• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label Khutbah dan Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Khutbah dan Tazkirah. Show all posts

Sunday, December 4, 2011

Merebut Kelebihan Bulan Muharam

Posted by Abu Huzaifah On 10:03 PM


بسم الله الرحمن الرحيم
dipetik dari : http://ustazazhar.net

ALLAH s.w.t berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi s.a.w bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tuesday, August 23, 2011

Ramadhan: Taqwa Bertambah Berkat Melimpah

Posted by Abu Huzaifah On 10:14 PM

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk sama-sama merebut tawaran dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini dengan gandaan pahala padanya serta pengampunan dosa. Gunakanlah kedatangan Ramadhan untuk mencapai beberapa hikmat kebaikan berpuasa antaranya dapat menjaga kesihatan dengan memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga. Bila kita dapat mengurangkan jumlah pemakanan maka ia dapat menjimatkan perbelanjaan harian terutama pada suasana ekonomi yang tidak menentu ini. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai bulan menambah pahala ibadat bukannya bulan menambah berat badan kerana berpesta makanan lazat. Tarbiah Ramadhan turut mengajar kita mejadi umat yang berdisiplin yang sentiasa menjaga makan minum agar sentiasa menjauhi perkara syubhat apatah lagi yang haram. Gunakanlah sebaik mungkin kelebihan Ramadhan yang tidak didapati pada bulan-bulan lain dalam mendidik hawa nafsu kita agar tunduk dan patuh kepada Allah bukannya kita pula menjadi hamba kepada nafsu jahat yang sentiasa bergelora dalam diri. Kawal pergerakan nafsu jahat ketika penggodanya iaitu Syaitan dirantai pada bulan yang mulia ini. Tingkatkanlah amalan soleh agar sentiasa suburnya sifat ahli Syurga pada diri kita di bulan yang terbuka luas pintu Syurga. Pada masa yang sama jauhilah segala sifat ahli Neraka dengan menjauhi sebarang maksiat ketika ditutup segala pintu Neraka dengan kedatangan Ramadhan. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال النبي  : إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ - رواه مسلم
Maksudnya : Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Ramadhan juga bulan pengikat kasih sayang terutama sesama umat Islam. Kedatangan Ramadhan membolehkan sebuah keluarga yang besar duduk semeja semasa berbuka puasa yang payah dirasai pada bulan lain. Ketika kenyang maka kita jarang berfikir tentang kesusahan dan kelaparan orang lain tetapi bila ditarbiah dengan lapar lalu datangnya keinsafan dalam diri tentang masih ramai saudara kita yang kebuluran, kesusahan, kemelaratan terutama yang berada di negara yang terlibat dengan peperangan seperti Afghanistan, Iraq, Palestin dan sebagainya. Sempena berada dibulan yang dilipat gandakan pahala ini maka jangan kedekut untuk kita mengadakan majlis berbuka atau menghulurkan bantuan semampunya kepada saudara kita yang lebih susah untuk sama-sama merasai nikmat berbuka. Ingatlah pesanan Sayyidina Ali Karramallahu wajhah bahawa harta yang diguna untuk membeli makanan diri kita akan lenyap menjadi najis, harta yang diguna untuk membeli pakaian maka pakaian itu akan lusuh dan seterusnya dibuang. Hanya harta yang digunakan untuk sedekah sahaja yang dapat menjamin pahala berkekalan. Ingat juga saranan nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi :
قال النبي  : مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada seseorang untuk berbuka puasa nescaya dia mendapat ganjaran pahala yang sama dengan orang yang berpuasa itu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Universiti Ramadhan turut melahirkan umat yang sentiasa bersifat dengan segala sifat terpuji dan menjauhi sifat keji dengan syarat umat Islam memang benar-benar berpuasa sebagaimana yang dituntut oleh agama iaitu bukan setakat puasa perut daripada lapar dan dahaga sahaja malah kaki, tangan, mulut, telinga, faraj termasuk hati turut berpuasa. Bila lahirnya sifat sabar dalam diri hasil tarbiah puasa maka banyak sifat keji seperti suka bergaduh, gemar mengeluar perkataan yang keji, suka bersumpah bohong dapat dihindar sebagaimana disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال النبي  : الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ : إِنِّيْ امْرُؤٌ صَائِمٌ
Maksudnya : Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya maka katakanlah : “ Sesungguhnya aku berpuasa”.
Bila hati bersih dan segala pancaindera yang lain dapat dikawal maka lahirlah umat yang bertaqwa sebagaimana dikehendaki oleh Allah. Antara kelebihan orang yang berpuasa penuh ikhlas ialah doanya dimaqbulkan oleh Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Abu Hurairah :
قال النبي  : ثَلاَثَةٌ لاَتُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الصَّائِمُ حِيْنَ يُفْطِرُ وَالإِمَامُ العَادِلُ وَدَعْوَةُ المَظْلُوْمِ يَرْفَعُهَا اللهُ فَوْقَ الغَمَامِ وَ يَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَ يَقُوْلُ الرَّبُّ : وَعِزَّتِيْ َلأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِيْنٍ
Maksudnya : 3 orang di mana doa mereka tidak akan ditolak. Pertama orang puasa ketika berbuka, kedua pemimpin yang adil dan ketiga doa orang yang kena zalim. Maka Allah akan mengangkatkan doa mereka ke atas awan dan membuka bagi mereka akan pintu langit dan Dia berfirman : Demi kebesaranKu maka pasti dia akan Aku tolong walau pun setelah beberapa masa nanti

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Ramadhan turut melatih umat yang sebelum ini agak liar dan jauh daripada masjid untuk menjadi jinak dan dekat dengan masjid. Tidak rugi malah beruntung bagi umat yang cinta dan memakmurkan masjid ketika ramai lagi saudara seagama yang sukar ke masjid akibat peperangan atau larangan seperti di sebuah bandar di Itali sehingga terpaksa menunaikan solat Jumaat di stadium. Solat berjemaah dan aktiviti ilmu di masjid dapat menyuburkan semangat perpaduan dan pengukuhan aqidah dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam. Keberkataan hidup turut dapat diraih oleh umat Islam yang sentiasa menjaga solat 5 waktu secara berjemaah. Kini banyak pihak termasuk orang bukan Islam yang mengakui bahawa umat yang sentiasa menjaga ibadatnya akan menjauhi sebarang perbuatan yang merosakkan akhlak dan jenayah. Inilah matlamat utama kepada setiap ibadat dalam Islam termasuk puasa iaitu melahirkan umat yang bertaqwa yang sentiasa takut kepada Allah sepanjang masa setiap tempat. Bila lahirnya pemimpin yang taqwa maka tiada lagi berlakunya kezaliman terhadap rakyat dan penyalahgunaan kuasa dalam mengaut keuntungan peribadi. Bila lahirnya pegawai kerajaan dan kakitangan syarikat bertaqwa maka tidak berlakunya pecah amanah dan rasuah. Bila lahirnya peniaga yang bertaqwa maka tiada lagi amalan tipu dan monopoli harga barangan demi mencari keuntungan melampau. Bila lahirnya anggota masyarakat yang bertaqwa maka tiada lagi kes kecurian, ketagih dadah, rogol dan sebagainya. Bila lahirnya suami yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderaan dan pengabaian rumahtangga. Bila lahir isteri yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderhakaan. Bila lahir anak yang bertaqwa maka tiada lagi kes melawan ibubapa. Bila lahir pelajar yang bertaqwa maka tiada lagi kes buli dan jenayah di tempat belajar. Alangkah indahnya bila setiap anggota masyarakat bermula daripada pemimpin hingga anak kecil bertaqwa kepada Allah sehingga keberkatan dan nikmat hidup melimpah-limpah datangnya daripada Allah. Inilah ia kelebihan dan kepentingan taqwa yang mudah dikata tapi payah untuk dikota. Taqwa menjadikan kita bahagia di dunia manakala di akhirat pula taqwalah yang menjadi bekalan yang paling berharga kepada setiap diri kita. Jadikanlah Ramadhan medan tarbiah yang melahirkan diri sebagai umat bertaqwa.Taqwa dimiliki negara harmoni,dunia sentosa akhirat bahagia
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ

وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

nota : Teks khutbah ini dipetik dari laman Khutbahku.blogspot.com yang dikendalikan oleh Ustaz Syairazi .Jazakumullahu khayran kathira.