Alhamdulillah, selaut kesyukuran dirafakkan kepada Allah Azza Wajalla diatas limpahan nikmat dan kurniaNya, pada pagi tadi Abu Huzaifah sempat menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang murid-murid SK Kg.Raja,Besut.
Sekalung tahniah juga hamba rakamkan kepada pihak pengurusan dan warga pendidik SKKR kerana tahun ini 50 orang calon telah meraih 5A dalam UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Sekolah ini juga termasuk dalam 10 buah sekolah terbaik seluruh Terengganu tahun 2010. Tahniah dan syabas kepada semua warga kerja sekolah diatas usaha yang mantap dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anka-anak.Nampaknya, tidak silap perhitungan Abu Huzaifah menghantar dua permata hati ke sekolah ini, rentetan berpindah dari Kuala Pilah ke Besut tiga purnama yang lalu.
Tahniah dari ‘abi dan ummi’ kepada anakanda ‘Aisyah yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam kelas KAFA(sesi petang) dan Huzaifah masih ‘excellent’ mendapat tempat ke tiga dari keseluruhan murid tahun satu.Pencapaian akedemik ‘Aisyah agak banyak menurun berbanding semasa di Kuala Pilah. Kebiasaannya ‘Aisyah mendapat tempat 5 terbaik keseluruhan. Namun, bagi Abu Huzaifah perubahan kedudukan nombor dalam kelas bukanlah ukuran segala-galanya.Sebagai bapa dan juga seorang pendidik, hamba melihat kefahaman ‘murid’ dan tahap penguasaan terhadap sesuatu pelajaran lebih penting.
Mengapa hamba tidak rungsing atau bimbang? Sebenarnya dalam sesebuah kelas yang majoritinya kefahaman pelajar sangat tinggi dalam P & P, berkemungkinan ramai pelajar akan dapat’A’. Sebagai contoh semasa ’Aisyah di SK AGAMA Miri di tahun 1(2007) beliau mendapat 5-6 matapelajaran ’A’ , tetapi berada pada kedudukan 20/35.
SAHSIAH MURID DAN KAFA
Apapun kehadiran Abu Huzaifah sebagai seorang bapa/penjaga sedikit terkilan apabila pihak pengurusan sekolah tidak menyentuh hal-hal pembinaan sahsiah pelajar(ternasuk disiplin) sepanjang ucapan aluan .Tumpuan banyak kepada pencapaian UPSR.Pada hamba kejayaan meraih ’5A’ atau ’A’dalam semua mata pelajaran bukan segala-galanya.Berapa ramai murid yang cemerlang dalam peperiksaan tidak kiralah dalam apa jenispun...hari ini gagal di peringkat menengah ,bahkan menjadi anak derhaka.
Perkara yang pernah berlaku di hadapan hamba seorang anak yang dapat 5A, masuk ke sekolah SBP; ketika ditingkatan tiga pelajar tersebut dibuang sekolah kerana banyak melanggar disiplin sekolah (ponteng,melawan guru dll) akhirnya pindah ke sekolah lain dan keputusan SPMnya teruk.Apa yang dikesalkan pelajar tersebut sangat bermasalah sama ada dirumah atau sekolah dan tidak mampu dikawal sikap kerasnya.
Tidak dinafikan ramai pelajar cemerlang akademik, mudah diatur kehidupannya.Tetapi mesti diingat tanpa bekalan agama dan pendidikan akhlak yang baik...jiwa anak-anak mungkin kosong dari ruh Islami dan jatidiri seorang muslim-mukmin.
Dan hamba juga kecewa setelah beberapa tahun diperkenalkan kurikulum jQAF dan pelaksanaan Kem Bestari Solat (KBS) di sekolah-sekolah rendah, namun tiada sedikitpun laporan atau ulasan yang menyebut kejayaan dan pencapaian yang memberangsangkan. Jauh sekali untuk menyatakan bahasa Arab(bahasa al-Quran) juga diutamakan selain dari bahasa ’orang putih’.Balik-balik Sains..Matematik,BI. dan...........agama tak pentingkah???
Mujurlah,ucapan wakil PPD mententeramkan jiwa ; ada menyebut sedikit tentang pembangunan sahsiah-tentang wujudnya ibubapa ke 2 selain daripada kita sebagai ibu dan bapa kandung; iaitu internet yang memasuki rumah-rumah kita. Sedar atau tidak apabila ibu bapa gagal menjawab setiap masalah atau persoalan anak,rujukan mereka hari ini ialah diinternet..Bapa dan ibu zaman dunia tanpa sempadan perlu berilmu agar tidak ditipu sang anak.Apatah lagi pengunjung kafe siber hari ini sebahagiannya anak-anak yang masih berhingus..tak percaya pergilah ke kafe-kafe siber selepas waktu sekolah atau jenguk-jenguklah anak yang 'berkurung'dalam bilik sendirian.
Semoga catatan ini bermanfaat. Maaf dipohon, andai ada pihak tertentu yang terasa dengan teguran hamba sebagai salah seorang bapa dari ratusan penjaga yang hadir dan menekuni setiap butir ucapan. Hamba menulis atas kesedaran, bukan jawatan.!Akhirnya sebagai bapa, hamba tidak menafikan kepentingan kejayaan akademik namun pembangunan sahsiah melalui aktiviti-aktiviti agama yang mana KAFA dan KBS adalah sebagai medium untuk menjana murid yang mantap ilmu dan akhlaknya wajar diutamakan.Wallahu A'lam.
0 comments:
Post a Comment