• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Monday, September 5, 2011

Perginya Seorang Ulama Terbilang Selepas Berakhir Ramadan

Posted by Abu Huzaifah On 9:31 PM No comments

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
1.  Syawalku untuk  1432 hijriah ini tiba - tiba menjadi suram, seakan turut bersedih mengiringi perkelanaan abadi seorang mursyiidul ummah al-Marhum Tuan Guru Hj Hashim Abu Bakar [ Ayah Shim ] yang telah kembali ke Rahmatillah seusai solat zuhur kelmarin.

2. Allah swt lebih menyayangi susuk yang banyak berbakti membangunkan generasi beriman dan bertaqwa kepada Allah swt sejak Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah [Pondok Pasir Tumbuh] beroperasi pada tahun 1954 yang lalu.

3. Al Marhum Ayahanda Tuan Guru Hj Hashim bersama dua lagi tokoh ulama terkenal tanahair iaitu al Marhum Tuan Guru Hj Musthafa dan  al Marhum Tuan Guru Hj Abd Aziz yang juga pengasas madrasah tersebut adalah antara mereka yang berjasa besar mendidik dan melahirkan para alim ulamak dan pejuang - pejuang Islam di negara ini.

4. Perginya mereka adalah hilangnya mutiara yang sangat berharga buat ummat ini, terutama di saat negara memerlukan tokoh ulama' seperti mereka. Ulama' yang bukan sahaja tinggi ilmunya tetapi sangat gigih dan tekun mendidik dan membimbing ummah. Mereka adalah mursyiidul ummah tanpa mengenal erti putus asa dan kalah.

5. Al Marhum Tuan Guru Hj Hashim adalah ikon ummah yang cinta dan kasihkan ilmu serta kehidupan yang bersendikan akhlak Islami. Saya mendoakan agar al Marhum Tuan Guru tergolong dari kalangan hamba - hamba Allah yang soleh .

6. Saya juga mengharapkan anak - anak muda hari ini dapat memperuntukan sebahagian masa dan waktu mereka untuk mentelaah dan menghayati perjuangan para alim ulama' dalam membina generasi hari ini justeru alim ulama' inilah selayaknya dijadikan idola dan qudwah demi masa depan yang baik di dunia dan akhirat.

Nota: Dipetik dari catatan Ustaz Nasrudin bin Hassan dari blog beliau dihttp://www.eperjuangan.com/
****************************

Catatan Abu Huzaifah : Perginya Seorang Ulama' Terbilang Selepas Berakhir Ramadan

Syawal kali ini Abu Huzaifah dikejutkan dengan dua kematian orang yang dikasihi; biarpun baru sahaja saya kenali mereka. Pertama kematian al-Marhum TG Haji Hashim mudir pondok Pasir Tumbuh yang nama beliau cukup dikenali oleh pelajar-pelajar pondok seluruh Malaysia.Keduanya kematian bilal  Madrasah Yam Tuan Beringin Kuala Pilah tempat saya menyampaikan kuliah Maghrib dwi bulanan antara tahun 2008-2010. Bilal tersebut berusia lewat 70-an adalah murid setia Abu Huzaifah dan sering bertanyakan soalan usai saya menyampaikan kuliah hadis 40. Bilal 'Pak Aman' mula tidak sedar diri ketika sedang sujud semas solat iedul Fitri  di madrasah tersebut sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada malam kedua Syawal. Kali terakhir hamba berkongsi ilmu bersama para jemaah madrasah YT Beringin  bulan April 2011 sebagai buah tangan terakhir sebelum meninggalkan Kuala Pilah.Sama -sama kita hadiahkan surah al-Fatihah kepada kedua-dua almarhum.

Manakala al-Marhum TG Haji Hashim pula walaupun saya tidak pernah mendapat pendidikan dan tarbiyah ruhiyyah dari ulama' pondok di mana-mana institusi pendidikan tertua di Malaysia, ianya tidak mengurangkan rasa hormat hamba kepada ulama' yang menabur khidmat dan keringat di pondok-pondok gedung ilmu yang sangat berjasa. Bayangkan sebelum lahirnya para mufti di negara kita yang lulus dari Al-Azhar, Madinah, India dan negara-negara Timur Tengah; ulama keluaran pondoklah yang bertungkus lumus menyelamatkan akidah umat Islam di Tanah Melayu dari pengaruh penjajah Inggeris.
Biarpun Abu Huzaifah lahir di desa yang hampir dengan dua buah pondok iaitu pondok Tunjung ( Madrasah al-Fununiyah al-Tunjuniyah) dan pondok Pasir Tumbuh, namun hamba tidak terdedah dengan pendidikan pondok. Entah kenapa? Pada ketika saya mula menjejak alam sekolah menengah pendidikan formal di sekolah sahaja yang menjadi buah mulut ibubapa untuk memyambung pelajaran. Abu Huzaifah tidak menyalahkan ibubapa..kerana banyak faktor yang mempengaruhi minda guru dan para ibubapa terhadap pendidikan di pondok.

Walaupun begitu, hamba tidak kecewa kerana ramai guru/asatizah hamba di MML lahir hasil didikan tuan-tuan guru di pondok. Apabila saya balik dari Jordan dan berkhidmat dalam kerajaan rasa hormat saya kepada ulama dan tok-tok guru pondok juga tidak berkurang. Hari ini, anak-anak yang belajar dipondok bukan lagi remaja yang gagal dalam peperiksaan SRP dan SPM. Ramai juga pelajar yang datang dari Selangor, KL dan negeri-negeri sebelah Pantai Barat kerana bimbang anak mereka terpengaruh dengan cara hidup yang jauh dari agama.

Mengenali TG Haji Hashim

Kali terakhir Abu Huzaifah bersama isteri dan anakanda Ilham Sumayyah 
menziarahi TG Haji Hasyim(berdiri dihadapan rumah TGHH)
 
Abu Huzaifah hanya  mengenali nama beliau sahaja sejak remaja lagi. Sekali sekala jika ada solat hajat di Stadium Sultan Muhamad IV beliau diberi penghormatan memimpin solat. Tidak pernah menadah kitab dan bersila dihadapan beliau mengutip mutiara ilmu di Pondok Pasir Tumbuh bertuah itu. Ketika ayahanda hamba meninggal dunia pada detik 10 Mac 2003, almarhum Tuan Guru Haji Hasyim yang memimpin solat jenazah. Abu Huzaifah dan zaujah tidak sempat melihat wajah almarhum ayahanda buat kali terakhir. Biarpun hati sedih dan pilu yang teramat, rasa terubat bila kakak mengkhabarkan bilangan jemaah yang solat jenazah ayahanda hamba begitu ramai memenuhi setiap ruang tamu rumah kami. Saya terhutang budi kepada TG Haji Hasyim yang datang bersama murid-murid beliau menyempurnakan jasad seorang hambaNya yang akan mengadap Rabbul Jalil bila-bila masa yang dikehendaki. ALLAHU AKBAR!

Tempoh pemusafiran saya berkelana di bumi Kenyalang selama enam tahun berkhidmat disana tidak memungkinkan hamba belajar di pondok itu. Seawal 2008, Abu Huzaifah bermastautin di NSDK. Sekali sekala ketika pulang saya mula menjengah dan beriktikaf di Masjid Pondok Pasir Tumbuh bertemankan zaujah dan anak-anak. Pada tahun 2009, dua kali hamba membawa rombongan ahli jemaah sebuah surau dari Kuala Pilah NSDK melawat pondok. 'Bagaikan orang mengantuk diberikan bantal' saya dipelawa oleh seorang murid kepada TG Haji Hasyim untuk menziarahi beliau. Alhamdulillah itulah kali pertama saya dapat bersalam dan melihat almarhum dari dekat. Berbicara dengan seorang tokoh ulama yang cukup dihormati oleh murid dan masyarakat Islam disekeliling. Timbul rasa kasih dan sayang pada orang 'alim! Beberapa bulan kemudian saya bersama isteri dan anak (Ilham Sumayyah) berumur hampir 6 bulan menziarahi beliau sekali lagi. Kali ini beliau kurang berinteraksi dan jelas tubuhnya semakin uzur dimamah usia.

Hubungan beliau dengan murid-muridnya sangat erat. Betapa tidak ; seorang lelaki lewat 40-an bersama dua temannya datang sejauh Pulau Langkawi semata-mata untuk menziarahi al-marhum TG Haji Hasyim ; guru dan mursyid mereka. Demikian terjelma rasa kasih dan dekatnya hubungan guru dan murid yang terdidik di institusi pondok yang hari ini dipandang sebelah mata oleh umat Islam sendiri.

Alhamdulillah! Biarpun saya tidak pernah belajar dari almarhum TG Haji Hashim. Moga-moga ziarah saya terhadap seorang ulama menjadi saksi diakhirat  nanti akan  sikap kita terhadap insan yang berjasa dalam mentarbiyah ummah hingga ke akhir hayatnya. Semoga ruh beliau ditempatkan bersama para anbia' dan para solehin.Amiin.

Takziah buat ahli keluarga TG Haji Hashim dan warga pondok Pasir Tumbuh.

0 comments: