• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Showing posts with label kenyataan media NGO dan tokoh. Show all posts
Showing posts with label kenyataan media NGO dan tokoh. Show all posts

Sunday, June 9, 2013

Pada saya SPR gagal ; Dr.Mohammad Agus

Posted by Abu Huzaifah On 9:42 PM

KUALA LUMPUR: Prof.Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu. “Pada saya SPR gagal,” tulis beliau di Facebook. Menurut penganalisis politik itu jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013. Berikut ialah tulis penuh beliau. Saya tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Pada saya SPR gagal. Jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, PM tidak akan membuat pengumuman sedemikian. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505 seperti yang berlaku sekarang ini. Bagi saya, jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.Cumanya, yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR? Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada . Begitupun, sekiranya kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa bagi mereformasikan SPR dan sistem pilihan raya kita, maka hal berikut perlu diberikan perhatian: (i) kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan; (ii) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003. Di akhir analisisnya, saya merasakan kerajaan dan PR perlu mengambil tindakan berikut: (i) mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR supaya meletakkan jawatan, (ii) PR menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang. Dengan pendekatan ini, semoganya tidak ada lagi perhimpunan 505 diadakan dan kerajaan boleh terus menumpukan masa untuk merancang pembangunan negara. Sesungguhnya, rakyat dahagakan kehidupan yang selesa.

Thursday, February 16, 2012

Keuntungan Menggila 83.233% ke atas segelas air!

Posted by Abu Huzaifah On 6:21 PM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menguatkuasakan dengan segera Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap kedai, restoran dan kedai kopi yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk air minuman. Pihak kementerian tidak seharusnya menunggu pengguna untuk membuat laporan dikenakan bayaran berlebihan tetapi menggunakan kuasanya di bawah Akta itu untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Daripada laporan media, dinyatakan bahawa pengguna dikenakan bayaran sehingga RM1.50 untuk segelas air.  Menurut SYABAS, mereka mengenakan caj RM2.00  bagi 1,000 liter air di Selangor. Berdasarkan kepada caj itu, segelas air (300 ml) yang biasanya berharga 50 sen di beberapa kedai sepatutnya hanya berharga RM0.0006 sen.  Ini bermakna restoran dan kedai memperolehi keuntungan 83,233% bagi setiap gelas air yang dijual. Ini merupakan satu rompakan di siang hari! 

Pihak restoran berkata harga air meningkat memandangkan mereka terpaksa mengambil kira kos yang ditanggung. Bagaimanapun, CAP merasakan ia bukanlah alasan yang wajar kerana sekalipun perbelanjaan yang ditanggung diambil kira, harganya masih tinggi.

Sebaliknya sudah menjadi satu kebiasaan di sesetengah restoran dan kedai untuk menghidangkan air sebaik sahaja pelanggan mereka duduk. Dalam kebanyakan kes, air tidak diminum memandangkan pelanggan memesan minuman lain dan air itu dibuang begitu sahaja. Dalam keadaan ini, air seharusnya dihidangkan jika pelanggan memintanya. Oleh sebab itu CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan Akta itu.


S.M Idris
Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
No. 10, Jalan Masjid Negeri,
11600 Pulau Pinang.
Tel: 04-8299511 Faks: 04-9298109 

Tuesday, November 8, 2011

ISMA tuntut pemansuhan PPSMI disegerakan

Posted by Abu Huzaifah On 8:12 AM

Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sangat dialu-alukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).Walau bagaimanapun, tarikh pemansuhan sepenuhnya yang hanya berkuatkuasa pada 2021 dilihat kurang wajar.

ISMA menganggap pengumuman ini adalah satu penangguhan. ISMA bimbang sikap tidak konsisten pembuat keputusan akan menimbulkan keresahan berterusan majoriti rakyat, terhadap masa depan pendidikan anak-anak mereka dan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah diperjudikan.

Ia berdasarkan kajian kementerian pendidikan sendiri menunjukkan hanya 5-7 peratus sekolah seluruh negara telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini, manfaat daripada penangguhan ini adalah kurang jelas.

Di samping itu, kajian-kajian lain juga jelas menunjukkan pencapaian pelajar dalam sains dan matematik lebih baik sebelum dasar PPSMI dilaksanakan. Oleh itu, penangguhan ini akan lebih banyak memberi kesan buruk.

ISMA berpandangan pemartabatan bahasa Melayu tidak dapat dicapai hanya melalui slogan-slogan dan saranan-saranan yang dilaungkan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja. Iltizam yang kukuh perlu ditunjukkan melalui polisi pendaulatan bahasa Melayu yang konsisten.

ISMA memberi amaran agar tidak ada pihak-pihak yang terus menerus mengambil kesempatan dalam senario politik semasa untuk mengugut kerajaan dengan risiko kehilangan sokongan, jika tidak meneruskan dasar PPSMI.

ISMA menuntut agar kerajaan tidak berlembut dalam mempertahankan prinsip kenegaraan, terutama berkaitan kedudukan bahasa Melayu, hanya disebabkan tekanan politik. Ini kerana, jika semua prinsip asas dan dasar kenegaraan dijadikan bahan berpolitik, negara akan terdedah kepada bahaya besar.

ISMA yakin kekayaan bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual dan bahasa kebangsaan dan ia mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan untuk pelajaran Sains dan Matematik. Ia adalah bahasa yang setanding dengan pelbagai bahasa bangsa lain di dunia.

Oleh itu, Malaysia akan tetap mampu menjadi negara maju seperti Jepun, German, Itali dan Perancis, walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.


Abdullah Zaik Ab.Rahman. Penulis adalah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Wednesday, August 24, 2011

IJTIMA' IEDUL FITRI BEKAS PELAJAR MA'AHAD MUHAMMADI LELAKI

Posted by Abu Huzaifah On 6:44 PM

 MAKLUMAN : IJTIMA' IEDUL FITRI BEKAS PELAJAR MA'AHAD MUHAMMADI LELAKI
Assalamualaikum warahmatullah.

Abu Huzaifah telah menerima satu email dari seorang sahabat tentang ijtimak Iedul Fitri Alumni MML & MMP pada tahun ini. Saya menyahut seruan dari sahabat AJK Alumni...oleh itu bagi bekas-bekas pelajar Maahad Muhammadi dapat mengambil perhatian dan memberi komitmen bagi memantapkan lagi alumni kita.Di bawah ini hamba siarkan email tersebut :

Dimaklumkan bahawa himpunan bekas-bekas pelajar (alumni) Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sekali lagi bersetuju untuk menganjurkan program di atas buat kali kedua setelah kejayaan yang dilaksanakan pada tahun 2010 dalam misi menghimpun kembali bekas-bekas pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan.

Program ini amat penting diadakan bertujuan untuk menjelaskan maksud dan fungsi alumni terhadap sekolah yang selama ini didokongi alumni Maahad Muhammadi Kota Bharu.

PADA : 3hb SEPTEMBER 2011 bersamaan 5 Syawal 1432H 
HARI : SABTU (jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari) 
TEMPAT : KAWASAN LAPANG (PADANG SEKOLAH), SEK. MEN. AGAMA MAAHAD MUHAMMADI PEREMPUAN, JALAN MERBAU, KOTA BHARU, KELANTAN 

PROGRAM : HIMPUNAN AIDILFITRI MAAHAD MUHAMMADI KOTA BHARU BAGI TAHUN 2011

Untuk makluman tuan, program ini juga akan menjemput dif-dif jemputan VIP-VIP yang terdiri daripada kalangan orang-orang kenamaan yang juga merupakan alumni Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan dan akan disertai oleh tiga ribu (3000) bekas-bekas pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan.

Pihak kami memohon jasa baik daripada pihak tuan supaya dapat memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang merupakan bekas-bekas pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu supaya dapat hadir beramai-ramai ke program di atas bagi memeriahkan lagi program dan mencapai sasaran jemputan seramai 3000 orang. Selain itu sebarang sumbangan utk membantu melancarkan lagi Ijtima' Aidilfitri kita pada tahun ini boleh disalurkan ke akaun BIMB Persatuan Bekas Pelajar Maahad Muhammadi 30360100521190 Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat memberi kerjasama kepada pihak kami memandangkan program ini merupakan program besar yang bakal menjadi acara tahunan pihak kami selepas ini. Segala jasa baik dan keperihatinan pihak tuan kami dahului dengan ucapkan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
HAJI AHMAD FAZLAN BIN HAJI MUSTAPHA
Setiausaha Jawatankuasa Penaja Alumni Maahad Muhammadi Kota Bharu
d/a Sek. Men. Agama Maahad Muhammadi Lelaki,
15400 Kota Bharu, Kelantan
(019-7422778)"

Friday, August 19, 2011

PENGEMIS DAN ZAKAT SALAH SIAPA?

Posted by Abu Huzaifah On 9:04 PM

   
DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Saya  hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi membantu golongan (umat) lslam daif.

Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai  sumber termasuk dana bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan ternakan,wang,harta,barangan kemas  dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.

Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diselenggarakan oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal. Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.

Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja atau mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?

Kepada para pemegang amanah yang alim di jabatan atau majlis-majlis agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina kolej universiti, premis dan wisma yang didirikan atas logo majlis  lslam boleh mengeringkan derita air mata sang peminta?

Amat memalukan  jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang tidak wajib dimercukan. Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada kemiskinan dan kelaparan umat lslam.

Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah 10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.

Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang  dalam kategori fakir dalam lingkungan  1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan untuk bercucuk tanam.Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu tahun sahaja,RM12juta  PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.

Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul zakat dan sumber-sumber yang lain.Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.Nota ini cuma mahu mencetuskan minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!

Dr.Rajie Hadi
Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan, Kuala Lumpur.
 

Monday, August 1, 2011

Buku Biografi Nabi Muhammad S.A.W menarik minat pembaca non Muslim

Posted by Abu Huzaifah On 6:17 PM


Assalamualaikum warahmatullah


Sahabat-sahabat rakan ziarah yang dihormati,
Kali ini Abu Huzaifah ingin memaparkan satu luahan seoarng pembaca non muslim yang memuji gaya penulisan buku hasil pena Dr.Zulkifli Mohd Yusoff dan isterinya yang berjodol 'Biografi Muhammad bin Abdullah'. Abu Huzaifah sendiri belum memiliki buku ini, biarpun dirumah saya terdapat buku-buku sirah seperti kitab al-Sirah al-Nabawiyah oleh al-Buthi, al-Mubarakfuri, TG Nik Abdul Aziz dan lain-lain.Insya' Allah buku tersebut bakal dimiliki dalam bulan yang mulia ini.


Tentang penulisnya Abu Huzaifah memang mengenali beliau sejak kecil lagi. Semasa Ustaz Zulkifli masih menuntut di Akademi Islam UM Nilam Puri, ayahanda hamba sering membawa beliau menyampaikan kuliah Maghrib di Madrasah Pak Nuh, Kedai Mulong. Beliau juga pernah beberapa kali bertandang ke rumah ziarahi keluarga kami. Alhamdulillah hari ini nama beliau semakin dikenali sebagai salah seorang ulama' yang mahir dalam bidang tafsir di tanah air kita. 

Kepada pembaca budiman sila tatapi  luahan penulis bernama Sukhdev Singh dibawah ini.
" Saya sebagai warga Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam menulis ingin merakamkan penghargaan kepada Prof. Dr. Datuk  Zulkifli Mohd. Yusoff, pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam , Universiti Malaya,  dan Dr. Noor Naemah Abd. Rahman, pensyarah di Jabatan Usul Fiqh, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya kerana penulisan mereka yang bertajuk “Biografi Muhammad bin Abdullah” yang saya baru-baru ini mula membaca."

Naskah yang saya memperolehi merupakan Edisi Kedua, Cetakan Kedua, 2011 (hard-cover) penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

Seperti yang dikongsi oleh kedua-dua penulis dalam bahagian “kata pengantar” pendekatan yang digunakan merupakan gaya penceritaan memang sesuai bagi kalangan bukan Islam.Lagi pun buku ini memang sesuai sebagai buku teks kegunaan sekolah menengah rendah untuk mata pelajaran Agama Islam untuk yang bukan muslim.

Lagi satu edisi yang lebih dalam tarafnya pengajian mata pelajaran Islam, seperti, undang undang ataupun keluarga dan sebagainya patut di sediakan bagi sekolah menengah tinggi.  Saya juga berpendapat mata pelajaran sejarah, patutnya diasingkan daripada Pengkajian Agama Islam.

Selama ini, apa apa yang kita dapat tahu tentang agama Islam adalah yang di dengar melalui beberapa jenis saluran media.  Panduan untuk menafsirkan apa yang kita terdengar itu memang tidak ada.  Ataupun, hal tentang agama Islam itu telah pun di “curi dengar”.  Hasil pencurian memang ada keburukannya.

Pada zaman dahulu, bagi kita yang bukan Melayu bukan Islam kita sangat di pengaruhi oleh ajaran dari kitab  Kristian, iaitu Injil.  Selain Injil, saya sendiri pernah membaca banyak buku yang berasaskan ajaran ataupun pandangan Agama Kristian.Untuk saya, itu adalah zaman sosio-politik Kristian.  Saya rasa sudah sampailah masa menghadapi penukaran zaman iaitu yang akan berasaskan agama Islam.

Lagi sekali saya ingin nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua penulis yang prihatin kepada yang bukan Islam dan berharap dasar dasar yang sesuai akan dilaksanakan untuk memupukkan suasana harmoni di antara warga pelbagai bangsa dan agama di negara Malaysia yang bertuah ini.

(sumber ; harakahdaily)

 
Bookmark and Share

Friday, June 17, 2011

Hina Islam : Persatuan Ulama' mahu Pelukis dan Penerbit Didakwa

Posted by Abu Huzaifah On 9:11 AM


Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan di Utusan Malaysia semalam diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan para ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi.Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan itu.

Dia hanya Besi

Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”
Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.

“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama,” katanya.Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.

"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."

Begitu jahil

Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam. “Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat. Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.


Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam. "Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya.

Wednesday, May 25, 2011

Hina Islam : ABIM gesa PDRM, SKMM ambil tindakan tegas

Posted by Abu Huzaifah On 9:38 PM

KUALA LUMPUR : Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius kewujudan laman web dan blog yang menghina imej serta kesucian agama Islam.Dalam kes ini, Abim merujuk kepada penyebaran beberapa bahan penulisan dalam blog http://makcikhajjahsittalwuzara2u.wordpress.com/ , dan laman Facebook menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara'.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, berdasarkan daripada keterangan yang diterima serta penyelidikannya, bahan-bahan yang dimuatkan dalam blog terbabit jelas menggambarkan niat jahat dan provokasi penulis blog tersebut.“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu tindakan tegas diambil ke atas blog dan laman facebook yang menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara' kerana jelas menghina imej serta kesucian agama Islam.

abim

“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.Justeru, Abim beserta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah membuat laporan polis di balai Dang Wangi.

Selain tulisan yang mencaci agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, turut disiarkan dalam blog berkenaan adalah beberapa gambar palsu yang menghina Kaabah yang ditampal dengan gambar binatang, jerung dan juga penyanyi barat yang berpakaian seksi.

Menilaii daripada itu, katanya Abim menuntut agar pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib segera menyiasat secara terperinci insiden yang sangat mendukacitakan ini.Katanya, Abim menuntut agar dakwaan dan tindakan tegas dikenakan terhadap beliau dan mana-mana pihak yang bersubahat.

“Abim juga dengan ini mendesak agar pemohonan maaf dikeluarkan secara rasmi dan terbuka oleh beliau terhadap seluruh umat Islam,” ujarnya.Abim, tambahnya mengambil kesempatan ini untuk menyeru mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan kebebasan ruang maya untuk menghina agama Islam.
“Sebagai agama Persekutuan,  kesucian dan kehormatan Islam haruslah dipertahankan dari sebarang unsur-unsur atau usaha untuk mencemarkannya,” ujarnya.

Thursday, April 28, 2011

PMIUM Gesa Kerajaan bertegas 'Permainan Hina Islam'

Posted by Abu Huzaifah On 10:06 PM

  
KUALA LUMPUR, 29 April: Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan kaabah.

Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.

Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.
Katanya, difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.
“Jadi, saya mewakili mahasiswa mahasiswi Islam UM menggesa pihak berwajib meneliti dengan lebih terperinci ‘keadaan’ permainan ini sebelum dipasarkan kepada pelanggan terutamanya remaja.

“Permainan komputer itu satu penghinaan melampau kepada umat Islam kerana kaabah adalah kiblat dan tempat suci, begitu juga dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan bahan permainan sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan permainan seperti itu boleh menggugat keimanan dan akidah seseorang terutama apabila ‘mempermainkan’ agama Islam.Tambahnya, tindakan dan sebaran harus dibuat secepat mungkin bagi menyedarkan semua sebelum terlambat.“Saya rasa isu ini sudah lama keluar, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang permainan ini,” ujarnya.