• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Wednesday, December 7, 2011

HIJRAH DIRI DAN DAULAH PERANGI JAHILIYAH

Posted by Abu Huzaifah On 7:41 PM No comments

dipetik dari http://ekhutbah.wordpress.com   

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat  5 surah Ibrahim :

وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur

Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1433H yang mengingatkan kita bagaimana kita bukan sahaja menyambut bulan yang baru malah melangkah kepada tahun yang baru. Sempena berada pada bulan Muharram marilah kita sama-sama menghayati beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan ini termasuk peristiwa Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan para pengikutnya daripada kalangan bani Israel daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang dihancurkan dengan tenggelam lemas dalam Laut Merah. Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ  -  رواه البخاري
Maksudnya : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya: Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik di mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  - رواه مسلم
Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Setiap kali menyambut kedatangan bulan Muharram maka kita dihidangkan dengan kisah Hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah tanah air tercinta ke Kota Madinah. Kegagalan dalam meletakkan betapa bernilainya pengajaran Hijraturrasul menyebabkan ia hanya menjadi sambutan tanpa tindakan sewajarnya.

Oleh itu kita wajib berusaha dalam memartabatkan nilai hijrah dalam diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara barulah kebaikan hijrah dapat dirasai dan membawa nilai yang tinggi dalam membentuk peribadi dan suasana yang hebat. Peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri kepada manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri oleh Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah. Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.

Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Inilah antara intipati hijrah yang mahu kita suburkan dalam masyarakat kita yang semakin hilang jatidiri sehingga agama dipinggirkan manakala hawa nafsu dijadikan Tuhan. Kesannya begitu dahsyat di mana jika pada zaman jahiliah anak perempuan dibunuh hidup-hidup atas alasan bawa sial sedangkan jahiliah moden membunuh anak lelaki dan perempuan akibat merebaknya zina. Penzinaan menyebabkan dari tahun 2008 hingga 2010 seramai 152 182 orang anak luar nikah dilahirkan mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Itu belum kira masalah dadah dan jenayah-jenayah lain yang semakin merebak ketika Hukum Hudud ditentang oleh umat Islam sendiri daripada dilaksanakan. 

Kejayaan dan kegagalan kita bergantung pada sejauh mana kita mahu berhijrah kepada keadaan yang lebih baik berasaskan Islam. Nabi Muhammad s.a.w berjaya membina tamadun hebat kerana melaksana sistem Islam dengan menghancurkan jahiliah sedangkan sebahagian besar  umat Islam hari mengagungkan jahiliah dengan meninggalkan sistem Islam sehingga merana dan hina di negara sendiri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Hijrah turut mengajar kita tentang cabaran, ujian, halangan, tentangan yang bakal kita hadapi dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ramai mana yang gugur syahid, ramai mana yang dipenjara, ramai mana yang dibuang negara semata-mata berjuang pada jalan Allah.

Hijrah turut menyingkap bagaimana pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah dan berdirinya Daulah Islamiah bukan secara kebetulan malah penuh perancangan. Antaranya Madinah merupakan negara strategik kerana subur dengan pertanian sedangkan Mekah banyak bergantung pada perdagangan. Madinah berada di tengah-tengah laluan perniagaan antarabangsa sehingga mampu memberi tekanan kepada kafir Quraisy yang terpaksa melalui Madinah sekiranya mahu berniaga. Madinah juga mempunyai sistem pertahanan yang kukuh yang mampu menjamin keselamatan.

Ciri-ciri ini mesti kita perkasakan dalam negara, supaya kita mampu maju ke hadapan bukannya terpaksa bergantung pada negara luar dalam setiap keperluan. Kita mesti rasa sedih bila bumi kita subur untuk pertanian tetapi masih banyak bergantung kepada negara lain untuk hidup seperti banjir besar yang melanda Thailand baru-baru ini menyebabkan bekalan sayur, buah-buahan, beras, lembu berkurangan dalam negara sehingga harga melambung tinggi. Begitu juga sistem pertahanan kita yang masih bergantung pada sistem luar sehingga membuka masalah rasuah dan pecah amanah dalam pembelian senjata. Itu belum diambil kira tentang betapa amanahnya kepimpinan nabi dan para sahabat dalam mentadbir negara berasaskan Islam sehingga daripada sebuah kerajaan kecil akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya menguasai Empayar Hindu India dan Empayar Budha China. Sebaliknya negara kita terpaksa menjemput  pihak asing untuk mentadbir negara dengan bayaran mahal ketika rakyat terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kepimpinan nabi dan para sahabat sentiasa membuka ruang untuk menerima teguran dan krtikan membina sedangkan kempimpinan kita bukan sahaja tidak mengendah penyelewengan dan pecah amanah yang merugikan berbilion duit rakyat malah berusaha mengekang suara rakyat dengan undang-undang yang mundur ke belakang. Kegagalan kita untuk berhijrah dari segi kepimpinan menyebabkan kita bakal menanggung risiko negara muflis ditambah dengan masalah sosial dan jenayah yang semakin tinggi. Berhijrah dan berjaya atau duduk ditakuk lama dan terus hina dan merana.

Hayatilah makna sebenar hijrah untuk berjaya dunia dan akhirat:
قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

0 comments: