• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Tuesday, January 5, 2010

Masa cuti...masa berharga bersama ibunda ...

Posted by Abu Huzaifah On 8:41 AM 2 comments


bersama bonda semasa mengerjakan umrah pada hujung Mei 2005.Gambar dirakam di hadapan Masjid Nabawi

Bonda bersama anak-anak dan adikku ketika menziarahi keluarga Abu Huzaifah di K.Pilah
Segala puji dan puja hanya selayaknya kepada Allah Yang Maha Agung.Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W,ahli keluarga baginda ,para sahabat R.A dan pejuang Islam sepanjang zaman.

Awal bicara Selamat Tahun Baru Hijrah 1431H dan selamat bertugas kepada seluruh sahabat warga pendidik seluruh negara.Selamat memulakan sesi persekolahan kepada anak-anak didik hamba, tak lupa juga kepada yang berada di menara gading yang memulakan semester baru pengajian di kampus .

Syukur kepadaNya ,penghujung tahun 2009 Abu Huzaifah berada di kampung halaman agak lama bersama bonda dan keluarga.Ramai sahabat hamba dan rakan-rakan sekerja Ummu Huzaifah bertanya mengapa lama sangat balik kampung? Tak cukupkah kalau berada di kampung satu atau dua minggu? Ada apa di kampung? Ada pula yang berkongsi cerita ;katanya dia jarang balik ke rumah mertua ...kadang-kadang kalau sisuami balik kampung sendiri siisteri tak ikutpun.Demikianlah sebahagian cerita dalam masyarakat.
Kadang-kadang payah juga Abu Huzaifah nak terangkan kepada sahabat-sahabat di sekeliling .Mengapa bila cuti sekolah, Abu Huzaifah agak lama di kampung halaman?

Kepada sahabat ziarah mungkin isu ini tidaklah penting seperti isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E milik negara kita atau masalah jenayah ragut yang berleluasa ,namun biarkan Abu Huzaifah berkongsi cerita suka duka seorang perantau yang telah meninggalkan halaman dan bumi kelahiran hampir 15 tahun yang lalu.

Kata sahabat hamba Ibnu Rajab(http://ibnurajab.wordpress.com ),Nabi Muhammad SAW pun hidup merantau apabila baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan baginda berjaya membangunkan Madinah menjadi sebuah negara yang mendaulatkan kalimah Allah.Dalam sejarah para sahabat R.A, berapa ramai para sahabat syahid di medan jihad sebagaimana yang berlaku kepada mujahidin Islam dalam peperangan Mu'tah.Jarak antara Madinah dan Mu'tah (sekarang dalam negara Jordan) bukanlah dekat.Apatah lagi peristiwa tersebut berlaku ketika lebuhraya dan komuter belum dikenali manusia. Bahkan para sahabat dan tabiin ,ramai yang menghabiskan usia mereka diluar negeri kelahiran.Itulah kehidupan seorang pejuang Islam...mereka yang lahir di Madinah atau Makkah ..akhirnya jasad mereka disemadikan di sebuah daerah yang jauhnya beribu batu.

Sejarah dan catatan kehidupan anak Kelantan merantau sudah sinonim dalam masyarakat Malaysia.Tok Kenali tokoh tersohor, sebelum menjadi ulama' masyhur merantau ke Makkah al-Mukarramah menimba ilmu.Haji Ismail Pontianak ulama Kelantan yang pernah merantau ke Borneo dan kemudian menjadi Mufti di Pontianak ( Indonesia )selama beberapa tahun.Ustaz Yahya Osman (bekas exco Kelantan)pernah menceritakan di hadapan pelajar-pelajar Jordan (dalam satu liqa'), beliau merantau mencari ilmu selama 16 tahun di negara Arab.Prof. Dr.Mahmud Zuhdi bekas Pengarah APIUM dan saudaranya Ust Mohamad Kamil Abd Majid ,berasal dari Nilam Puri pernah menjadi tenaga penting di Uni.Malaya.Demikianlah beberapa nama tersohor ulama' Serambi Makah yang menjadi dalil bahawa anak-anak kelahiran Darul Naim ramai yang merantau sama ada kerana menyebarkan ilmu atau meneruskan kerjaya masing-masing.

Catatan ini bukan bertujuan untuk menyanjung sesiapa.Namun sekadar berkongsi cerita dan pengalaman hidup seorang hambaNya yang kerdil.Insya' Allah di akhir noktah catatan mungkin terjawab mengapa hamba agak lama berada di desa apabila tiba cuti raya atau akhir tahun.

Sebagaimana dikatakan tadi ,anak Kelantan sudah sinonim dengan kehidupan di rantauan.Hari ini jika sahabat ziarah pergi ke sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak,anda dapati hampir setiap sekolah akan ada guru berasal dari Kelantan berkhidmat di sana .Seorang rakan Abu Huzaifah berbangsa Iban (cikgu Anhu a/l Umam dari Sarawak) menyatakan yang beliau semasa di sekolah rendah lagi sudah belajar dengan guru dari Kelantan sehinggalah sampai di universitipun (UUM),pensyarahnya juga dari negeri Cik Siti WK.

Sebenarnya ramai warga pendidik berasal dari warga Darulnaim.Mungkin salah satu faktornya suasana ilmu dan keutamaan terhadap pendidikan Islam subur di Kelantan sejak zaman Tok Kenali lagi.Hari ini di Kelantan terdapat tiga buah Maahad Tahfiz Sains dan sebuah Maahad Tahfiz wal Qiraat kelolaan Yayasan Islam Kelantan.Terdapat lebih 80 buah sekolah menengah agama negeri dan 6 buah SMKA ( KPM ).Semua sekolah tersebut belum termasuk pusat-pusat tahfiz swasta dan persendirian.

Sesungguhnya pendidikan Islam amat subur di Serambi Makah termasuk institusi pondok, terdapat 15 pondok yang masih bernafas dan berkembang di bawah naungan Pusat Pembangunan Pondok Berhad.Manakala pihak YIK sendiri telah mewujudkan sistem pengajian pondok moden di Kandis ,Bachok.

Kembali kepada cerita hamba sebagai perantau, Abu Huzaifah mula menjadi perantau ilmu sejak 31 Ogos 1994 apabila ditawarkan oleh Kem. Pendidikan untuk melanjutkan pengajian BahasaArab di Jordan.Sebelum ke Amman Jordan ,dua bulan kami berkampung di IKIP Pahang untuk mengikuti kursus Bahasa Arab secara intensif.Maka detik itu bermulalah pemusafiran dan kembara ilmu ke Dataran Syam , bumi barakah.Enam tahun hamba merantau di bumi gersang namun subur dengan kemanisan ukhuwwah bersama sahabat-sahabat seperjuangan.Hamba pulang bukan sahaja membawa ijazah bahkan seorang zaujah dan cahayamata kami yang sulong ; 'Aisyah alhumaira'.Niat awal untuk menimba ilmu tetapi tiga dalam satu yang Allah kurniakan.Syukur Ya Allah!

Sepanjang pemusafiran di bumi Anbia' hamba sempat pulang bercuti di Malaysia dua kali;pada musim Soifi 1995(bersama Allahyarham Azamiruddin)dan Julai 1997 bersama 3 orang sahabat junior.Sebagai perantau biarpun kehidupan di Jordan agak selesa sebagai rakyat asing)namun sentiasa berjimat agar di hujung semester dapat melepaskan rindu bersama ayah dan ibu di desa.

Abu Huzaifah pulang ke Malaysia pada 27 September 2000 setelah menamatkan pengajian pada Jun 2000.Ummu Huzaifah menaiki penerbangan 17 hari lebih awal kembali ke tanah air.Kepulangan kami pada tanggal berlainan kerana masalah tiket penerbangan.

Setelah kembali ke tanah air ,belumpun sempat menyantuni ayahanda ; pada penghujung tahun 2000 ayahanda dimasukkan ke wad CCU ,HUSM Kubang Kerian kerana masalah jantung.Setelah enam tahun berjauhan...di situlah Abu Huzaifah dapat berbakti kepada almarhum ayahanda.Membantu beliau mengambil wuduk, kadang-kadang bertayamum..waktu malam tidur dikerusi (di tepi katil ayahanda)..silih berganti bersama adik (Abd Fatah )menjaga ayah di HUSM.Setelah hampir seminggu/dua minggu di sana, almarhum di nasihatkan untuk mendapat rawatan di IJN,Kuala Lumpur kerana di sana mempunyai kepakaran merawat pesakit jantung.

Almarhum ayah ke IJN dengan penerbangan MAS ditemani abang ipar dan seorang doktor dari HUSM.Abu Huzaifah dan kakak (Kak Nor) ke sana selang sehari kemudian menuju ke IJN Kuala Lumpur.Itulah kali pertama hamba ke IJN;masa itu bulan Ramadhan.Pendek kata kami adik beradik yang menemani ayah, berpuasa di hospital beberapa hari.Sempat juga berterawih di hospital tersebut.Menjelang iedul Fitri ,ayah mohon dari doktor yang merawatnya untuk pulang ke kampung dengan alasan untuk bersama keluarga di hari lebaran .Sepatutnya ayah perlu di bedah untuk rawatan selanjutnya .Atas pandangan bersama dia mengelak. Alhamdulillah, selepas keluar IJN kesihatan ayah bertambah baik setelah menerima rawatan biasa di IJN walaupun tanpa pembedahan.

Selepas Iedil Fitri tahun 2001 ,hamba meneruskan pengajian KPLI di MPI,Bangi.Sekali lagi hampir setahun pula hamba bermastautin di B.B Bangi meneruskan pengajian.Ummu Huzaifah pula mengajar di Maahad Muhammadi Lelaki dan kemudian di SMU (Arab) Nipah , Bachok.Sekali lagi hamba berjauhan dari ayah,bonda ,isteri dan anak.Bas ekspress dari Bangi ke Kota Bharu menjadi tempat hamba melelapkan mata dihujung minggu.Kalau hendak balik awal ke KB,naiki bas di Hentian Putra pukul 2.30/3.00 petang pada hari Jumaat.Kerana mengejar masa,selepas tamat kuliah terus bergegas ke Kuala Lumpur dan solat Jumaat di surau Kedutaan Indonesia.Hampir setahun demikianlah rutin setiap dua atau tiga minggu sekali.

Apabila tamat KPLI ,menjelang awal tahun 2002 ,hati rasa berdebar menunggu surat penempatan guru.Hamba amat berharap agar tidak di hantar ke Sabah atau Sarawak atas alasan ayah sering sakit(jantung dan kencing manis).Almarhum agak uzur dan sering ke hospital atau klinik.Seorang pegawai di KPM pernah memaklumkan kepada sahabat hamba; pelatih yang sudah berumahtangga tidak di posting jauh(luar Semenanjung).Hamba berpegang kepada kata-kata tersebut...namun ketetapan Ilahi ,Abu Huzaifah menerima surat tawaran berkhidmat di Sarawak.Sebagai anak lelaki sulong ,hamba merasa berat hati untuk meninggalkan kedua ibubapa yang banyak berjasa.Adik lelaki hamba (Abd Fatah) ke Al-Azhar Mesir dan seorang lagi sedang belajar di Kuala Lumpur.Yang ada di Kelantan dua orang kekanda yang sudah berkeluarga.

Abu Huzaifah tidak berputus asa; demi niat menjaga ayah dan ibu , ditemani dua orang sahabat sepengajian di MPI(Fairuz dan Zaidi) ke JAPIM,KL merayu dari dihantar ke Sarawak.Namun jawapan dari pegawai tersebut menghampakan.Perjalanan jauh hamba dari KB ke KL yang beratus kilometer hanya diselesaikan dengan tiga ,empat patah perkataan.Sedih ...kecewa mengenangkan ayah dan bonda yang bakal hamba tinggalkan.

Apapun setelah tiba di Miri Sarawak,ternyata perancangan Allah adalah segala-galanya.Hamba bersyukur ditempatkan di SMKAM, Miri.Peluang mengajar bahasa Al-Quran dan Pend.Islam sesuai dengan pengkhususan sesuatu yang diimpi.Peluang berbakti terbuka luas bila dilantik sebagai warden asrama. Setiap hari bersama anak-anak didik dari pagi sampai ke malam(pada hari bertugas).Kebaikan dan kecaknaan para sahabat di Miri menjadikan hamba tidak merasa asing berada di sana mencecah enam tahun.

Hubungan sesama rakan-rakan sekerja di SMKAM banyak memberi pengalaman berguna hingga ke detik ini.Tiada sikap mementingkan diri dan bermasam muka ,jika adapun hanya seketika bukan sampai tidak bertegur sapa selamanya.Pengalaman bekerja dan berukhuwah di Miri sesuatu yang bermakna dalam hidup ini.Abu Huzaifah dan keluarga juga berterima kasih di atas kemesraan dan persahabatan dengan ikhwah di Shell, Petronas dan Maktab Perguruan Miri.

Selepas lebih setahun di Miri..ayahanda di desa semakin uzur.Tanpa disangka ketika hamba sibuk menguruskan program Kursus Kefahaman Islam pelajar-pelajat tingkatan satu SMKAM ,almarhum bertarung kesakitan kerana kemalangan motorsikal.Lutut beliau cedera (serius )lalu dimasukkan ke hospital.Selang beberapa hari dibawa pulang ke rumah.Almarhum masih rasai kesakitan..

Pada malam 10 Mac 2003,Isnin malam Selasa seusai program Kursus Kefahaman Islam yang hamba dan sahabat-sahabat (guru agama) kendalikan.Hamba menerima panggilan dari rumah(kuaters SMKAM)kurang lebih 8.30 malam,ketika itu berada di bilik guru .Ummu Huzaifah dalam tangisan ..meminta hamba bersabar.Allah telah memanggil ayahanda yang dikasihi Haji Jaafar bin Ali bin Abdullah PERGI untuk selama-lamanya mengadap Ilahi.Hamba tidak menyangka sakitnya bukan sakit biasa kali ini.Dalam kesibukan setiap hari dengan rutin sebagai guru dan warden asrama , rupanya ayahanda sedang menanggung derita sakit.

Almarhum meninggal diatas ribaan bapa saudaranya(ayah angkatnya).Bapa kepada almarhum meninggal dunia ketika ayah masih remaja.Nenek berkahwin lain,maka ayahanda tinggal dan membesar dibawah jagaan tok saudara .Ayah menghembuskan nafas terakhir saat azan Isyak berkumandang.Ketika saat-saat akhir almarhum ayah meminta untuk bersandar ke tubuh Pak Nik Haji(panggilan bapa angkatnya).Dia ingin duduk dengan selesa katanya...

Dalam esakan kesedihan,hamba menghubungi Ust Ismail Daud untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Kelantan dengan segera.Malam sudah melabuhkan kegelapannya ..tiada perkhidmatan pada masa tersebut.Ust.Amin, pengetua SMKAM menasihatkan hamba dan isteri ke LT Miri seawal pagi lagi.Nasib menyebelahi hamba,ada kekosongan cukup untuk empat penumpang.Penerbangan ke Kuala Lumpur berjalan lancar namun tiada tiket pula untuk ke Kota Bharu.(penuh dengan penumpang balik dari haji).Puas hamba dan zaujah merayu dan mengadu di kaunter MAS ,akhirnya penerbangan pukul 3.30 petang ada kekosongan dan kami tiba di LT Sultan Ismail Petra Peng. Chepa lewat 4.30ptg.Hamba bergegas ke tanah perkuburan .Sudah ketentuanNYA, hamba tidak sempat menatap wajah kudus ayahanda tercinta yang telah banyak berkorban untuk anak-anaknya berenam.Abu Huzaifah tidak sempat mencium dahi almarhum yang sentiasa sujud kepadaNya di waktu dinihari...

Masing terngiang ditelinga,beliu mengejutkan kami solat Subuh dipagi hari.Bacaan solat tahajud dan hajatnya sebelum Subuh sering mengejutkan hamba dari lena berpanjangan.Ketika di Jordan ayah sentiasa mendoakan kejayaan hamba dalam mengharungi pengajian.

Demikian satu catatan kehidupan.Kini bondaku masih bersama kami dalam usia mencecah 70 tahun.Maka ,hamba merasakan alangkah baik dalam keadaan ibu masih ada;sedaya upaya berbakti kepadanya.Cuti sekolah,cuti hari raya dan hujung tahun hamba ingin bersamanya..menyenangkan hati dan sanubarinya .Bersama bonda yang berjasa dari dulu ,kini dan selamanya.Ayah dan ibu setiap anak pasti rindukan kepada zuriatnya..Si anak pula tentulah ingin berbakti dan berbudi kepada siibu.Enam tahun di bumi Anbia',setahun di Selangor ditambah enam tahun di bumi Kenyalang dan dua tahun di negeri Darul Khusus menjadikan Abu Huzaifah sekeluarga 15 tahun berjauhan berada di perantauan .Apalah salahnya sebulan dalam setahun hamba menghiburkan insan yang mengandungkan hamba selama 9 bulan lebih,kemudian mendapat kasih sayang mereka sehingga ke hari ini.

Tidak ada nawaitu lain kecuali menyahut firmanNya dalam al-Quran ,sebagaimana termaktub dalam surah an-Nisa' :"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua.Dan hendaklah kamu berbuat baik dengan kedua ibubapa dan kaum kerabat,anak-anak yatim, orang-orang miskin,jiran tetangga..."

Masa cuti hujung tahun jugalah detik dan ketika untuk saya bersama masyarakat desa(tempat hamba dilahirkan).Sesekali berada di desa,pada malam hari menyampaikan kuliah dan tazkirah.. malam tertentu pula memimpin tahlil dan bermesra dengan jemaah.Semoga amalan diri yang tidak seberapa ini dikira amal soleh dihadapan Allah Azza wa Jalla.

Justeru di akhir catatan hamba dan isteri memohon maaf kerana terpaksa berada lama dikampung halaman apabila cuti sekolah.Bagi Abu Huzaifah,kalau dulu kita ada satu negeri (masa bujang)sekarang sudah ada tiga negeri yang perlu diziarahi.Watan sendiri,negeri asal isteri(Terengganu)dan tempat bermastautin hari ini.Abu Huzaifah dan zaujah memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam beberapa program atau majlis tertentu dek kerana hal-hal yang dinyatakan.

Allah swt menyuruh kita berbakti kepada ibubapa;perintah berbuat ihsan dinyatakan didalam al-Quran.Junjungan mulia menyebut dalam hadis-hadis baginda,di antaranya daripada Abu Hurairah R.A katanya ; seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya , wahai Rasulullah siapakah orang yang paling berhak menikmati pergaulan yang baik? Jawab baginda SAW ; ibumu .Dia bertanyalagi ;kemudian siapa pula ? Jawab Rasulullah ibumu.Dia bertanya lagi ;kemudian siapa pula ? Jawab Rasulullah ibumu .(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Peluang untuk hamba berbakti kepada almarhum ayah hanya sempat beberapa bulan sahaja selepas pulang dari pemusafiran di Jordan ,maka sayugia hamba mengambil iktibar memanfaatkan cuti bersama ibu tercinta menyambut penegasan Nabi SAW ,imam kepada seluruh umat manusia sebagai manifestasi kepatuhan dan ketaatan kepada Allah dan rasulNya.

Salam perjuangan kepada pengunjung blog Abu Huzaifah.Teruskan berjuang mendaulatkan Islam dimana jua berada.Hidup biar berbudi ,berkelana untuk menabur bakti.Wassalamu alaikum warahmatuLLah.

2 comments:

Salam,

Samalah alkisahnya kita berdua. tabahkanlah hati, tingkatkan semangat. selamat berjuang

tulisan yg berkaitan
http://ibnrajab.wordpress.com/2010/01/04/kerana-ada-sahabat/

wassalam

Dimana bumi dipijak disitu Islam dijunjung.