian sedemikian ?

Berpakaian tetapi telanjang
Pilihan warna yang terlalu terang, bergaya bukanlah fesyen dan budaya pemakaian seorang wanita Islam apatah lagi dengan manik-manik dan labuci yang menghiasi baju seolah-olah mahu mengarah pandangan mata penonton ke dada-dada anda. Bertudung sahaja bukanlah satu-satunya syarat pemakaian Muslimah sebaliknya perlu labuh, tidak menampakkan bentuk tubuh, longgar dan warnanya tidak menarik perhatian mata-mata lelaki dan manusia yang memandang. 

Janganlah terlalu bergaya sehinggakan mampu menaikkan ghairah para lelaki di tempat kerja.Make-up dan wangian yang dipakai ke badan pula haruslah jangan sampai terhidu atau dapat menarik pandangan dari mata kaum lelaki yang memandang. Sekali pandang hukumnya harus tetapi jika kerap memandang maka hukumnya sudah pun jatuh haram.

Cantik di luar tetapi buruk di dalam
Kenapa harus cantik diluar tetapi buruk di dalam rumah ? Suami dan anak-anak hanya mendapat layanan kelas kedua apabila isteri dan ibu yang pulang ke rumah berada dalam keadaan masam dan kusam. Layanan itu pun tidak dapat dinikmati sepenuhnya pula kerana badan sudah penat dan mahukan kerehatan.
Apa yang suami dan anak-anak anda dapat setiap bulan ?

Jika ada make up dan wangian mahal yang dibeli ketika bersiar-siar di pasaraya kegemaran maka pakailah ia sewaktu di dalam rumah semasa bersama anak-anak dan suami tercinta. Biarkan yang menjadikan mereka gembira dan bahagia ialah anda dan demikian sebaliknya. 

Biarlah yang mengatakan anda cantik dan indah di mata ialah suami dan anak-anak di dalam rumah berbanding lelaki-lelaki liar dan bernafsu jahat di tempat kerja.

Status isteri hanya pada nama
Ramai orang kini bergelar isteri hanyalah sekadar pada nama dan pangkat rasmi dalam jemputan-jemputan majlis. Ini kerana kita hanya akan dapat melihat wanita itu bersama suaminya sewaktu datang dalam majlis rasmi sebagai suami isteri dan berada di sisi suaminya itu hanya sewaktu ada agenda dan urusan keluarga.
Manakala tugasan seorang isteri yang lazim seperti memasak bukan dilakukan olehnya, mengemas rumah bukan dibuat olehnya, melayani makan dan pakai suami dan anak-anak pun tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Habis siapa yang membuatnya ?

Siapa lagi kalau bukan wanita pembantu rumah  dari Indonesia, selatan Thai  dan Filipina. Merekalah yang melayani anak-anaknya, memberi makan dan pakai suaminya dan mengemaskan rumah bagi pihak dirinya. Mujur jika nafsu seks dan syahwat suaminya itu masih lagi mampu dipenuhi oleh dirinya jika tidak akan ada pembantu rumah yang sampai turut terlanjur melayani nafsu dan kehendak fitrah tuannya.Sekadar mengambil tahu bukanlah bermakna sudah menunaikan tanggungjawab anda  Akan ada nanti wanita yang berkata saya sudah pun berusaha membuat apa yang termampu.

Semua perkara berkait kehidupan rumahtangga itu saya sudah ambil tahu dan peduli. Saya tahu tentang suami saya dan saya peduli berkenaan anak-anak saya. Saya tahu itu dan ini dan begini dan begitu.
Tahu sahaja tidak mengubah apa-apa.
Tanggungjawab rumahtangga bukan sekadar mengambil tahu dan peduli tetapi memikul dan melaksanakannya oleh diri dan usaha tenaga anda sendiri.Apakah tuntutan dan tugasan itu? Melayani, memenuhi, memberi, menyokong, mengasihi dan mengawal diri. Sudahkah anda melakukan semuanya itu ?

Nota : Catatan ini dipetik dari tulisan Ust.Emran Ahmad dari blog beliau di http://ustaz.blogspot.com.Abu Huzaifah merakamkan ucapan JazakAllahu khairan diatas keizinan beliau untuk berkongsi ilmu.

Tuesday, August 3, 2010

Islam mendiskriminasi Wanita?

Posted by Abu Huzaifah On 5:36 PM

non muslim wajar didekati untuk menjinakkan mereka kepada dakwah Islam...bukan untuk dimusuhi.Bukan kita yang mengurniakan hidayah...sekiranya Allah kehendaki sesiapa sahaja berhak menerima taufiq dan hidayah Ilahi.

Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillahi rabb al-'Alamin wa bihi nasta'in.

Abu Huzaifah mendoakan sahabat-sahabat ziarah sentiasa dalam kerahmatan dan keampunanNya.Kali ini hamba ingin menghidangkan satu dialog antara seorang ustaz dan muridnya yang belum Islam di sebuah sekolah di Pulau Pinang.Ustaz tersebut adalah sahabat karib Abu Huzaifah yang memiliki blog peribadi dengan nama pena ibnu hadiabu.Semoga banyak 'ibrah dan iktibar dari kisah beliau...

"Betulkah Islam mendiskriminasian perempuan? Soalan seorang pelajar berbangsa Cina membahang cuping telinga saya.

Terik matahari tengahari tadi memancar tepat diubun kepala, usai rutin harian mengajar dan solat zohor berjemaah, saya membilang anak tangga ke bilik saya di tingkat 3 untuk mengambil peralatan pulang ke pangkuan keluarga.

Di pertengahan pendakian saya disapa mesra seorang pelajar Cina yang saya kenali, beliau memang suka mengajukan soalan maut pada saya, walaupun beliau bukan pelajar yang berada dibawah pengawasan kelas saya. Saya suka bertemu dan menguliti tingkah pemikiran dan jalur soalan yang dikemukakan, entah mengapa saya seolah teruja mendepani setiap soalannya dengan dada terbuka yang penuh debaran.

Betulkah ustaz, Islam menzalimi wanita??? Saya membaca di artikel, Islam menghalang wanita belajar dan di Saudi Arabia contohnya, para wanita dihalang memiliki lesen memandu. Saya tersenyum mengunyah soalan nakal kebudakan yang pastinya dihadam mentah dari komentar dan tulisan memburukkan Islam yang ditulis orientalis. Hala tuju soalannya mengakar dari tembakan curi yang sengaja direka untuk membusukkan imej agama mulia ini.

Saya cuba berhujah spontan, Islam adalah agama yang memuliakan wanita, bahkan mengangkatnya ke mercu kemuliaan setelah sekian lama diperhambakan dan diabdikan dalam pendiskriminasian seksual dan pengilangan anak sahaja.

Tapi ustaz, dalam artikel itu menulis, al Quran sebagai kitab suci Islam sendiri menyuruh lelaki untuk tidak menghormati wanita, bahkan diminta kepada suami untuk sentiasa menangani isteri dengan pukulan dan penghinaan… Ujarnya lagi dengan satu provokasi terpimpin.


Saya menyukai pelajar ini, biarlah saya namakannya dengan AH SAW, dia bukan seorang tin kosong dan berdebat mencari hebat, beliau bertanya dalam nada ingin tahu dan mahu. Persoalannya senantiasa disandarkan pada maklumat dan pembacaan, soalannya berputar antara sisi putih dan hitamnya Islam. Dan kagum saya bertambah bila beliau pernah tegas menyatakan pada saya, Saya bercita-cita menjadi seorang FATHER dan agamawan yang suka mencari kebenaran dan mendidik masyarakat.

Untuk itu, ustaz terpaksa perhalusinya lagi, ayat al quran yang manakah yang menyebutnya. Soal saya menguji.. Maaf ustaz,memang ada tertulis dalam artikel tersebut tapi saya tak ingat, mungkin nanti saya rujuki ustaz dengan maklumatnya, fasih dia berbahasa melayu sementelahan juga beliau terpilih antara wakil sekolah sebagai peserta debat bahasa melayu hingga ke peringkat separuh akhir.

Dan pada pengamatan ustaz, ada ayat al quran yang menyebutnya begitu, tapi pukulannya bukanlah penderaan atau kecederaan. Dan tujuan Islam meletakkan suruhan memukul pula terdapat sebab dan alasannya.

Ayat tersebut berkenaan langkah Islam mengatasi masalah dalam rumahtangga, ianya melibatkan isteri yang derhaka dan curang dalam Islam. Islam menggariskan 3 langkah mengatasinya dengan memberi nasihat, mengasingkan tempat tidur dan yang terakhir memukulnya dengan cara mendidik bukan mencederakan, maka suami perlu mengelakkan tempat-tempat sensitif yang mudah menimbulkan kecederaan pada isteri. Bahagian muka, perut, kemaluan dan sebagainya adalah kawasan fizikal yang dilarang pukulannya. Kalau tak berjaya macamana ustaz…?

Kalau gagal, mereka akan dipanggil orang tengah dari keluarga terdekat untuk membantu memulihkan hubungan rumahtangga mereka, mungkin nasihat dan pandangan dari orang yang lebih tua dan berpengalaman boleh membantu, dan jika sekiranya gagal, islam membenarkan perkahwinan itu dibubarkan dan suami atau isteri berhak mencari pasangan mereka yang lebih cocok dan bahagia dikemudian hari.

Tapi dalam kristian, tak ada tindakan sebegitu ustaz… Ah Saw menyampuk. Jadi apa tindakan kristian jika ada isteri yang curang sebegitu yang boleh merosakkan keluarga, ujar saya memerangkapnya. Kami akan bawakannya kepada kauseling, menasihatinya dan menasihatinya.

Kalau proses nasihat tidak berjaya, apa yang akan dilakukan…? Tanya saya lagi. Kalau tak Berjaya, nasihat lagi… dan jika gagal juga,biarkan sahaja dan bubarkan perkahwinan.

Tapi bukankah mengikut ajaran kristian, perceraian mesti dielakkan sama sekali, perkahwinan bagi mereka hanya sekali dan kekal, jika hubungan tidak berjaya mereka perlu teruskan jua tanpa perceraian, jika bercerai sekalipun mereka tak layak untuk hubungan kahwin kali kedua… bukankah begitu. Mudah saya melihat Ah saw menggangguk kerana anutan Katholiknya yang saya tahu memang mengajarkannya sebegitu.

Dan masa yang terhad sebegitu, saya manfaatkan sepenuhnya dengan membuktikan kewajaran Islam sebagai sebuah agama ilahi, amalan dan penguatkuasaan undang2 yang bersalahan dengan ajaran agama tidak boleh dinilai memburukkan Islam. Ianya juga mungkin dinilai bersesuain dengan pandangan masyarakat setempat.


Kerana itu jika Saudi tidak membenarkan,(itupun jika benar asas soalannya dan amalan disana yang saya tidak ketahui kesahihannya), ia mungkin berdasarkan adat dan budaya setempat yang kebiasaaan pemandunya adalah lelaki. Tapi tidak dinegara kita Malaysia, bukan disini juga ramai yang menganut Islam, para wanita tidak pernah merungut untuk mendapatkan lessen memandu mereka.

Dan hujung pertemuan itu, saya sinari galak mata Ah Saw menelan ufuk pemikiran baru kedalam info toleransi beragamanya.Namun… esoknya dia datang lagi, seperti biasa soalannya tidak terduga sebagaimana pertemuannya juga tiada temujanji yang termeterai.

Tuesday, April 13, 2010

Purdah, gadis India dan ISLAM

Posted by Abu Huzaifah On 3:02 AM



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sahabat ziarah yang dirahmati Allah,
Saban hari kita melihat tajuk-tajuk berita di akhbar dan media elektronik yang sarat dengan berita gejala sosial; terkini kes buang bayi@ cuba membunuh bayi begitu menjadi-jadi sehingga kita pun tidak larat nak baca.Paparan demi paparan memenuhi dada akhbar dan tajuk berita seolah-olah akhlak atau moral rakyat Malaysia khususnya di kalangan orang melayu Islam sudah terlalu teruk.Apakah orang melayu Islam lebih hina dari masyarakat Jahiliyyah?

Paparan atau pendedahan berita semata-mata tanpa berusaha mencarai jalan penyelesaian konkrit , tidak akan memberi apa-apa makna selain menjadi isu melariskan jualan akhbar dan memalukan warga Malaysia sendiri.

Abu Huzaifah berpandangan ,penyelesaian holistik bagi menangani gejala tersebut ialah kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Jangan banyak sangat berteori , berseminar dan berdiskusi kononnya perlu ada akta itu dan ini..kempen yang macam-macam. Ayuh ! Kembalilah kepada ajaran Allah swt ‘Tuanpunya’ yang menjadikan seluruh makhluknya ; melayu ,cina , India,Inggeris dan sebagainya.Tepuk dada, tanya iman.!


Antara punca buang anak adalah kerana perhubungan luar nikah atau dalam al-Quran disebut zina.Zina banyak berpunca dari pergaulan bebas dan mtidak menutup aurat.Memang hari ini ramai wanita bertudung tetapi kerana ‘ikut trend’ bukan atas kesedaran.Berapa ramai wanita yang pergi kerja pakai baju kurung ,tudung tetapi bila ke pasar malam atau pergi melancong , bersukan semua dah hilang.Para suami yang ‘tak reti agama’ membiarkan sahaja isteri mendedahkan aurat kepada lelaki-lelaki ajnabi.

Dalam keadaan ramai wanita bertudung tetapi sebenarnya tak sempurnapun kalau ikut acuan al-Quran, masih ada para muslimah yang berusaha mentaati perintah Allah yang Maha Agong sepanjang masa.Maka kali ini Abu Huzaifah ingin memaparkan satu catatan Ummu Abbas dari blog http ://keranacinta.wordpress.com. (selepas mendapat izin)untuk sahabat ziarah ‘bicaraseoaranghamba’.Ikuti catatan beliau;

Pelbagai rasional diberikan untuk menanggalkan ‘purdah’ dari muslimah yang mahu istiqamah dengan niqab.
Pendapat sebegitu memberi kesan kepada saya untuk berfikir dan berfikir mengenai kebenaran alasan tersebut dan sejauh mana saya perlu mengaplikasikannya dalam hidup saya. Sementelah saya salah seorang individu yang berminat menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain.
Hairan juga saya, dalam majoriti muslimah di Malaysia tidak memakai purdah, si pemakai purdah juga yang menjadi sasaran. Jika pilihan wanita tidak berpurdah adalah yang terbaik untuk menyampaikan dakwah, maka pilihannya terlalu ramai untuk kita gerakkan mereka sebagai pendakwah.
Saya tidak berminat mengulas lanjut mengenainya sekarang. Mungkin justifikasi tersebut lahir hasil pengalaman sendiri, kaji selidik dan pemerhatian pada realiti yang berlaku. Jika begitu tidak mengapalah. Ia boleh diraikan. Namun jika ia lahir dari faktor ketidakyakinan kepada salah satu juzuk ajaran Islam, nampaknya empunya pendapat begitu dihinggapi penyakit pada aqidahnya.
Pengalaman di bawah adalah untuk muslimah yang berminat memakai niqab dan dalam masa yang sama punya cita-cita yang tinggi menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat di sekitarnya.
Saya suka jika sesiapa mahu memberikan pendapatnya mengenai pengalaman saya di bawah.
******************
Kira-kira 11 tahun yang lalu, saya menemani suami ke sebuah kantor kerana beliau mempunyai urusan kerja di sana. Saya menunggu suami di luar pejabat sambil duduk di atas sebuah bangku yang disediakan.
Seperti biasa, saya mengenakan niqab kerana kawasan itu kawasan terbuka dan dikunjungi orang awam. Kalau tidak silap, hari itu saya mengenakan pakaian berwarna agak gelap. [Bukan hitam sebab hitam adalah warna yang tidak digemari waktu itu].
Tiba-tiba seorang gadis India berpakaian seragam kerja menghampiri saya. Gadis itu memakai blause putih berlengan pendek dan berskirt paras lutut. Dia minta izin untuk duduk di hadapan saya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya mempersilakan dia duduk. Meja bulat diperbuat dari simen itu menjadi saksi perbualan kami seterusnya.
Saya teruja sebenarnya kerana didekati gadis non muslim sedangkan saya mengenakan niqab yang dianggap ramai orang boleh menakutkan non muslim. Apatah lagi mahu mendekati mereka.
“Mata awak cantik… tentu awak cantik orangnya”, gadis itu memuqaddimahkan perbualan.
Ke situ pula dia menegur. Saya rasa tidak sedap hati lalu menjawab, “Hmm… tak delah… biasa je”. Itu hanya persepsi dia semata. [Untuk mengetahui apa perasaan saya yang sebenar ketika mengenakan purdah, boleh rujuk artikel “Purdah: Hari pertama memakainya”.]
“Boleh saya tanya sesuatu?” gadis India itu menyambung.
Saya dapat lihat keresahan menghiasi wajahnya. Tanpa bertanya nama dan tanpa taaruf apa-apa, dia terus meluahkan masalahnya.
Saya lupa apa masalah yang telah diceritakan, namun rumusannya dia mengatakan dirinya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Memang dia cerita satu persatu masalah yang datang menimpa dirinya tidak putus-putus. Belum selesai yang pertama, datang masalah yang kedua. Belum selesai masalah yang kedua, datang masalah yang ketiga.
Kasihannya. Patutlah wajahnya sugul sahaja.
Seperti biasa juga, bila seseorang mahu berkongsi masalah, saya mendengar dengan tekun dan penuh minat. Akhirnya dia meminta pandangan saya bagi mengatasi masalahnya.
“Maaf ye… saya tidak tahu penyelesaian dari sudut agama lain. Saya hanya tahu dari sudut Islam. Boleh saya beritahu dari sudut pandangan Islam?”
Sememangnya waktu itu saya belum terdedah dengan ilmu perbandingan agama dan budaya bangsa lain secara khusus. Modal yang saya ada hanyalah pada konsep dan matlamat manusia diwujudkan. Saya juga meyakini fitrah manusia adalah sama walaupun mereka berbeza bangsa, bahasa dan warna kulit.
“Boleh… saya mahu mendengarnya…” respon positif diberikan.
“Dalam agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w adalah insan yang paling dikasihi Tuhan tapi dialah yang paling banyak menerima ujian…”
“Saya tahu itu… ada ahli keluarga saya yang sudah memeluk Islam… tapi… ” sambil gadis India itu menyebut ahli keluarganya yang telah memeluk Islam sambil terus mengeluh terhadap masalah yang menimpanya.
“Hmm setahu saya… bila diuji, itu tanda Tuhan sayangkan kita…”
Perbualan kami tidak lama kerana sama ada suami selesai dari urusannya dan saya perlu pulang atau gadis itu sendiri perlu menyambung kerjanya.
Saya berharap suatu hari nanti, gadis itu bisa memahami apa yang saya maksudkan ujian sebagai tanda Tuhan sayang.
Meskipun secara zahirnya, gadis India itu belum beriman kepada Allah dan rasulNya namun konsep Tuhan sayang itu adalah satu ‘point’ yang relevan untuk dia jadikan panduan mencari yang tersirat di sebalik yang tersurat. Apatah lagi bila saya menyebut Islam, dia terus mengakui sudah ada di kalangan keluarganya yang memeluk Islam.

Wallahua’lam.
Semoga Allah memberinya hidayah.
Ummu Abbas