• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Monday, October 31, 2011

TRANSIT CINTA ; TREND MUDA MUDI KINI

Posted by Abu Huzaifah On 10:42 AM



Andai  bisa mata ini melihat kuantiti punggutan dosa yang berjaya dicatatkan oleh malaikat atib, sudah tentu diri kita akan melakukan sebanyak mana amal ibadah dan kebaikan bagi menampung dan memadam coretan hitam semata-mata untuk menyelamatkan diri kita dari menjadi  salah seorang penghuni neraka yang disiksa dengan azab Allah yang amat pedih.

Namun, itu semua takkan terjadi. Kita tidak mampu melihat ketulan dosa-dosa kita terapung-apung di udara untuk mengingatkan kita.  Bahkan, kita yang perlu sentiasa bermuhasabah agar diri tidak berlumuran dengan dosa dan maksiat.

Tapi hari ini, manusia seakan-akan tidak menghiraukan dosa dan pahala. Dosa kini bukan menjadi satu penghadang untuk kita melakukan perkara yang dimurkai Allah . Isu yang menjadi permasalahan besar hampir keseluruhan remaja masa kini adalah ‘transit cinta’ ataupun lebih glamour dengan panggilan ‘cinta monyet’.

Destinasi cinta yang sepatutnya adalah menuju ke gerbang perkahwinan agar diredhai Allah. Cinta tidak berhajat kepada tempat persinggahan ataupun ‘transit’ seperti yang banyak berlaku kepada muda mudi zaman sekarang yang menghidupkan budaya dan suasana cinta sebelum kahwin.

Saya sering ditanya oleh insan-insan yang tidak mengira peringkat usia..
“ Sape pakwe awak?” , “ Boyfriend ape cite sekarang?”dan sebagainyaaa…

Bilamana saya menggelengkan kepala mengatakan bahawa saya tidak bercinta dengan sesiapa, mereka terkejut dan hairan. Bercinta sebelum kahwin juga kini seolah-olah adalah satu keperluan dan menjadi satu kewajipan. Realiti hari ini, menjadi satu benda yang pelik jika seseorang itu tidak mempunyai kekasih..melainkan orang itu baru saja ‘putus’ dengan bekas kekasihnya dan sedang menanti kedatangan kekasih yang lain.

Bergayut di telefon berjam-jam, keluar berdua-duan, saling bermasage-masage 24jam.. adalah menjadi kebiasaan kepada penumpang-penumpang transit cinta. Mereka menyangka apa yang mereka lakukan tidak berdosa, kerana apabila ditegur tentang ini mereka menyatakan yang mereka tidak membuat apa-apa kesalahan. Hanya sekadar bual-bual kosong dan keluar bersiar. Dosa dari kacamata para muda mudi yang bercinta sekarang adalah tatkala mereka terlanjur berzina. Maka tatkala ituu…mereka akan mengaku apa yang mereka buat itu berdosa.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah saw. telah bersabda yang ertinya,
“Kedua mata itu bisa melakukan zina, kedua tangan itu (bisa) melakukan zina, kedua kaki itu (bisa) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.”
 (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah).
Dalam riwayat lain mengatakan :
“Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhazrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (HR Bukhari).

Apa yang perlu diketahui oleh masyarakat kini adalah, walaupun percintaan hanya sekadar berbual kosong dan saling mengungkap ucapan sayang ianya adalah zina lidah dan telinga. Walaupun hanya sekadar melihat wajah kekasih kita untuk mengambil semangat kononnya, ia dianggap zina mata. Walaupun hanya berpegangan tangan tidak lebih dari itu, ianya adalah zina tangan. Jadi berhati-hatilah dengan hubungan yang telah dijalinkan, kerana ia bakal membawa diri ke kantong penzinaan.
 

Hakikat sebenar konsep cinta dalam islam harus diketahui oleh para remaja agar tidak tersalah langkah. Bukan sekadar remaja, bahkan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan ibubapa harus mengetahuinya bagi melahirkan suasana percintaan berlandaskan islam di dalam masyarakat kita.
Al-Qasim meriwayatkan Abi Umamah berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
ما أحبَّ عبدٌ عبداً لله إلا أكرمه الله عزّ وجلَّ
”Orang yang mencintai sesame hamba Allah, semata-mata kerana Allahnescaya akan dimuliakan Allah”
-Hadis riwayat Imam Ahmad-
Mungkin agak sukar bagi anak muda di Malaysia untuk menerima konsep sebenar cinta dalam Islam yang melarang percintaan sebelum kahwin. LIMA tahun dahulu, saya merupakan salah seorang yang tidak bersetuju dengan konsep percintaan selepas kahwin walaupun pada waktu itu saya tidak mempunyai kekasih.
Saya tidak dilahirkan dari keluarga yang serba tahu tentang agama, tidak juga dilahirkan dari sekolah pondok yang serba lengkap didikan agamanya. Malah saya dilahirkan dari sekolah menangah kebangsaan agama yang pengamalanya dan system pendidikannya secular. Jadi saya memahami jiwa-jiwa dan kehendak remaja yang tidak di dedahkan ilmu agama secukupnya.

Apa yang menjadi tanda tanya  yang membuatkan saya tidak berapa setuju dengan konsep cinta selepas kahwin iaitu bisikan di dalam diri saya yang mengatakan..bolehkah pasangan suami isteri itu hidup bahagia setelah perkahwinan dalam keadaan mereka kurang mengenali sebelum berkahwin dan tidak bercinta?

Namun, persoalan itu terjawab setelah saya mendapat pentarbiahan diri di Syria. Banyak contoh pasangan suami isteri yang saya kenali di Syria mengamalkan konsep cinta selepas kahwin demi menggapai redha Allah hidup dalam keadaan yang amat bahagia. Setakat ini, tiada pun pasangan yang saya kenali itu bercerai berai ataupun bergaduh membaling kuali kerana kurang keserasian atau saling tidak memahami antara satu sama lain disebabkan kerana tidak bercinta sebelum kahwin.

Alhamdulillah.. suasana di Syria yang menjaga pergaulan di antara lelaki dan perempuan, bukan sekadar pergaulan luar, malah pergaulan telefon dan berinteraksi melalui yahoo messanger  dan alam maya juga diberi penekanan bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Hatta gelaran ustaz dan ustazah di gunakan sesame lelaki dan perempuan untuk membina gap pemisah untuk menjaga hubungan dan tidak terlalu melampau-lampau dalam berinteraksi.

Malangnya suasana di Malaysia tidak begitu. Negara ini seakan-akan menggalakkan hubungan bebas diantara lelaki dan perempuan. Media, filem, drama, iklan di tv dan radio, majalah, facebook, buku-buku, keluarga, guru-guru.. semuanya memberi perangsang kepada anak muda untuk bercinta. Media membuatkan keinginan remaja membuak-buak untuk mendapatkan kasih sayang dari kekasih mereka. Jadi, salah ini kita tidak boleh menuding jari kepada remaja semata-mata.

Apa yang ingin saya sarankan kepada golongan muda mudi yang bercinta..bercintalah kerana Allah.. bercintalah untuk mendapat redha Allah. Jangan bercinta untuk mendapat nikmat sementara di dunia, tapi biarlah percintaan kita itu membuahkan hasil dan memberikan kita nikmat hingga ke syurga.
 
Jalan penyelesaian untuk membantu kita bercinta selepas kahwin adalah seperti yang di amalkan di semua filem yang di adaptasi oleh novel karangan Habiburrahman Asy-Syairazi. Iaitu sekiranya seseorang itu sama ada lelaki atau pun perempuan itu jatuh hati atau jatuh cinta kepada seseorang dan benar-benar ingin dijadikan calon suami/isteri, khabarkanlah hasrat anda kepada keluarga anda. Mintalah mereka sampaikan isi hati anda kepada lelaki atau perempuan itu. Seterusnya jika permintaan anda di terima, maka berdoa lah banyak-banyak agar Allah membantu kita untuk membina sebuah hubungan yang diredha Allah sebelum ke gerbang perkahwinan.
Wallahua’lam..

nota: Catatan ini dipetik dari blog http://muslimahversatile.wordpress.com. Pemilik blog ini sedang menuntut di Syiria dan merupakan bekas pelajar Abu Huzaifah di SMKA Miri.Jazakillah khayran kepada beliau atas perkongsian ini.

Sunday, October 23, 2011

SOLAT JUMAAT TERAKHIR BUAT SAHABAT( Al-Marhum Ust.Ahmad Abd Ghani)

Posted by Abu Huzaifah On 11:45 PM


Masjid Bilal bin Rabah, Universiti Al-Bayt ; tempat pelajar Malaysia bertalaqqi 
menerima mutiara ilmu selain dari di bilik-bilik kuliah

Kenangan di bumi Syam ; bersama sahabat2 seperjuangan di Urdun pada
majlis sambutan Iedil Fitri pelajar Malaysia ,Jamia'ah al-Bayt

Assalamualaikum warahmatullah

Petang Jumaat tanggal 23 Zulkaedah beberapa hari lalu bagaikan suasana suram.Cuaca pada sore itu diselimuti mendung biarpun tidak hujan.  Ummu Huzaifah sedang melayani FB sekali sekala membalas sapaan anak-anak muridnya yang ditinggalkan  tiga bulan lalu semasa berkhidmat di SMS Tuanku Jaafar di negeri beradat Perpatih.

Abu Huzaifah yang turut ada bersama terpandang satu mesej (dalam group khirrij Al-Bayt)  dari Ust.K.Anwar memaklumkan kepada sahabat2 khususnya bekas pelajar Ja’miah Al-Bayt, Jordan bahawa Ust.Ahmad Abdul Ghani (generasi ke-4 ) telah terlibat dengan satu kemalangan di Grik Perak dan meninggal dunia. Jam di hp hamba hampir 5.30 petang. Hati saya sayu dan sebak.

Terkejut... pantas minda saya cuba mengingati wajah beliau kerana sudah lebih 10 tahun saya tidak menatapi wajahnya. Susuk tubuh yang sentiasa ceria dan mesra. Menghormati senior-senior lain tanpa mengenal daerah dan loghat. Segera Abu Huzaifah membayangkan wajah al-marhum kepada isteri yang berada disamping. Saya memanjangkan kalam : ” Ingat tak  Ahmad Abdul Ghani yang menyanyikan lagu-lagu nasyid bersama Sabri Zakaria dan Bahauddin semasa majlis walimah kita? Saya cuba mengembalikan nostalgia majlis walimah kami tanggal 1 dan 2 September 1999 di Bayt Zhilal Mafraq 12 tahun yang lalu.

Dalam majlis walimah bersejarah itu, Ust Uda Kassim dan Ust Harme membawa bunga manggar : Ust Azahar (tok Ayah) mempersembahkan silat dan Ust Sabri Zakaria, arwah Ahmad Ab.Ghani, Bahauddin, Hasmadi , Husni dan ramai lagi mendendangkan nasyid dan menghadiahkan lagu ’teman sejati’ buat kami pasangan raja sehari. Foto-foto almarhum dan sahabat2 lain masih tersimpan kemas dalam album walimah kami. Sekadar mengingatkan diri semula.

Semasa Abu Huzaifah di ijabkabulkan, sahabat-sahabat seangkatan dengan hamba ramai yang dah pulang ke Malaysia termasuk arwah Ust.Azamiruddin, Zawawi, Zamri Kashfullah dan Hafizullah. Seingat  Abu Huzaifah yang masih menghuni bumi Mafraq ialah ; Pak Syeikh , Pak Lah , Itqan,Fendi , Kamal Nazmi, dan Muzaha. Ust Hazman Hasyim (sekarang imam) mengetuai jawatankuasa kerja majlis walimah sebagai pengarah. Sahabat-sahabat dari generasi almarhum Ust Ahmad lah yang turut membantu termasuk memasak dan berarak ke rumah Bayt Zhilal dan rumah Ust Kamal Nazmi (mantan Presiden PRISMA) di Hayyu Dhubbat.

Seingat saya juga ; hamba tidaklah terlalu rapat dengan arwah. Bersahabat seperti biasa sebagaimana dengan junior yang lain. Apapun jika dibandingkan dengan pelajar seangkatan dengan almarhun, beliau dan almarhum Ust.Hafiz Kamil( meninggal beberapa tahun lalu) adalah yang kerap saya temui dan berbualmesra bila bertemu. Rumah al-marhum di Hayyu Sikah berjiran dengan Hayyu Hussain pernah saya jengah dan sempat menikmati makan malam bersama ahli bayt Nik Nizam dan Shahriman Abu Bakar.

Dua tahun keberadaan Abu Huzaifah dalam  Biro Kebajikan PRISMA yang turut  mengambil berat ehwal kebajikan dan perumahan ahli membolehkan hamba mengetahui  lokasi rumah pelajar2 Malaysia. Semasa cuti Soifi kerja  hamba dan AJK Kebajikan  mencari rumah-rumah sewa  untuk pelajar baharu. Kalau tak silap hamba Ust.Ahmad adalah pelajar persendirian, oleh itu beliau sentiasa berhemah dalam perbelanjaan tidak semewah pelajar-pelajar  tajaan. Demikian nostalgia lama bertandang sejenak.

Minda hamba juga teringat ada sahabat di Grik yang sedang menabur khidmat di negeri Perak yang berjiran dengan Kelantan iaitu Ust. Wan Hakiman yang berasal dari Pasir Mas. Telefon bimbit saya capai dan menghubungi  beliau. Katanya dia dalam perjalanan menuju hospital disana. Masih belum pasti adakah almarhum masih bernafas! Jika ada maklumat terkini maklumkan kepada hamba.

Melewati jam 6 petang, Ust Hakiman hubungi hamba semula. Comfirm Ust Ahmad telah menghembuskan nafas selepas mengalami kemalangan dengan sebuah trailer usai solat Jumaat tadi. Jenazahnya akan dimandi dan dikafankan dihospital itu. Hati saya semakin sayu mengenangkan seorang lagi sahabat Urdun kembali rahmatullah. Almarhum Azamiruddin dan Hafiz Kamil telah mendahuluiku beberapa tahun lalu.

Saya ingatkan Ust. Hakiman, jika mengetahui nombor zaujah dan alamat arwah di Kelantan...mohon dihantar segera kepada Abu Huzaifah. Saya khabarkan kepada Ummu Huzaifah; jika diizinkan Allah pagi esok kita bertolak ke Jeli. Jajahan Jeli adalah satu daerah yang asing bagi saya biarpun jaraknya dua jam sahaja dari Kota Bharu.

****************************
Awal pagi Sabtu, 7. 40 pagi sms dari Ust Hakiman hamba terima. Nombor telefon arwah tertera. Saya telefon keluarga almarhum dan meminta alamat rumah keluarganya di Jeli. Saya meminta Ummu Huzaifah segera menyiapkan anak-anak. Kali ini saya mahu pergi ; kalau sempat nak lihat jenazah beliau. Dah ramai sahabat lama yang sama2 belajar di Urdun meninggal yang tak sempat diziarahi. Semasa almarhum Ust Azamiruddin meninggal( 2005) saya di Makkah. Ketika Hafiz Kamil meninggalkan dunia yang fana ini hamba di N.9. Biarlah kali ini  saya sempat mengucapkan takziah dan menyatakan simpati kepada usrah beliau. Pagi itu saya meredah jalan ke Jeli melalui Rantau Panjang menuju ke rumah almarhum.

Saya ditemani sepupu yang pernah bertugas di JPN negeri. Beliau sering keluar ke jajahan lain seluruh Kelantan dalam melaksanakan tugas. Perjalanan Abu Huzaifah dari Nilam Puri ke Jeli untuk tiba ke rumah almarhum lebih mudah melalui Rantau Panjang. Jalan tidak sibuk walaupun hari cuti. Pukul 11.22 pagi kami tiba di perkarangan rumah keluarga beliau...jenazah almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kg.Pasir Dusun sejam yang lalu. Orang ramai dan saudara mara masih ramai memenuhi ruang tamu dan perkarangan rumah.

Tiba dirumah keluarga Ust Ahmad saya memperkenalkan diri  dan menemui abang beliau. Abu Huzaifah mmemohon untuk bertemu bapanya..Hampir sejam hamba dan Ummu Huzaifah berada disisi keluarga  mereka. Isteri Ust.Ahmad masih dalam situasi kejutan menerima berita yang sangat memilukan.

Dari perbualan bersama ayahanda almarhum Ust Ahmad mengalami kemalangan dengan sebuah trailer. Beliau keseorangan semasa memandu ubtuk pulang ke Grik setiap petang Jumaat selepas solat. Kata bapanya kemungkinan trailer terbabit memasuki lorong sebelah beliau memandu dan bertembung. Kereta Wira yang dipandu arwah agak teruk. Kemungkinan juga tubuh almarhum  tercampak keluar dari kenderaan. Arwah mengalami pendarahan yang serius di kepala.

Ajalnya sudah tiba biarpun ramai antara kita yang pastinya menjadi kejutan kepada ahli keluarga dan sanak saudara. Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Anak yang ketiga baru berusia hampir 6 bulan.

Abu Huzaifah cuba menyelami kesukaran arwah yang terpaksa berulang alik dari Grik Perak-Jeli  saban hujung minggu. Bukan baharu tetapi sejak beliau bertugas di Daro Sarawak  lagi Ust Ahmad hanya dapat bertemu mata sekali sekala denga isteri dan anak-anak. Hajat beliau suatu masa ingin berkhidmat di tanah kelahiran tetapi panggilan Allah mengadapNya lebih dahulu.

Hamba  dan Ummu Huzaifah mendoakan almarhum Ust. Ahmad meninggalkan dunia fana ini dengan beroleh keampunan daripada Allah Azza wa Jalla dan ditempatkan bersama para solehin dan siddiqin. Beliau meninggal usai solat Jumaat pada hari penghulu segala hari. Moga beliau dipanggil dalam keadaan dibaluti air wuduk ; selesai melafazkan doa kudus kepada Penciptanya dan selesai melakukan  amalan paling mulia sujud kepadaNYA.

إنا لله وإنا اليه راجعون

Oleh kerana ada permintaan dari beberapa sahabat (alumni Urdun) untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga al-marhum di Jeli Kelantan sebagai tanda kebersamaan menerima taqdir Allah SWT. Maka sesiapa yang berhajat bolehlah masukkan sumbangan ke akaun Bank Islam, ( 05-030- 02-016570-7)atas nama Mohammad Kamil Jaafar. Saya akan sampaikan sumbangan tuan-puan kepada isteri  atau ayahanda beliau. Jazakumullah khairan kathira.

Friday, October 21, 2011

Hampir 1000 berhimpun tuntut Prof. Abdul Aziz Bari 'dibebaskan'

Posted by Abu Huzaifah On 3:38 AM

GOMBAK: Hampir 1,000 mahasiswa dan orang ramai berhimpun di perkarangan Masjid (UIAM) hari ini bagi membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh universiti itu. Perhimpunan aman yang bermula selepas selesai solat Jumaat itu majoritinya disertai golongan mahasiswa dipercayai dari pelbagai universiti.

Sejurus imam selesai membaca doa, laungan "Hidup Aziz Bari", “Hidup Ilmu”, “Bebas Aziz Bari” mula bergema.Seorang peserta himpunan kemudiannya cuba memulakan ucapan, tetapi bagaimanapun tindakan itu dihalang pihak keselamatan universiti, dan sedikit kekecohan berlaku. Ekoran halangan itu, mereka kemudian beramai-ramai berarak dari masjid tersebut menuju ke bangunan pejabat reaktor universiti itu bagi menyerahkan memorandum.

Mereka diketuai pihak penganjur dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa Malaysia (Dema) serta persatuan mahasiswa kampus itu sendiri.

Sewaktu perarakan itu, sekali lagi berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum tersebut menyebabkan tolak menolak berlaku.

Memorandum tersebut akhirnya berjaya diserahkan kepada Timbalan Rektor UIAM kira-kira jam 2.20 petang. Dalam memorandum itu mereka menuntut hukuman penggantungan terhadap Aziz Bari agar segera ditarik balik.

Mereka juga menyifatkan tindakan terhadap pakar perlembagaan itu sebagai mengongkong kebebasan akademik di universiti.Terdahulu, pemeriksaan ketat dilakukan di pintu gerbang universiti itu oleh beberapa anggota keselamatan.

Monday, October 10, 2011

Ekspo Inovasi dan Penyelidikan (EIP 2011)ُ

Posted by Abu Huzaifah On 11:39 AM

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan kurnianya, ana bersama dua lagi sahabat dari JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan) berpeluang menyertai Pertandingan Inovasi sempena Ekspo Inovasi dan Penyelidikan (EIP 2011) yang bertempat di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut, Terengganu pada hari ini.

EIP 2011 kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila sejumlah 64 penyertaan dalam empat kategori dipertandingkan. Kami (Ust.Zamri , Ust Abu Huzaifah dengan diketuai Ust Mohd Yusri) dipertanggungjawabkan mewakili JAPIM dalam kategori Inovasi dalam Teknologi Pendidikan.

Inovasi ini sebenarnya merupakan usaha berterusan ke arah memartabatkan semula pengaruh al-Quran al-Karim ke atas usaha mengajar dan belajar bahasa Arab. Idea shahid al-Quran ini dicetuskan oleh mantan murshid sewaktu ana menuntut di Jordan (Prof Dr. Abdul Kadir al-Saadi). Ingat lagi, dengan perasaan lemah ana melangkah masuk ke bilik Dr. Saadi memohon sedikit tunjuk ajar dalam memilih tajuk latihan Ilmiyah (masyruk takharruj) kerana pada masa itu kebanyakan rakan telah memilih tajuk masing-masing.

Berkat nasihat seorang guru yang murshid, alhamdulillah ana dapat menyiapkan sebuah laporan kajian untuk Latihan Ilmiyah dengan tajuk “al-Shahid al-Qurani fi Kitab Sharh Ibn Aqil”.
Mendapat inspirasi tambahan daripada kata-kata sayyid Qutb dalam mukadimah kitabnya “tafsir fi Dzhilal al-Quran” yang menyatakan bahawa: Kehidupan di bawah naungan al-Quran itu adalah suatu nikmat, iaitu nikmat yang tidak pernah dirasai kecuali oleh mereka yang telah merasainya.

Rentetan dari itu, ana terus menyusuri perbahasan shahid al-Quran di peringkat disertasi Sarjana dengan tajuk: Penggunaan shahid al-Quran dalam Kitab Sharh Ibn Aqil dan Kitab Sharh Qatr al-Nada wa Ball al-Sada, Bab al-Marfuat: Satu Kajian Bandingan. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar penyelia berwibawa Dr. Kaseh, disertasi berkenaan berjaya mendapat kelulusan.

Oleh kerana terlalu ingin menyahut seruan untuk terus memperjuangkan bahasa Arab al-Quran, dan dengan semangat yang kembali dicetuskan oleh al-Ansari (1984) dengan teori beliau yang terkenal “Teori Nahu al-Quran” maka atas nasihat penyelia juga, sebuah artikel telah dihasilkan daripada disertasi tersebut dan diterima untuk diterbitkan dalam Jurnal Gema Online edisi 2011.
Seterusnya dengan ruang yang tersedia dalam seminar penyelidikan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan pada bulan Mei 2011, sekali lagi ana memberanikan diri berkongsi dengan masyarakat ahli akademik sekalian sebuah artikel kajian dengan tajuk “Aplikasi shahid al-Quran Membitarakan Ibn Hisham”.
Dan sehingga ke hari ini, alhamdulillah dengan semangat untuk berkongsi rasa memperjuangkan teori atau pendekatan menggunakan al-Quran secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah dalam negara kita, ana memberanikan diri mengajak dua orang sarjana hebat dari Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (al-Fadhil ust Yusri dan ust Kamil) untuk sama-sama mengetengahkannya dalam bentuk Inovasi Pendidikan pula.

Syukur alhamdulillah, walaupun hanya berjaya mendapat Anugerah Pingat Gangsa dalam pertandingan hari ini, kami semua bersyukur kerana usaha yang sedikit ini mendapat perhatian para hakim yang arif lagi bijaksana, para rakan peserta dan juga tidak ketinggalan para hadirin yang ramai mengunjungi booth kami.
Oleh yang demikian pada kesempatan ini, ana titipkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada kedua-dua rakan penyelidik (ust Yusri dan ust Kamil) atas sokongan dan bantuan yang tidak ternilai oleh tulisan dan ucapan kata-kata. Begitu juga kepada seluruh ahli jabatan JAPIM IPGKSM yang sudi berkongsi idea bagi memantapkan lagi penyertaan “GSQ-GAYA SHAHID AL-QURAN” dalam pertandingan yang julung kali ana sertainya hari ini.
bergambar bersama para pemenang anugerah emas,perak dan gangsa usai tamat program.
Ramai pelajar unit PAI menyertai pertandingan

Tidak dilupakan kepada guru-guru J-QAF SK Pasir Akar, Jerteh, SK Pusat Jerteh terutama al-Fadhil ustaz Zaki (SK Sri Payong, Jerteh Terengganu) serta anak-anak muridnya yang sudi menjadi bahan ujikaji dalam projek yang kecil ini. Juga tidak dilupakan kepada GB-GB sekolah-sekolah berkenaan yang sudi memberi izin untuk kami semua berkunjung menjalankan ujian pra dan pasca.

Seterusnya terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberikan suntikan semangat kepada kami di JAPIM, termasuk para pelajar PAI-KSM dan warga KSM sekalian. Begitu juga isteri dan anak-anak kami yang tercinta. Semoga usaha ini dapat dijadikan sumber inspirasi.

Secara peribadi, ana tidaklah mengutamakan kepada apa-apa anugerah. Namun, perhatian semua pihak terhadap perjuangan kami ini, itulah sebenarnya yang kadang-kadang menjadikan sekeping hati menjadi terharu lalu menyatakan syukur. Sayanglah, sekiranya hari-hari anak-anak kita mempelajari bahasa Arab tetapi, secara tidak sedar, mereka sedang dijauhkan daripada sumber dan tujuan hakiki mempelajari bahasa Arab iaitu untuk khidmat kepada agama, untuk memahami sedikit sebanyak kandungan al-Quran yang sepatutnya dijadikan keutamaan dalam setiap ruang lingkup kehidupan muslim seharian.

Semoga nanti kita belajar bahasa Arab bukan semata-mata untuk boleh ucap selamat pagi, selamat malam, jom makan dll (in Arabic) sahaja. Bukannya dekat pasar atau supermarket area kita ada orang cakap arab pun. Dan paling menyedihkan, orang arab pun tidak bangga cakap Arab Fusha. Jadi, apakah tujuan sebenar kita, anak-anak kita, orang Islam belajar bahasa Arab? Dan apakah perasaan kita sekiranya kita buka sumber pengajaran bahasa Arab dengan tidak ada satu patah perkataannya pun dikaitkan dengan al-Quran?
Sebahagian daripada penyertaan EIP 2011

Thursday, October 6, 2011

Kenangan: Iedul Fitri 1432H

Posted by Abu Huzaifah On 7:34 PM

menziarahi Ust Muzaha@Abu Wildan di rumah barunya di SM Sains Setiu
kunjungan ke rumah sahabat yang hampir 10 tahun tidak bertemu; 
Sabri Zakaria di Bangi, Selangor


Apa kata orang Seremban mengenai Kelantan?

Posted by Abu Huzaifah On 5:48 PM

Syawal 1432H  menemukan saya dengan 5 ahli keluarga baru.  Setahun meninggalkan Malaysia menyirat kisah suka dan duka.   Ada yang telah pergi menemui Ilahi dan ada yang baru menjengah dunia.  Dua orang anak saudara yang dilahirkan penghujung tahun 2010, seorang kakak ipar baru dan dua orang adik ipar lelaki, alhamdulillah.   Dua orang adik perempuan menamatkan zaman dara pada Mac 2011.  Majlis walimah mereka dilangsungkan serentak.  Si Bongsu sudah bernikah pada Disember 2010 dan si kakaknya bernikah sehari sebelum kenduri.

Akhirnya pecah juga tradisi Ma dan Abah yang mahu bermenantukan orang Kelantan sahaja.  Kakak ipar baru orang Seremban dan seorang adik ipar lelaki merupakan orang Johor.  Rasional mahu bermenantukan orang tempatan sahaja ialah dari segi adat budaya tidak jauh berbeza.  Juga jika sakit demam, senang mahu ziarah.

Borak-borak hal semasa

Kakak ipar baru merupakan isteri kedua abang.  Saya tidak sempat menemuinya tahun lepas kerana datang ke Melbourne.  Namun sempat berbual melalui telefon semasa berada di KLIA menunggu saat bertolak ke sini.

Suatu ketika, saya, Abah, Era (kakak ipar yang usianya lebih muda dari saya), suami dan beberapa lagi ahli keluarga berada di anjung rumah.  Kami akan keluar beraya ketika itu.

Melihatkan kakak ipar yang baru ini peramah orangnya, saya memecah suasana  dengan soalan,
“Era, pernah datang Kelantan tak sebelum nikah dengan Abang?”
“Tak pernah”

“Ooh… jadi kali pertama Era datang Kelantan selepas nikah dengan Abang lah ye…”
“Ha..”
“Macam mana suasana raya di sini?  Meriah tak?”
“Meriah… sungguh meriah… Jalan jem di mana-mana…  Di Seremban pun tak macam ni…”
“Macam mana Era tengok  Kelantan di bawah 20 tahun pemerintahan MB Tok Guru Nik Aziz dibandingkan dengan apa yang dipaparkan media?”

“Berbeza… memang berbeza… Saya tidak sangka Kelantan begini maju”
“Sangat berbeza, kan?”
“Iye… sangat berbeza…”
“Bukan sekadar sangat berbeza… contrast lagi… betul tak?”
“Iye.. betul tu…”

“Mula-mula sampai dulu, saya terkejut kerana melihat Kota Bharu lebih kurang Seremban sahaja…bahkan pembangunannya lebih pesat.   Ia harus dibanggakan kerana Kelantan membangun secara berdikari dibandingkan Negeri Sembilan”, Era memberikan pandangannya.

“Kasihankan… Orang-orang luar yang percaya pada media (perdana) itu diperbodohkan”
“Betul… siapa yang percaya media kerajaan memang diperbodohkan” ujar kakak ipar  yang baru menamatkan PhDnya Jun lepas.

“Ibu ayah asal kampung mana?”
“Ayah asal orang daerah XX.  Itulah, bandar-bandar kecil di Kelantan juga maju.  Saya rasa XX itu pun mundur kebelakang dibandingkan dengan beberapa bandar kecil di Kelantan ini” tambah pensyarah kejuruteraan itu lagi.

“Bolehlah bawa mak ayah datang ziarah Kelantan.  Buat rombongan orang kampung lagi bagus”
“Hmmm… mak ayah ni jenis tak suka berjalan… saya yang tinggal kat Johor tu pun malas dijenguknya”
“Ha… cepatlah pergi… cameraman dah tunggu lama tu…”  Ma menyampuk.

Itulah sembang santai saya bersama kakak ipar baru semasa menyambut Eidul Fitri baru-baru ini.

nota : Catatan ini dipetik dari blog Ummu Abbas yang boleh diziarahi dari blog beliau http://keranacinta.wordpress.com.Jazakillah khayra atas keizinan beliau untuk berkongsi sesuatu yang baik.