• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Sunday, April 24, 2011

Dosa Menolong?

Posted by Abu Huzaifah On 8:23 PM No comments

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ومن تبعه ووالاه.
Antara satu perkara yang menjadi dasar kepada perhubungan sesama manusia yang dianjurkan oleh Islam ialah sikap taa’wun ataupun tolong menolong. 

Pada ayat yang kedua daripada surah al-Maidah, Allah swt berfirman: Dan hendaklah kamu saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan

Ayat ini menyarankan kita supaya saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan sahaja dan melarang kita tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Orang yang menolong untuk melaksanakan perkara-perkara kebaikan dan ketaqwaan akan mendapat pahala kerana pertolongannya itu dan begitulah sebaliknya, iaitu akan mendapat dosa jika membantu dalam perkara kemaksiatan dan dosa. Bahkan jika dia membantu dalam melaksanakan satu kebaikan yang mana mendatangkan maslahah yang besar, maka dia akan mendapat pahala yang banyak, sebaliknya jika dia membantu dalam melaksanakan dosa yang besar iaitu dalam perkara yang membawa mafsadah atau keburukan yang besar, maka dia juga akan mendapat dosa yang besar.

Kerana itu dengan membantu, seseorang mungkin akan mendapat pahala yang banyak ataupun mungkin akan mendapat dosa yang besar. Kerana inilah saya katakan bahawa antara dosa yang paling besar yang ada pada zaman sekarang adalah dosa menolong, sekalipun dosa menolong ini tidak disebut secara jelas bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa yang besar. Dalam dosa membunuh contohnya, seseorang lelaki yang tidaklah membunuh, tetapi dialah yang menolong untuk menjayakan pembunuhan itu, seperti diikatnya mangsa, dipegang atau dicamkannya untuk pembunuh, maka dia juga akan mendapat dosa membunuh. 

Berkata Imam al-Ghazali: Sesiapa yang membantu dalam kemaksiatan, maka dia adalah bersekutu dalam (dosa) maksiat itu.-lihat kitab Faidhul Qadir karangan Imam al-Manawi. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyatakan: “Sesiapa yang membantu mempertahankan kezaliman, maka dia akan berada dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia meninggalkannya”. (Riwayat Ibnu Majah, (2320)

Dalam dosa mengumpat, bukan sahaja si pengumpat yang mendapat dosa, bahkan si pendengar juga mendapat dosa. Ini kerana dia telah membantu dalam perkara kemaksiatan, ini kerana umpatan tidak akan terjadi tanpa ada yang sanggup mendengarnya. Samalah juga halnya dengan dosa meminum arak. Bukan sahaja peminum yang berdosa, bahkan semua yang menolongnya juga berdosa seperti penjual, pembekal, pelayan dan sebagainya. Maka alangkah besarnya dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya, tertegak dan berdiri kilang-kilang arak dengan megah, ini kerana semua arak yang diminum adalah bersumberkan kepada kilang-kilang tersebut. Dan alangkah lamanya dosanya, iaitu selama mana kilang itu masih beroperasi dan dia masih mendokongnya.

Dalam hukum memakan riba, bukan sahaja yang memakan riba itu yang berdosa, bahkan si pemberi, kerani yang mencatat juga mendapat habuannya daripada dosa tersebut. Maka, alangkah besarnya dosa orang yang dengan pertolongan dan bantuannya, terlaksananya sistem ekonomi yang menghalalkan riba dan sistem itu sentiasa berjalan dan didokongnya. Begitu juga hukumnya dengan hukum memakan rasuah. Bukan sahaja si pemakan rasuah yang berdosa, bahkan orang yang memberi juga turut berdosa dalam, kerana dialah yang memberikan rasuah tersebut. Kerana itu saya katakan antara dosa yang sangat besar dalam zaman kita sekarang adalah dosa menolong dalam perkara kemaksiatan. 

Kalau kita tengok kepada keadaan muda-mudi sekarang, kita dapati kebanyakan daripada mereka telah runtuh akhlaknya. Keruntuhan akhlak muda-mudi ini sebenarnya adalah disebabkan sistem pelajaran sekarang adalah sistem pelajaran sekular dan tidak berlandaskan kepada sistem pelajaran Islam. Sistem pelajaran yang ada sekarang meggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Natijahnya ialah keruntuhan akhlak muda-mudi yang kita lihat sekarang. Maka alangkah besar dosanya kalaulah kita yang membantu dan mendokong sehingga sistem sekular itu yang diguna pakai dan bukannya sistem pelajaran Islam.

Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang dengan pertolongannya boleh membawa kepada tidak terlaksananya satu hukum hudud daripada hudud-hudud Allah, maka sesungguhnya dia telah melawan Allah dalam urusanNya (pemerintahannya). (Hadis riwayat Abu Daud (3597) . 

Hadis ini meyatakan bahawa sesiapa yang dengan pertolongannya boleh menyingkirkan satu hukuman hudud sahaja sudah dianggap melawan Allah, maka alangkah besarnya gerangan dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya hukum hudud sedikit pun tidak dapat dilaksanakan bahkan dilarang untuk selama-lamanya. Kerana inilah dalam hadis yang sohih, bila mana Usamah bin Zaid, seorang yang sangat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. meminta supaya tidak dilaksanakan hukum hudud ke atas seorang perempuan Bani Makhzum yang telah mencuri, berubah air muka Rasululllah s.a.w. kerana kemarahan dan beliau bersabda: Adakah kamu mahu untuk memberikan pertolongan supaya tidak dilaksanakan satu hudud daripada hudud-hudud Allah? … Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayanganku ini) mencuri, nescaya aku akan potong tangannya. Hadis ini diriwayatklan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Siti Aisyah, lihat Riyadus Solihin, karangan Imam Nawawi, bab larangan memberikan pertolongan dalam (menyingkirkan hukum) hudud.

Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau dizalimi. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya? Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya. Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206.

Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang dizalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang dizalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut. Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan munkar oleh agama.

Kita diwajibkan untuk mencegah kezaliman dan kemunkaran yang dilakukan, dan bukannya sama-sama bersekongkol dan tolong-menolong dalam perkara tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemunkaran, maka cegahlah dengan tangannya, dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman. Hadis sohih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudriyy. Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Kitabul Iman, bab pada menyatakan bahawa mencegah kemunkaran adalah sebahagian daripada keimanan. Lihat Nuzhatul Muttaqin, jilid 1 m/s 170. 

Kerana itu, sama-samalah kita tolong menolong dalam menegakkan agama Allah, kerana di situlah keadilan dan sama-samalah kita berganding bahu untuk mencegah dan menyekat kemunkaran yang berleluasa sekarang ini. Semua ini adalah tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. ke atas bahu-bahu kita. Janganlah kita berkecuali dalam hal ini dan memandang remeh tentang apa yang berlaku sekarang ini dalam masyarakat dan negara kita. Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang (masanya, timbulnya) pemimpin-pemimpin yang sentiasa melakukan kezaliman dan pembohongan. Maka sesiapa yang menolong kezaliman mereka dan mengiyakan pembohongan mereka, maka dia bukanlah daripada (golongan)ku dan aku bukanlah daripada (golongan)nya, dan dia tidak akan samapi ke kolam Kautharku (di akhirat). Dan sesiapa yang tidak mengiyakan pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman itu, maka aku adalah daripada (golongan)nya dan dia adalah daripada (golongan)ku dan dia akan sampai ke kolam Kautharku (di akhirat). Hadis riwayat Imam Ahmad (no. 18151, dan Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa isnadnya sahih).

Maka fikirkanlah situasi anda sekarang ini. Renungkanlah. Dan jawablah,: “Adakah anda bersama-sama orang yang menegakkan agama Allah atau anda berada dalam golongan yang mendokong dan menyokong kemungkaran”? Ingatlah firman Allah Taala : Dan janganlah sekali-kali kamu condong kepada orang-orang yang zalim kerana kamu akan disentuh api neraka. Surah Hud, ayat 113.

Nota : Catatan ini telah dipetik dari blog al-Fadhil Ustaz Tuan Sapuan bin Tuan Ismail ( boleh dicapai di http://tasekpauh.blogspot.com.) bagi tujuan perkongsian ilmu agar mengingatkan kita kepada amalan dan tindakan kita sepanjang bermukim di bumi Allah. Abu Huzaifah merakamkan ucapan jazakallahu khaira

0 comments: