• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label Berita dan Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Berita dan Peristiwa. Show all posts

Wednesday, January 11, 2012

UiTM diarah bayar bekas pelajar RM254,059 akibat kemalangan

Posted by Abu Huzaifah On 6:11 PM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar gantirugi RM254,059 kepada bekas pelajar universiti itu yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di kampus universiti itu pada Mei 2006.
  
Hakim Datuk Hinshawati Shariff memberikan plaintif, Nur Faizurah Amat @ Sani, RM24,058.99 sebagai gantirugi khas, RM70,000 ganti rugi am dan RM20,000 bagi surgeri di masa depan bagi kecacatan pada kakinya.

Plaintif juga diberikan RM15,000 bagi tulang belakangnya yang retak, RM10,000 bagi parut di badannya, RM5,000 bagi kecederaan di kepala dan RM40,000 bagi kesakitan dan penderitaan dan RM70,000 bagi pengehadan perubatan iaitu tidak boleh mempunyai lebih daripada tiga orang anak akibat kecederaan itu.
  
Nur Faizurah, 30, yang kini bekerja sebagai eksekutif bank, cedera parah dan terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang apabila beliau tersadung dan terjatuh dari tingkat dua bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di universiti itu di Shah Alam pada 21 Mei 2006. Beliau berada di sana bagi mengambil jubah dan untuk menghadiri raptai bagi majlis konvokesyen selepas menamatkan pengajian pada 2005.
  
Hakim Hinshawati berkata UiTM didapati 70 peratus bertanggungjawab manakala kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian di tingkat dua bangunan itu 30 peratus bertanggungjawab bagi kemalangan itu. Beliau juga memerintahkan defendan menanggung kos perbicaraan itu dengan jumlahnya akan ditentukan kemudian.
  
Dalam kemalangan itu, Nur Faizurah berada di lobi lif di tingkat dua Menara Sultan Abdul Aziz Shah apabila beliau tersadung pada sesuatu dan hilang imbangan badan sebelum terjatuh pada jarak setinggi 6.09 meter (20 kaki) ke tingkat bawah.
  
Plaintif dalam tuntutannya difailkan pada 2008 berkata kawasan tempat beliau jatuh sedang diubahsuai, dengan terdapat banyak pasir dan bahan binaan di atas lantai, manakala besi penghadang di sekeliling balkoni itu telah dialih tanpa sebarang tanda atau notis untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai kerja ubahsuai itu.
  
Oleh yang demikian, berlaku kecuaian di pihak defendan dalam mentadbir kawasan ubah suai itu kerana tiada penghadang diletakkan untuk mengelak pelajar daripada pergi ke balkoni yang terdedah dan bahaya, katanya.

Plaintif dihantar ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) dan dirawat selama sebulan di samping menjalani pembedahan tulang belakang. Pembedahan dan rawatan di SMC memerlukan Nur Faizurah membayar RM32,256 dan beliau telah meminta UiTM membayar bil perubatan itu tetapi universiti itu enggan berbuat demikian dan meminta kontraktor menanggung kos itu.

Bagaimanapun, kontraktor hanya membayar RM20,000 daripada bil itu dan enggan membayar lebih banyak, mengakibatkan defendan masih berhutang dengan SMC manakala hospital itu enggan memberikan rawatan susulan kepadanya sehingga hutang itu diselesaikan.
  
Akibat kecederaan itu, beliau sering berasa sakit dan tidak boleh berdiri atau duduk bagi tempoh yang lama, berjalan untuk jarak yang jauh atau terbabit dalam aktiviti sukan. Kesakitan itu bertambah teruk dalam keadaan cuaca sejuk.

Monday, January 2, 2012

Puluhan Ribu Hadir Program Ilmu Sambut Tahun 2012 Bersama Ust Azhar Idrus

Posted by Abu Huzaifah On 2:55 AM


SHAH ALAM, 1 JANAURI: Puluhan ribu orang hadir ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang turut menggandingkan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya membawa pendekatan baharu dan berbeza pengisian ilmu malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih hebat berbanding jumlah kehadiran ke program “Karnival Sayangi Selangor” dan sambutan malam tahun baharu I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja. Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.
Mengikut laporan-laporan di blog dan media sosial program yang di bawa oleh kerajaan Selangor yang mengisi malam sambutan tahun baharu 2012 dengan pengisian ilmu dan bermanafaat memang dinanti oleh masyarakat. Mereka juga menyatakan komen positif di atas kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha menangani gejala tidak sihat dalam sambutan tahun baharu.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan “kena dengan caranya”.

Antara pimpinan kerajaan Selangor yang hadir malam semalam  ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Dr Yaakob Sapari serta ahli parlimen Shah Alam; Khalid Samad.

Friday, October 21, 2011

Hampir 1000 berhimpun tuntut Prof. Abdul Aziz Bari 'dibebaskan'

Posted by Abu Huzaifah On 3:38 AM

GOMBAK: Hampir 1,000 mahasiswa dan orang ramai berhimpun di perkarangan Masjid (UIAM) hari ini bagi membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh universiti itu. Perhimpunan aman yang bermula selepas selesai solat Jumaat itu majoritinya disertai golongan mahasiswa dipercayai dari pelbagai universiti.

Sejurus imam selesai membaca doa, laungan "Hidup Aziz Bari", “Hidup Ilmu”, “Bebas Aziz Bari” mula bergema.Seorang peserta himpunan kemudiannya cuba memulakan ucapan, tetapi bagaimanapun tindakan itu dihalang pihak keselamatan universiti, dan sedikit kekecohan berlaku. Ekoran halangan itu, mereka kemudian beramai-ramai berarak dari masjid tersebut menuju ke bangunan pejabat reaktor universiti itu bagi menyerahkan memorandum.

Mereka diketuai pihak penganjur dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa Malaysia (Dema) serta persatuan mahasiswa kampus itu sendiri.

Sewaktu perarakan itu, sekali lagi berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum tersebut menyebabkan tolak menolak berlaku.

Memorandum tersebut akhirnya berjaya diserahkan kepada Timbalan Rektor UIAM kira-kira jam 2.20 petang. Dalam memorandum itu mereka menuntut hukuman penggantungan terhadap Aziz Bari agar segera ditarik balik.

Mereka juga menyifatkan tindakan terhadap pakar perlembagaan itu sebagai mengongkong kebebasan akademik di universiti.Terdahulu, pemeriksaan ketat dilakukan di pintu gerbang universiti itu oleh beberapa anggota keselamatan.

Saturday, August 13, 2011

Tahanan Penjara di Kelantan dakwa dibogelkan

Posted by Abu Huzaifah On 10:07 AM

Seorang bekas tahanan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan mendakwa hak asasinya dicabul sepanjang dua minggu penahanannya itu.NONEAhmad Syauqey Abdul Ghani berkata dia dan 113 banduan lain diarahkan oleh warden penjara untuk berbogel beramai-ramai pada hari dia dihantar ke penjara iaitu pada 23 Jun lalu.

“Saya dalam keadaan takut dan keliru bersama-sama dengan rakan banduan yang lain terus menelanjangkan diri beramai-ramai. Keadaan sedemikian sangat mengaibkan saya.

“Arahan diberi secara berperingkat melibatkan 10-20 banduan pada satu-satu masa. Kami kemudiannya sekitar 20 orang diarah untuk pergi berak. Keadaan ratusan manusia bogel sangat dasyat, memalukan dan di luar perikemanusiaan,” tulisnya kepada Malaysiakini dalam emel.

Bekas sukarelawan dengan pemantau pilihan raya Mafrel itu sempat melakarkan beberapa keping lukisan bagi menggambarkan keadaan di situ.Katanya, dia dan rakan yang lain kemudian diminta untuk berjalan dalam keadaan telanjang bulat ke kawasan bilik air.

“Kami terpaksa melalui rakan-rakan sel penjara yang lain sepanjang laluan, yang melihat secara jelas keadaan kami yang bertelanjang bulat... Kami (juga) diarahkan untuk berak secara terbuka, secara berbaris di depan satu sama lain,” katanya.

Ahmad Syauqey juga mendakwa tempat kurungan di penjara itu begitu sempit dan berlaku kesesakan.
Hak bersolat“Keluasan sel ini sekitar 6 kaki x 12 kaki. Kami hanya dibekalkan sehelai selimut, tanpa tilam. Kami juga dibekal satu baldi besar air untuk kegunaan basuh kencing dan berak. Satu bekas kecil air minuman.

“Kami terpaksa berhimpit-himpit dan sebahagian daripada kami terpaksa meletakkan kaki ke atas dinding kerana tidak muat untuk berlunjur. Ramai di kalangan kami tidak dapat tidur kerana kepanasan dan kesesakan,” dakwanya lagi.

Menurut Ahmad Syauqey, sepanjang penahananya itu dia dalam kepanasan kerana hanya ada satu pintu depan dan lubang angin kecil di atas bilik yang menempatkan sepuluh hingga 12 banduan itu.
Dakwanya lagi, banduan-banduan yang beragama Islam juga dinafikan hak untuk bersolat dengan sempurna.

“Dengan penyediaan bekas air baldi bulat berukuran melebihi 1½ kaki x 2 kaki, menurut mazhab Syafie secara teori ia boleh digunapakai untuk berwuduk. Namun secara praktikal, hampir mustahil dapat dielakkan daripada air tersebut menjadi air mustakmal, yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan bagi mengambil wuduk,” katanya.

Ahmad Syauqey berkata selepas dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis berhubung layanan tidak berperi-kemanusiaan itu di balai polis Kota Bharu dan bercadang mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Hak asasi Manusia (Suhakam) setelah menghantar emel kepada mereka.

azlanKetika dihubungi, pengarah Penjara Pengkalan Chepa Husni Johari berkata siasatan berhubung dakwaan itu sedang dijalankan."Buat masa ini, kami tidak mahu mengulas kerana siasatan sedang dijalankan. Ia akan lengkap tidak lama lagi,” kata Husni.

Ahmad Syauqey ditangkap pada 20 Jun mengikut Seksyen 186 Kanun Jenayah kerana menghalang tugas anggota polis dan di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak sopan di balai polis.

Beliau dikenakan tahanan reman dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa dan dibebaskan pada 5 Julai lalu setelah jaminan dibayar di mahkamah majistret di Bachok.

Thursday, July 21, 2011

Haramkan Judi ; 3 Individu Saman Kerajaan Kelantan

Posted by Abu Huzaifah On 5:08 AM

Dua ahli perniagaan Cina dan seorang individu menyaman kerajaan negeri  Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) berhubung pengharaman aktiviti perjudian di negeri itu yang berkuatkuasa hampir 20 tahun lalu.

Saman pemula itu difailkan oleh Wong Meng Yit, 47, dan Lee Khim Haw@Lee Khim Hwa, 58, kedua-duanya ahli perniagaan, serta Gan Han Chuan, 44, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Sheng Lee Law pada 6 Jun lalu. Ketiga-tiga plaintif diwakili peguam Lee Kien Han dan peguam Rueben Mathiavaranam manakala kerajaan negeri Kelantan diwakili Penasihat Undang-undang Negeri dan MPKB diwakili oleh sebuah firma guaman.

Dalam saman pemula itu, ketiga-tiga plaintif memohon satu deklarasi bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak berkuasa untuk mengeluarkan arahan atau polisi bagi meluluskan atau menggubal apa-apa enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri di negeri itu. Mereka juga memohon satu deklarasi bahawa perkara-perkara mengenai perjudian dan loteri adalah dalam bidang kuasa eksklusif Parlimen yang mengecualikan badan perundangan negeri Kelantan.

Plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan atau menggubal apa-apa undang-undang serta undang-undang kecil, peraturan, arahan atau polisi yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.
Mereka menuntut ganti rugi am, kos bagi tindakan dan perintah lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Lee yang ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di Kuala Lumpur, berkata bahawa mahkamah sudah menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan. Katanya, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas 1 di Kuala Lumpur.

- sumber  Bernama

Saturday, July 9, 2011

6 Ribu Yang Hadir Demo ; Benarkah laporan media? Apa pandangan anda ..

Posted by Abu Huzaifah On 9:29 PM


KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan mencanang propaganda untuk menarik penyertaan ribuan orang, perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang berlangsung di ibu negara semalam menemui kegagalan apabila sekadar menarik 6,000 orang menyertainya.

Lebih mengecewakan, perhimpunan haram itu menyaksikan para pemimpin kanan pembangkang yang selama ini berselindung di sebalik nama BERSIH turut gagal menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara sebagaimana dijanjikan.

Kegagalan Bersih yang dianggotai oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu jelas berpunca daripada tindakan proaktif polis mengadakan kawalan keselamatan sejak kelmarin.Tindakan tegas polis bermula dengan sekatan jalan raya di kesemua laluan masuk ke Kuala Lumpur serta penutupan 58 batang jalan dan kawasan tumpuan di pusat bandar sejak pukul 12.01 tengah malam semalam (laporan akhbar KOSMO)

Nota : Demikian pandangan wartawan akhbar KOSMO...anda sebagai pembaca rakyat Malaysia sama ada dalam negara atau di perantauan boleh menilai sendiri kredibiliti dan integriti akhbar ini! Tepuk dada tanya 
hati..


Friday, April 22, 2011

Hina Sultan,Persada Lapor Kepada Polis

Posted by Abu Huzaifah On 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 22 April: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) semalam membuat satu laporan polis terhadap seorang pemuda yang didakwa menghina Sultan Kelantan di Facebook.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Lembah Subang, Petaling Jaya bagi menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu bernama Sulaiman Ali Sulaiman kerana didakwa menulis kata-kata kesat dan lucah terhadap Tuanku Muhammad Faris Petra.

Presidennya, Ali Hanafiah Mohammed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, sebagai raja yang dilindungi oleh Perlembagaan negara, Sultan tidak seharusnya dilibatkan dalam isu-isu tertentu apatah lagi dalam bentuk penghinaan.“Ini bukan kali pertama Raja kami dihina, penghinaan terhadap raja kami adalah penghinaan terhadap kami,”  tegasnya.

Selain menghina Sultan, Sulaiman Ali Sulaiman melalui paparan Facebooknya juga dilihat banyak menghentam  termasuk menggunakan kata-kata kesat.Beliau juga turut menghina rakyat kelantan yang didakwanya sebagai 'bodoh'.

Persada, sebuah NGO anak Kelantan kata Ali, tidak akan membiarkan perkara itu terus berlaku dan akan sentiasa berdiri teguh dan mempertahankan Sultan Kelantan sebagai payung pemerintah negeri yang berdaulat.Beliau sehubungan itu menggesa pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan kerana tidak menghormati institusi diraja.Turut mengiring Presiden adalah setiausahanya Razali Mat Ail, Penolong Setiausaha, Norfadhilah serta ahli jawatan kuasa Azihan Che Seman, Nur Izzah Daud.

Sunday, April 10, 2011

Pakar bantah desakan laksana semula PPSMI

Posted by Abu Huzaifah On 10:20 PM

Pakar dan pendidik bahasa Melayu membantah sebarang usaha untuk melaksanakan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing, Profesor Dr Awang Sariyan berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI."Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Katanya Kementerian Pelajaran sendiri telah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa Melayu.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman pula berkata tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak.Katanya PPBMM menyokong bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah dan pernah mendesak agar mata pelajaran itu diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam di negara ini.Bagaimanapun katanya, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak patut dilakukan dengan mengorbankan kedudukan bahasa Melayu dengan perlaksanaan PPSMI.Menurutnya, PPBMM secara tegas membantah sebarang usaha bagi mengembalikan PPSMI tanpa kompromi.

"Kita harap kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum melayani desakan golongan tertentu untuk mengembalikan semula PPSMI kerana ia boleh membawa banyak implikasi buruk kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Monday, March 28, 2011

Pelajar Kelantan Cemerlang Akan Dapat Anugerah

Posted by Abu Huzaifah On 9:04 AM


KOTA BHARU, 28 Mac: Buat tahun keempat berturut-turut Kerajaan Kelantan akan memberi anugerah dan saguhati kepada pelajar cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata keputusan itu telah diluluskan dalam mesyuarat exco pagi semalam. Katanya, pelajar SPM yang memperolehi 9A ke atas,  STAM 10 Mumtaz dan STPM 4A layak membuat permohonan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang akan menjadi urusetia pada program ini.

“Majlis khas bagi meraikan pelajar cemerlang akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan tanpa mengira bangsa agama serta dari sekolah mana mereka belajar termasuk rakyat Kelantan yang cemerlang belajar di luar,”ujarnya lagi.Beliau berkata demikian selepas mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim di sini pagi tadi.

Amar seterusnya memberitahu jumlah peruntukan sebenar belum diketahui memandangkan rekod kecemerlangan pelajar bawah Kementerian Pendidikan belum diketahui.Sambungnya, dalam tempoh tiga hari lagi pelajar cemerlang boleh mendapatkan borang permohonan di YIK.

 

Thursday, March 3, 2011

CAP dakwa harga makanan lonjak antara 20 hingga 167 peratus

Posted by Abu Huzaifah On 7:39 AM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  mendakwa harga pelbagai makanan telah melonjak antara 20 peratus hingga 167 peratus sejak bulan lalu akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata peningkatan harga makanan itu telah menyebabkan kesukaran yang amat sangat kepada kehidupan pengguna. "Satu hidangan sayuran yang dijual pada harga 60 sen enam bulan yang lepas, kini dijual pada harga 80 sen hingga RM1.00 setiap hidangan, peningkatan 25 peratus hingga 66 peratus; udang (saiz sederhana) daripada RM1.50 hingga RM4.00 setiap satu, peningkatan 167 peratus," katanya dalam satu kenyataan media. 

Menurut SM Mohamed, pengusaha restoran dan pemilik gerai makanan yang ditemubual oleh pegawai CAP, berkata kenaikan harga makanan dan minuman ringan adalah akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan yang diimport seperti bawang, bawang putih, kacang dal dan rempah; ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayuran, tepung beras, telur, susu pekat manis, biji kopi, serbuk teh daripada antara 20 peratus sehingga 200 peratus serta peningkatan dalam harga gas dan bahan api.
NONEKatanya kajian yang dijalankan sekitar gerai-gerai di Pulau Pinang itu mendapati kenaikan bukan sahaja membabitkan kedai makanan orang Islam tetapi juga menjejaskan makanan orang Cina dan India.

"Harga char koay teow di gerai makanan Cina menunjukkan peningkatan 50 peratus daripada RM3.00 kepada RM4.50 sepinggan."Barangan makanan lain seperti moey daging atau bubur meningkat daripada RM3.50 kepada RM4.50; mee udang daripada RM4.50 kepada RM5.50; mee tomyam RM4.00 kepada RM4.50; nasi goreng daripada RM3.50 kepada RM4.00," katanya.

Menurut beliau bagi makanan masyarakat India pula, harga tosai yang dijual RM1.00 setiap satu kini meningkat RM1.20, peningkatan 20 peratus harga roti canai dan nasi lemak masih sama tetapi kandungannya telah dikurangkan."Harga kopi dan teh telah meningkat daripada 80 sen kepada RM1.00 hingga RM1.10 segelas; Nescafe, Horlicks dan Milo meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.30 segelas; minuman tin dan jus segar pula meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.00, peningkatan 33 peratus."Di sesetengah tempat ais kosong telah meningkat daripada 20 sen kepada 40 sen segelas iaitu peningkatan 100 peratus," katanya.

Presiden CAP itu berkata memandangkan kenaikan kos, bayaran bagi perkhidmatan lain seperti pembaikan paip, elektrik, bengkel kereta, membaiki motosikal juga telah meningkat bayarannya daripada antara 20 peratus kepada 30 peratusdalam tempoh lebih enam bulan lalu.

Sehubungan itu, SM Mohamed menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara ini dengan serius bagi mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan kos."Pengguna (perlu) berhati-hati dalam berbelanja dan untuk meminimumkan makan di luar dan jika mereka tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa makan di luar, maka pilihlah kedai yang mengenakan harga yang berpatutan.

Monday, February 28, 2011

Takziah kepada keluarga Erbakan dan pencinta Islam di Turki

Posted by Abu Huzaifah On 11:35 PM


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Abu Huzaifah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga al-Marhum Najmuddin Erbakan dan pengikut serta seluruh pencinta perjuangan Islam  di atas kepulangan Almarhum  ke rahmatullah pada hari kelmarin  27 Februari 2011 bersamaan dengan 24 Rabiul Awal 1432 Hijriah.

Sesungguhnya Allah SWT telah memanggil Almarhum pulang ke tempat asal yang dijanjikan Allah Azza wa Jalla, walaupun kehilangannya akan dirasai oleh seluruh penyokong dan pencinta perjuangan Islam di serata pelusuk dunia. Beliau adalah seorang mujahid, ahli akademik, ilmuan Muslim dalam bidang teknologi, mantan perdana menteri, pemimpin siasah, bapa dan mentor kepada ramai pimpinan gerakan Islam di dunia hari ini.

Mantan Perdana Menteri Turki pertama dari parti berhaluan Islam, Necmettin(Najmuddin) Erbakan yang merupakan guru siasah  kepada PM Turki sekarang, Recip Erdogan dan Abdullah Gul wafat dalam usia 85 tahun. Erbakan menjadi perdana menteri dalam tempoh yang singkat ; selama satu tahun (1997-1998) ketika beliau  dipaksa berundur oleh Angkatan Bersenjata Turki yang berhaluan sekular garis keras.
Tahun berikutnya Parti Kesejahteraan yang beliau pimpin dilarang sedangkan Erbakan sendiri dilarang berpolitik selama lima tahun karena melanggar konstitusi. Parti AK yang sekarang berkuasa di Turki mewarisi ideologi yang mendasari Parti Kesejahteraan. Erbakan adalah seorang profesor dalam bidang mekanika yang oleh para pengikutnya dikenali dengan sebutan Hodja atau guru.

Dua tokoh di antara anak buah Erbakan di Partai Kesejahteraan adalah Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan."Kami akan selalu mengenangnya dengan penuh syukur sebagai guru dan pemimpin," kata Erdogan.Erbakan meninggal di sebuah hospital di Ankara ketika sedang menjalani perawatan penyakit jantung.

Rehlah Abu Huzaifah ke Turki

Abu Huzaifah mempunyai kenangan manis yang sempat dipetik dari pengalaman kembara ke Turki selama 13 hari pada cuti semester pertama 1997/1998 dalam program 'Jejak Uthmani' anjuran Badan Kebajikan Anak Melaka Jordan. Menziarahi Turki seperti juga bumi Mesir tidak cukup dalam tempoh sebulan kerana mempunyai banyak ibrah sejarah bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan iktibar yang sangat berguna kepada penggerak dakwah dan pencinta Islam.

Mungkin faktor begitulah seorang pendakwah semasa dan blogger terkenal Ust.Hasrisal Abdul Jamil berulang kali bertandang ke Turki. Banyak ibrah disebalik sebuah Khilafah Uthmaniyah sama ada semasa pemerintahan itu gagah dan ketika lemah..insya' Allah Abu Huzaifah akan sambung bicara tentang Turki. untuk dikongsi bersama sahabat ziarah.