• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Biodata:Mengenali siapakah Abu Huzaifah dan kembara beliau dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah.
  • Galeri:Memaparkan setiap detik dalam triologi kehidupan sebagai pendakwah.
  • Video:Siri video kuliyah turut dimuat naik untuk tontonan umum dalam perkongsian ilmu di ruang maya.
  • Perubatan:Kaedah dalam memperaktikkan perubatan islam bagi menyediakan alternatif lain disamping perubatan moden.
  • Jadual aktiviti:Memaparkan jadual aktiviti dalam siri kuliyah bulanan.
  • Artikel Di Blog

    Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung bicara-hamba.blogspot.com. InsyaAllah sedikit buah pandangan saya dalam artikel di blog ini diharap dapat membantu membina dan meluaskan pandangan terhadap apa jua isu islam yang dipaparkan secara santai untuk bacaan bersama.

  • Kembaraku Dibumi Allah

    Dalam ruangan ini saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya sepanjang berkelana dibumi bertuah. Pengalaman darinya saya tuliskan untuk tatapan pembaca.

  • Ruangan 'Ilmiah

    Ruangan ini dibangunkan khusus bagi mereka yang bersedia dalam siri penulisan yang agak berat dan berkualiti. Khususnya yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan Fiqh, Aqidah, Muslimah, dan lain-lain. Sesuai dijadikan rujukan khusus bagi mereka yang ingin mengkaji secara kritikal.

  • Ruangan Zikrullah

    Ruangan ini dikhususkan bagi zikir-zikir pemantapan jiwa. ia juga mengandungi wasiat-wasiat daripada mereka-mereka yang terkenal sebagai orang-orang soleh. Ia membolehkan pembaca blog menelusuri kisah-kisah mereka dan menjadikan mereka contoh tauladan yang baik.

Saturday, September 28, 2013

AAM FORUM PERDANA ; TA'ARUF CINTA ILAHI - Menguruskan cinta dengan cara ...

Posted by Abu Huzaifah On 11:41 AM

Sunday, June 9, 2013

Pada saya SPR gagal ; Dr.Mohammad Agus

Posted by Abu Huzaifah On 9:42 PM

KUALA LUMPUR: Prof.Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu. “Pada saya SPR gagal,” tulis beliau di Facebook. Menurut penganalisis politik itu jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013. Berikut ialah tulis penuh beliau. Saya tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Pada saya SPR gagal. Jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, PM tidak akan membuat pengumuman sedemikian. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505 seperti yang berlaku sekarang ini. Bagi saya, jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.Cumanya, yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR? Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada . Begitupun, sekiranya kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa bagi mereformasikan SPR dan sistem pilihan raya kita, maka hal berikut perlu diberikan perhatian: (i) kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan; (ii) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003. Di akhir analisisnya, saya merasakan kerajaan dan PR perlu mengambil tindakan berikut: (i) mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR supaya meletakkan jawatan, (ii) PR menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang. Dengan pendekatan ini, semoganya tidak ada lagi perhimpunan 505 diadakan dan kerajaan boleh terus menumpukan masa untuk merancang pembangunan negara. Sesungguhnya, rakyat dahagakan kehidupan yang selesa.

Thursday, May 23, 2013

TERAS kesal dengan kenyataan dangkal Menteri

Posted by Abu Huzaifah On 5:54 PM

Pemimpin politik yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan masing-masing dan tidak mengambil kesempatan dengan melemparkan kata-kata yang sensitif tetapi berselindung di balik kuasa yang ada di tangan mereka. “Jika mereka berbuat demikian jelas ia memaparkan sikap politik yang sangat tidak matang dan tidak layak menempati barisan kepimpinan,” ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.Katanya, adalah memalukan untuk mereka yang berstatus menteri dan bekas menteri bersikap demikian walaupun sudah lama berada di medan politik. Berikut ialah kenyataan penuh beliau. Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal terhadap semakin terserlahnya gejala menteri dan ahli parlimen yang hilang adab dalam pernyataan awam bila mengenengahkan reaksi politik mereka. Dengan pernyataan yang tersiar sehingga ini jelas mereka melambangkan kerendahan budi dan emosi yang tidak sihat. Dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang menyarankan supaya rakyat keluar dari negara ini sehingga Datuk Noh Omar, bekas Menteri Pertanian yang bereaksi supaya rakyat tinggal dalam hutan, sangat mengejutkan rakyat yang kini boleh berfikir kritikal terhadap pelbagai isu yang berlaku. Kenyataan Zahid sangat dangkal bila menyarankan mereka yang tidak bersetuju dengan pilihanraya di Malaysia harus hijrah ke negara lain. Soalnya apakah menuntut agar pilihanraya dijauhkan dari amalan penipuan itu satu tuntutan yang salah. Apakah menuntut supaya penipuan dihalang dalam proses pilihanraya itu satu dosa besar sehingga perlu mencabut kewarganegaraan rakyat?Tidak kurang memalukan juga bila para editor akhbar yang pro pemerintah jelas turut tidak menghormati kematangan rakyat dalam berfikir. Api perkauman terus dibakar dengan memaparkan berita kebencian kepada satu kaum dan meningkatkan semangat perkauman yang semakin tajam.Nampaknya sehingga hari ini semua kenyataan yang bersifat menghasut dan membawa kepada kebencian antara kaum itu tidak diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa. Datang dari pemimpin kerajaan yang berkedudukan tinggi adalah jauh lebih bahaya jika dibanding dengan kenyataan yang diungkap oleh rakyat biasa. Lebih kesal lagi pemimpin kerajaan turut memberi komentar yang meningkatkan kebencian yang boleh menegangkan keadaan. Teras mengingatkan pemimpin politik yang punya kedudukan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan masing-masing dan tidak mengambil kesempatan dengan melemparkan kata-kata yang sensitif tetapi berselindung di balik kuasa yang ada di tangan mereka. Jika mereka berbuat demikian jelas ia memaparkan sikap politik yang sangat tidak matang dan tidak layak menempati barisan kepimpinan. Adalah memalukan untuk mereka yang berstatus menteri dan bekas menteri bersikap demikian walaupun sudah lama berada di medan politik kerajaan.Ternyata emosi yang mengatasi rasional kini menguasai pemimpin pemerintah sehingga sukar bersikap berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata.Tatkala rakyat berhak untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap proses PRU13, pemimpin kerajaan Pusat nampaknya lebih celupar dalam membuat kenyataan yang menimbulkan lagi kemarahan rakyat.Mereka tidak wajar bersikap curiga terhadap rakyat bila rakyat menunjukkan bantahan kepada proses pilihanraya. Jika dari dulu rakyat telah membangkitkan pelbagai isu mengenai fungsi SPR yang kelihatan tidak bebas dan tidak adil, maka perhimpunan rakyat yang puluhan ribu itu seharusnya dianggap suatu pernyataan yang serius dan kerajaan harus memberi maklum balas untuk menjelaskan apa yang dibangkitkan. Kerajaan dan para pemimpin kerajaan seharusnya jangan mengherdik rakyat dan bertindak dengan menyalahguna kuasa untuk mengugut rakyat dengan tindakan undang-undang. Mohd Azmi Abdul Hamid Presiden TERAS (Teras Pengupayaan Melayu)

Friday, March 1, 2013

Lawak Sungguh! Bekas Puteri UMNO Kg.Pening Lalat masuk UMNO

Posted by Abu Huzaifah On 5:33 AM

RANTAU PANJANG: Rosanah Yaacob ialah bekas Ketua Puteri Umno Kampung Pening Lalat. Sekarang aktif dalam wanita Umno. Anehnya media semalam melaporkan dia menyerah borang menyertai Umno.Dalam laporan itu dia mendakwa tidak pernah mengundi Umno kerana menganggap PAS sebagai parti Islam. Ketua Cawangan sebuah parti politik di Gual Tok Deh, Azman Makhtar berkata, Rosanah tidak pernah menyertai PAS atau menjadi penyokong kerana dia aktivis wanita Umno sejak dari dahulu lagi. “Dia aktif bergiat dalam wanita Umno. Sebelum ini ketua puteri cawangan. Jadi mengapa pula tiba-tiba dia mengaku sebagai penyokong PAS yang baru menyertai Umno.“Ini adalah cerita lawak yang semakin menjadi-jadi di Rantau Panjang sekarang. Minggu lepas akhbar melaporkan 78 penyokong PAS menyertai Umno, sedangkan sebahagian mereka warga Thailand,” katanya di sini. Media tajaan Umno semalam melaporkan 100 ahli PAS dari Kampung Pening Lalat, Gual Tokdeh menyertai Umno kerana kecewa dengan sikap pemimpin parti itu. Mereka dilaporkan menyerah borang kepada Ketua Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin. Azman berkata, penduduk kampung terkejut dengan dakwaan Rosanah kononnya sebagai penyokong PAS, sedangkan semua orang tahu dia wanita Umno tulen. Menurutnya juga Kampung Pening Lalat hanya mempunyai sekitar 12 rumah dan sebahagian besar mereka penyokong tegar Umno sejak dari dahulu lagi. Azman berkata, Ketua Umno Rantau Panjang sekarang benar-benar terdesak sehingga terpaksa mencipta sesuatu yang tidak wujud kemungkinan impiannya untuk menjadi calon parlimen Rantau Panjang.

Sunday, December 2, 2012

Jutaan Rakyat Mesir berdemo menyokong Morsi

Posted by Abu Huzaifah On 2:12 AM

Sebahagian rakyat Mesir yang berdemo menyokong Morsi) 2 Dis 2012, KAHERAH: Dianggarkan 10 juta rakyat Mesir berhimpun di seluruh Mesir semalam, untuk menyokong pindaan Perlembagaan baru yang diusahakan Presiden Mohammed Morsi bagi menggantikan Perlembagaan di zaman Hosni Mubarak. Pindaan Perlembagaan diusahakan kerajaan baru Mesir di bawah kepimpinan Ikhwanul Muslimin, melalui Parti Kebebasan dan Keadilan yang menang dalam Pilihan Raya Umum, Jun lepas. Selepas dilantik menjadi Presiden Mesir, Morsi membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi merangka Perlembagaan rakyat untuk menggantikan Perlembagaan lama yang dianggap zalim dan diktator. Draf cadangan Perlembagaan baru tersebut sudah dikemukakan ke pejabat Presiden semalam dan Morsi sudah membuat pengumuman untuk menyerahkan Perlembagaan tersebut kepada rakyat menerusi referendum 15 Disember depan. Bagaimanapun usaha Morsi mendapat tentangan hebat golongan fulul, iaitu saki baki kroni Hosni Mubarak dalam kerajaan diktator yang digulingkan menerusi kebangkitan rakyat 25 Januari 2011. Kumpulan ini menguasai kuasa kehakiman iaitu Peguam Negara, Abdul Majid Mahmoud yang sudah ditukar jawatan sebulan lepas, untuk dihantar sebagai Duta ke Vatican. Namun Abdul Majid menukar persetujuan beliau akibat tekanan pihak pembangkang yang berkepentingan untuk mensabotaj kerajaan baru. Morsi kini berhadapan sekumpulan hakim-hakim tegar yang berusaha menghalang referendum rakyat. Namun, perhimpunan terbesar dalam sejarah Mesir ini tunjangi sekitar 5 juta rakyat yang berhimpun di hadapan Universiti Kaherah, dekat sini, merencatkan rancangan pembangkang. Perhimpunan terbesar rakyat Mesir menyokong Morsi bagaimanapun cuba disembunyikan media pro Barat yang hanya menunjukkan ketegaran segelintir penyokong pembangkang di Dataran Tahrir.

Thursday, November 8, 2012

Haramkan shisha yang memudaratkan masyarakat

Posted by Abu Huzaifah On 6:18 PM

Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran. Langkah ini perlu diambil dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain. Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter. Mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap. Dalam satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan. Penggunaan arang dalam peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap. Air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang. Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha. Tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan. SM MOHAMED IDRIS Presiden CAP(Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Monday, August 27, 2012

MENCARI LAILATUL AL-QADR DI BULAN SYAWAL

Posted by Abu Huzaifah On 12:31 PM

Dimanakah subuh kalian pagi tadi ? Masih berbekaskah sisa tarbiyah Ramadhan yang mampu mengheret kaki kita bersujud di rumah tuhan kala dinihari itu, atau kita sudah boleh berehat panjang selepas berjaya mencapai kemenangan ramadhan tempohari. Kalau subuh kita masih di rumah, mungkinkah boleh kita pertimbangkan bahawa kita sebenarnya telah terlepas dari mendapat ruh dan semangat lailatul Qadar tempohari sebagaimana yang diidamkan para pendamba kasih ilahi. Semangat Lailatul Qadar ? Masih adakah malam istimewa itu diluar Ramadhan ….. Temanya semakin menuju klimaks. Kesolehan membawa kepada keberkatan. Keberkatan dijana melalui konsistensi. Dan kalimah ISTIQAMAH lah yang seharusnya kita cari dan bina semasa menikmati juadah ketaatan ini. Biar nikmat kemanisan ibadah mampu diluncurkan ke muara takwa tanpa mampu ditahan oleh halangan jemu dan malas, biar ibadat kita mampu menongkah badai menyusur arus berterusan tanpa henti dan lelah. Teringat seketika dihari mulia aku berkhutbah, meladeni khalayak yang hadir dengan busana indah. Raut ceria dengan gamat sanak saudara memenuhi ruangan saf yang kehairanan bila diasak dengan begitu ramai pengunjung buat julung kalinya dalam tempoh setahun. Melihat wajah yang berseri dan bersemangat sememangnya amat mengujakan. Ianya seperti renjatan elektrik kecil yang mengecaskan motivasi dan bukannya membunuh empati. Aku gembira. Dalam tenang aku lafazkan kalimah ini, kalimah yang memberi makna. Alhamdulillah, kita dipilih tuhan untuk berjaya mengharungi ramadhan dengan baik dan takbir ini adalah manifestasi kemenangan kita memilih rasa bertuhan dan setia berbanding memilih derhaka dan sengketa. Alhamdulillah, ianya hadir setelah kita bertungkus lumus cuba untuk melunaskan bukti bahawa kita adalah hamba tuhan yang benar2 percaya pada janji dan tawarannya. Kita ingin dinilai lulus dan cemerlang dengan sijil TAKWA dan slip PEMBEBASAN DARI NERAKA. Kita juga masih lagi dibasahi keringat kesungguhan PULUN dan GOMO untuk mendapatkan malam istimewa LAILATUL QADAR yang cukup gah dan istimewa. Moga semangatnya masih kekal bersemi. Tapi sayangnya kawan, ramai antara kita yang tersalah persepsi. Ruh lailatul qadar diterjemahkan dengan merangsang adrenalin semangat untuk sekadar beribadat, berjaga malam dan beriktikaf di malam tertentu bulan Ramadhan sahaja, atau lebih spesifiknya 10 terakhir ramadhan. Masih menitis lagi kesan kesungguhan itu dibadan kita dan bersisa. Aaah, moga allah merahmati dan menerimanya. Namun, adakah keistimewaan lailatul qadar terhenti sebegitu sahaja. Keajaiban semangatnya hanya berdurasi satu malam sahaja ?? Maka tak hairanlah jika seorang guruku mengatakan : antara tanda mereka yang dikurniakan allah lailatul qadar ialah mereka yang dulunya rajin ke masjid akan mula menghilang dari pintunya, mereka yang dulunya banyak berpuasa takkan mahu lagi melaparkan ususnya, mereka yang sentiasa hadir bersolat di dinihari takkan lagi kelihatan walaupun hari sudah menginjak tua ke usia senja. Kenapa ?? Bukankah mereka sudah menikmati bonus al Qadar yang begitu besar pahalanya melebihi umurnya sendiri. Ianya bonus dan subsidi yang begitu berbaloi. Tapi inikah yang dikehendaki agama. Walaupun guruku itu mungkin agak berlebihan memberi analogi. Tapi berapakah antara kita yang setiap tahun melaksanakan KAMIKAZE dengan kaedah pulun dan gomo menghabiskan segala kesungguhan diri disepanjang malam terakhir ramadhan untuk menDAPATkannya, tapi kita langsung tidak melakarkan target untuk kekal meLAKUkannya. Ya, benar kawanku. Bacalah sendiri tafsiran surah al Qadar untuk menghadami ruh lailatul qadar ini. Para Sahabat bukannya umat subsidi. Mereka tidak hanya teruja dengan bonus dan tawaran tapi mereka adalah umat yang suka menikmati ilmu dan amalan. Selaklah tafsir qurtuby mahupun ibnu kathir yang bermadahkan kisah nabi melaporkan cerita umat terdahulu yang begitu tekun berjuang, beribadat dan menyebarkan ilmu hingga menjangkau 1000 bulan. Nabi pernah merekodkan nama mereka seperti nabi zakaria, nabi sulaiman, nabi ayub, yusha’ bin nun dan juga Heizqil ibnu ajuuz. Betapa ibadat mereka cukup mengkagumkan tanpa lelah dan jemu. Para sahabat teruja. Mereka adalah umat jihad dan pengorbanan. Mereka adalah pejuang praktikal dan juga teladan berwibawa. Mereka cemburu dan jealous. Mereka gembira dan seronok. Mereka ingin bersaing dan berlumba. Mereka dambakan kebaikan. Mereka sedih ketinggalan. Lalu wahyu tuhan mendamaikan gelora jiwa mereka, tuhan menjanjikan MALAM ISTIMEWA. Pahalanya lebih hebat dari 1000 bulan. Tenangnya hati mereka untuk dipujuk ilahi. Mereka menjadi umat yang tekun beribadah dan terus berlari. Melunaskan janji untuk disayangi tuhan samada di pasir sujud atau digersang sahara berjihad. Mereka umat yang obsess beramal. Bagiku, para sahabat bukan kagumkan pahala umat terdahulu. Soal pahala adalah rahsia tuhan. Allah boleh memberi pahala sesuka hatinya. Pahala puasa adalah rahsia tuhan yang misteri, solat pula dijanjikan pahala berjemaah dengan gandaan 27 pahala yang kita sendiri gagal mentafsir maknanya, kelebihan 5 fardhu kita juga mampu menyerap pahala 50 fardhu dimalam israk, sedekah membuahkan 700 tangkai keberkatan dan setiap kebaikan berganda 10 ketaatan adalah rahsia pahala yang dimiliki tuhan cukup aneh dan misteri. Allah mampu memasukkan manusia ke syurga tanpa solat dan sujud persis juru sihir firaun, allah boleh memilih syurga kepada pelacur tegar yang membuat kebaikan kepada anjing kehausan, allah bebas memberikan 10 kali nikmat dunia kepada manusia yang paling akhir memasuki syurga. Aaah, bagi sahabat, kurnia allah cukup besar untuk difikirkan. Tapi apa yang mengujakan mereka ialah bagaimana umat terdahulu mampu terus beramal tanpa henti dan lelah. Bagaimana mereka tega beribadat tanpa jemu dan malas. Bagaimana mereka menjadi umat jihad yang begitu praktikal. Dan inilah yang dipohon para sahabat, menjadi umat yang mendapat RUH LAILATUL QADAR yang akan TEGA beramal, KEKAL berjuang, KONSISTEN beribadah dan ISTIQAMAH mencari keredhaan tuhan dalam kehidupan mereka BERTERUSAN. Dan mereka juga tahu bak kata para mufassir quran – makna seribu bulan ialah pahalanya berganda tidak terkira banyaknya, ya dan ianya bukan terhenti sekadar usia bulan menginjak 84 tahun sahaja. Ianya pahala berterusan …. Pahala yang dijana oleh amal yang berterusan. Tapi… bagaimana pula kita, umat akhir zaman. Umat bonus dan tawaran. Umat pemalas dan panjang angan2. Akhirnya ada diantara kita yang kelihatan bersungguh di ramadhan,tidak lagi kelihatan begitu diluar ramadhan. Ada yang berjaya kekal menongkat mata di 10 akhir ramadhan tak lagi mampu mengangkat walau sepicing mata selepas ramadhan. Dan yang terbanyaknya ialah mereka yang dulu kekal di serambi surau hingga ke fajar menyinsing berjemaah dalam solat subuh yang paling berharga kini kekal pula dibalut selimut hingga ke dhuha menyonsong tanpa risau tergolong dalam orang munafiqin yang kerugian dan tidak berharga. Sayangnya kita tidak meletakkan target lebih awal untuk istiqamah. Kita gagal mendapatkan hadiah dari ruh lailatul qadar ini untuk mengharungi 11 bulan yang mendatang. Kita diulit rutin sama. Diet sama. Rencam sama dan diri yang sama. Bagaimana kalian kawan ? Apa hadiah dari permukiman kalian di ramadhan yang lepas. Hadiah yang boleh menjadi bekalan istiqamah kita diluar ramadhan. Jika ada Alhamdulillah. nota : Catatan ini dipetik daripada blog sahabat Abu Huzaifah yang boleh dilayari dihttp://ibnuhadiabu.blogspot.com/...Jazakumullah khayrul jaza'kepada beliau atas perkongsian ilmu.

Saturday, August 18, 2012

Selamat Menyambut Idul Fitri ; Kemenangan Buat Yang Menghayati!

Posted by Abu Huzaifah On 6:40 AM

Assalamualaikum warahmatullah Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani Abu Huzaifah dan isteri serta putera-puteri kami mengucapkan tahniah kepada semua muslimin-muslimat dimana jua berada atas kejayaan mengharungi tarbiyah Ramadhan pada tahun ini.Taqabballahu minkum solih al-'amal...Hamba juga memohon jutaan kemaafan diatas kesilapan kami dan segala kekurangan dalam menyempurnakan hak-hak ukhuwah Islamiyah.Semoga Ramadhan yang telah kita lalui mampu menyuntik ketaqwaan dan keinsafan dalam diri menjadi mukmin sejati. كل عام وانتم بألف خير Terima kasih juga kepada anak-anak didik, sahabat handai dan saudara mara yang mengenali hamba yang telah menghantar sms ucapan Selamat Hari Raya yang tidak sempat saya membalasnya.Kalian tetap sentiasa dalam ingatan dan memori Abu Huzaifah.Semoga Allah kekalkan ukhuwah yang telah terjalin selama ini..moga di Idul Fitri ini ianaya bertambah subur...

Sunday, August 12, 2012

Membongkar Tembelang Syiah Penulis Novel "Perempuan Nan Bercinta"

Posted by Abu Huzaifah On 3:50 PM

Faisal Tehrani (FT) penulis novel "Perempuan Nan Bercinta" berselindung di sebalik karya sastera ala novel untuk menyerang dan menghukum Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Dalam tulisannya di malaysiakini dia cuba membayangkan kononnya Syiah tiada masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Kononnya perbalahan antara Sunni dan Syiah itu hanyalah rekaan-rekaan pihak tertentu sahaja. Tetapi anehnya perangai FT dalam novelnya ini saling tak tumpah seperti sikap golongan Syiah Rafidhah yang menolak, menghina dan mempertikaikan para sahabat r.a.h. Walaupun FT bijak bermain bahasa, tetapi itu tidak bermakna dia ‘cerdik’ menyimpan pekung Syiah-nya itu. Dalam banyak-banyak perkara yang disentuh oleh FT dalam karyanya ini, perkara paling besar yang tak boleh dibiarkan adalah kebiadapan FT terhadap para sahabat r.a.h. Dalam artikel ringkas ini penulis akan bongkarkan niat busuk lagi kotor FT terhadap Ahli Sunnah dan para sahabat r.a.h. yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Mempertikaikan Sayyidina Abu Hurairah r.a. dan hadith sahih Sepertimana golongan Syiah Rafidhah yang lain, antara para sahabat yang paling dibenci oleh mereka adalah Sayyidina Abu Hurairah. Ini kerana Abu Hurairah adalah antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Bahkan telah berlaku ijmak di kalangan ahli hadith bahawa Abu Hurairah adalah sahabat yang paling banyak meriwayat dan menghafaz hadith-hadith Rasulullah SAW. Dalam Sahih Muslim, Kitab Kelebihan Para Sahabat r.a.h,, terdapat hadith yang menyatakan tentang kelebihan Abu Hurairah r.a. Bahawa Abu Hurairah r.a berkata: “Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan membuktikannya. Sesungguhnya aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam Rasulullah SAW dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika orang-orang Muhajirin berdagang di pasar-pasar dan orang-orang Ansar sibuk mengembangkan harta benda mereka. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang membentangkan pakaiannya beliau tidak akan lupa apa yang beliau dengar dariku. Aku terus membentang pakaianku sehingga Baginda selesai menyampaikan hadithnya. Kemudian aku mengumpulkannya dan tidak lupa apa-apa yang aku dengar dari baginda”. Berdasarkan kedudukan Abu Hurairah r.a. ini, sungguh lancang sekali si Faisal untuk memperlekehkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan menuduhnya sebagai israiliyyat. Di mana dalil dan buktinya ia israiliyyat, seperti yang didakwa pada halaman 36. Sebelumnya, pada halaman 33, FT membawakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari. Hadith ini menyentuh tentang kejadian Hawa/wanita daripada tulang rusuk Adam/lelaki yang dipertikaikan oleh golongan Syiah. FT berniat buruk dengan cuba menimbulkan keraguan pada hadith yang diwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari tersebut. Hadith itu kononnya dikatakan satu diskriminasi terhadap kaum wanita. Tambahan lagi, FT menuduh ianya bersesuaian dengan tradisi Kristian. Jelas, nawaitu FT adalah untuk meruntuhkan kredibiliti para sahabat dan hadith-hadith sahih yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Padahal, FT sendiri dangkal dalam memahami kaedah syar'un man qablana syar'un lana ma lam yakun fi syari'ina ma yukhalifuhu iaitu apa yang terkandung dalam ajaran agama lain yang menetapi dan tidak menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah maka Islam menerimanya. Seseorang yang waras sebenarnya tidak perlu untuk mempertikaikan hadith-hadith sebegini kerana ia tidak melibatkan implikasi iman dan amalan, ia hanya satu perkhabaran supaya kita mengagumi tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan-Nya. Apa yang menghairankan FT sibuk untuk mencari 'titik kepalsuan' mazhab Sunni tetapi lupa untuk mengkritisi ajaran sesat Syiah yang dikaguminya sendiri. Mengapa tidak FT mengkaji, kenapa penganut Syiah sanggup menyambut perayaan Nairuz pada 21 Mac setiap tahun? Bukankah ia adalah perayaan memuja api penganut Majusi berbangsa Parsi suatu ketika dahulu? Bagaimana kitab-kitab Syiah seperti Bihar al-Anwar boleh meriwayatkan kononnya Imam Mahdi Syiah akan muncul pada hari raya Majusi? Bukankah isu ini lebih berat kerana ia membabitkan implikasi iman dan amalan? Adakah Syiah meniru Majusi atau Majusi yang meniru Syiah? Dengan otak FT yang bijak itu, tidak logik jika FT tidak mampu untuk mengkaji ajaran kesayangannya sendiri. Jika FT mahu juga berhujjah dengan perkara-perkara sebegini, sepatutnya FT menyelesaikan terlebih terdahulu ayat-ayat al-Qur'an al-Karim yang pada zahirnya seolah-olah mendiskriminasikan kaum wanita, itu pun jikalau menggunapakai kaedah berfikir singkat ala Faisal Tehrani. Antaranya seperti dalam surah al-Nisa' ayat 34 tentang kelebihan lelaki ke atas wanita, ayat 11 tentang bahagian lelaki yang lebih banyak daripada wanita dalam faraid dan lain-lain. Sebenarnya tiada pun apa yang didakwa diskriminasi jika dilihat menerusi kaca mata keadilan perbuatan Allah SWT yang Maha Sempurna lagi Bijaksana. Tetapi jika dilihat menerusi persepsi yang penuh dengan dendam kesumat untuk mencari-cari salah sumber Ahli Sunnah, maka pelbagai persepsi negatif akan cuba dibangkitkan demi mempertikaikan mazhab Sunni. Isu diskriminasi wanita Sebagai contoh, sikap FT ini terserlah pada halaman 8. FT cuba menggambarkan kononnya terdapat hadith dalam kitab-kitab Ahli Sunnah yang mendiskriminasikan kaum wanita dengan mengatakan kaum wanita adalah golongan yang paling ramai menghuni neraka. Hadith-hadith sebegini juga dianggap menjadi punca al-Qur'an dipandang seperti mentaliti primitif Eropah pada abad pertengahan. Pandangan ini adalah perspektif skeptikal yang sengaja diberikan oleh FT untuk memburuk-burukkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah walhal hadith tersebut mempunyai konteks yang tertentu. Kemyataan ini tertulis pada kulit belakang buku FT Sebelum menjelaskan maksud sebenar hadith tersebut, perlu diingat keghairahan FT untuk mencari kelemahan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebenarnya telah memakan dirinya sendiri kerana hadith berkenaan majoriti ahli neraka adalah wanita pada hakikatnya bukan sahaja diriwayatkan di dalam hadih-hadith Ahli Sunnah sebaliknya ia juga diriwayatkan di dalam kitab-kitab Syiah malah matannya lebih panjang dan lebih terperinci. Sebagai contoh apa yang dinukilkan oleh al-Majlisi di dalam kitabnya Bihar al-Anwar daripada karangan al-Kulaini di dalam al-Furu’ mi al-Kafi berkenaan beberapa riwayat yang menyebut tentang majoriti penghuni neraka adalah golongan wanita. Pertama: Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ibn Mahbub daripada Abdullah bin Ghalib daripada Jabir al-Ja’fi daripada Abi Ja’far a.s, beliau berkata: Rasulullah SAW telah keluar…kemudian bersabda: Wahai sekalian wanita, bersedekahlah, taatilah suami-suami kamu, sesungguhnya kebanyakannya kamu di dalam neraka. Ketika mana para wanita mendengar sedemikian, mereka menangis, kemudian bangun seorang wanita daripada mereka lalu berkata: Wahai Rasulullah, di dalam neraka bersama orang kafir? Demi Allah kami bukan orang kafir sehingga menjadi ahli neraka. Lalu Rasulullah berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu semua adalah kafir terhadap hak-hak suami kamu". Kedua: Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ali bin al-Hakam daripada Ali bin Abi Hamzah daripada Abi Basir, beliau berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s. berkata: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada wanita lalu bersabda: “Wahai sekalian wanita, kamu bersedekahlah walaupun dengan perhiasan kamu, walaupun dengan sebiji tamar, walaupun dengan secebis tamar, sesungguhnya kebanyakan kamu adalah kayu api neraka…” Sepatutnya FT juga perlu memasukkan riwayat-riwayat Syiah ini untuk dikritik bersama riwayat-riwayat Ahli Sunnah. FT perlu menjawab mengapa di dalam riwayat-riwayat Syiah juga turut mendiskriminasi kaum wanita. Malah di sana terdapat riwayat-riwayat Syiah yang lebih berat dalam mengenepikan kaum wanita, antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh al-Kulaini berbunyi: "Janganlah kamu memberi tempat kepada mereka (wanita) di dalam kamar-kamar dan jangan kamu ajar mereka menulis, tetapi ajarlah mereka bagaimana memintal benang dan surah al-Nur". Hadith ini turut dinukilkan oleh penulis-penulis Syiah terkemudian seperti al-Hurr al-'Amili dalam kitabnya Wasa'il al-Syiah yang meletakkan tajuk "Bab kesunatan mengajar kaum wanita surah al-Nur dan tenunan, tanpa mengajar surah Yusuf dan menulis" dan dalam bab lain dia meletakkannya di bawah tajuk "Bab kemakruhan menyediakan kaum wanita di bilik-bilik, mengajar menulis dan surah Yusuf…". Bagi para ulama Ahli Sunnah, hadith ini tidak sabit dan matannya bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih. Oleh itu, zahir hadith yang mengatakan wanita tidak boleh dibenarkan untuk belajar menulis dan surah Yusuf adalah bertentangan dengan galakan belajar yang diperintahkan dalam agama Islam tanpa mengira jantina. Tetapi mengapa riwayat-riwayat sebegini wujud dalam ajaran sesat Syiah seperti yang didewa-dewakan oleh FT? Setelah kita membaca riwayat-riwayat Syiah di atas, dapat difahami bahawa tujuan FT memaparkan hadith-hadith Ahli Sunnah hanyalah untuk mengaburi mata pembaca bagi membayangkan seolah-olah disiplin ilmu hadith yang ada di dalam mazhab Ahli Sunnah itu longgar sehingga terhadap hadith-hadith yang dirasakan tidak logik. Namun, kewujudan riwayat-riwayat Syiah yang lebih berat dalam hal mendiskriminasikan wanita tidak pula dijawab atau diulas oleh FT. Terdapat dua kemungkinan, sama ada FT jahil tentang ajaran Syiah kerana dia juga mengikut Syiah secara membuta tuli atau kerana dia sengaja mahu menyembunyikan riwayat-riwayat Syiah yang berbau diskriminasi terhadap kaum wanita tersebut. Berbalik kepada hadith yang didakwa oleh FT mendiskriminasikan kaum wanita, ia hanyalah dakwaan kosong daripada seorang yang berniat serong terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Berkenaan hadith di atas, ia termasuk dalam jenis hadith al-targhib wa al-tarhib yang bertujuan untuk memberi galakan atau ancaman dalam sesuatu amalan. Ini kerana golongan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagai penghuni neraka tersebut ialah merujuk kepada mereka yang melakukan maksiat kepada Allah SWT seperti tidak bersyukur dan menghargai pemberian suami (hadith Sahih al-Bukhari) dan berpakaian yang mendedahkan aurat (hadith Sahih Muslim). Ini bermakna ia bukan sama sekali merujuk kepada wanita itu secara fitrah kejadiannya maka ia didiskriminasikan daripada memasuki syurga. Ia seperti ungkapan Rasulullah SAW yang mengatakan majoriti penghuni syurga adalah golongan miskin, ia bukan bermakna golongan kaya didiskriminasikan tetapi kerana ramainya golongan kaya yang tidak menghiraukan soal halal dan haram dalam mencari rezeki serta tidak menunaikan hak-hak harta yang sepatutnya maka menyebabkan mereka tertahan daripada memasuki syurga. Mempertikai kredibiliti Sayyidah ‘Aisyah r.a. Dalam halaman 205 FT cuba untuk mempertikaikan kredibiliti Sayyidatina ‘Aisyah r.a. bagi menolak hadith yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dengan menuduh kononnya 'Aisyah sendiri belum wujud ketika kisah penurunan wahyu berlaku. Kenyataan sebegini jelas menunjukkan kejahilan pengarang tentang kedudukan 'mursal sahabi' dalam disiplin ilmu hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat tanpa dia menyaksikan sendiri atau mendengar sendiri daripada Rasulullah SAW tetapi memperolehinya daripada sahabat lain. Hadith 'mursal sahabi' tetap dianggap sahih menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah kerana yang meriwayatkannya adalah para sahabat kecuali golongan yang meragukan dan mentohmah kejujuran para sahabat seperti Syiah. Walau bagaimanapun, berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi mengatakan ia didengari sendiri oleh 'Aisyah r.a.h berdasarkan beberapa lafaz yang terkandung di dalamnya. Menuduh hadith-hadith keutamaan para sahabat hanyalah rekaan Sunni Penyakit hati FT semakin terserlah pada halaman 179 apabila menuduh dengan biadap bahawa hadith-hadith keutamaan atau fadha'il sahabat direka bagi menutup perseteruan mereka dengan Sayyidina Ali r.a. Ini adalah suatu penghinaan kepada para sahabat Nabi SAW kerana cuba mengaitkan kelebihan atau fadha'il sahabat seperti yang terkandung di dalam hadith-hadith yang sahih itu hanyalah direkayasa demi kepentingan politik. Apakah FT tidak pernah membaca ayat-ayat al-Qur'an tentang pujian Allah SWT kepada para sahabat sehingga mereka diberikan gelaran radhiyallahu 'anhum? Menghina Khulafa’ al-Rasyidin Pada halaman 192, FT menghina pula para kibar al-sahabah terdiri daripada Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman dengan menuduh secara membuta tuli kononnya mereka telah melakukan kesilapan dalam berijtihad sambil menyertakan bilangan kesalahannya sekali. Siapakah FT atau Syiah untuk menilai kesilapan para sahabat dalam berijtihad? Sedangkan para sahabat adalah ahli ijtihad dalam nas-nas yang tidak muktamad. Jikapun berlaku kesalahan dalam berijtihad ia tidak menjadikan kedudukan mereka rendah malah dikurniakan pahala oleh Allah SWT kerana ijtihad para sahabat telah pun berlaku dan diakui oleh Rasulullah SAW pada zaman Baginda masih hidup dan Baginda tidak mengingkarinya. Pada halaman 279-280 FT cuba menimbulkan persepsi seolah-olah para sahabat telah berpaling daripada Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Padahal hadith ini perlu dibaca dengan pelbagai riwayat yang lain kerana terdapat lafaz-lafaz yang berbeza seperti usayhabi dan ummati yang menurut para ulama merujuk kepada segelintir golongan yang telah murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Malah kita sedia maklum bagaimana Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. sendiri telah memerangi golongan yang murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Kalimah 'sahabat' yang digunakan dalam hadith tersebut juga bukanlah merujuk kepada 'sahabat' dengan makna istilah tetapi makna bahasa. Kerana itu apabila Sayyidina Umar al-Khattab ingin membunuh ketua munafiqin, Abdullah bin Ubai bin Salul, ia tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW kerana Baginda bimbang nanti orang akan berkata Muhammad telah membunuh 'sahabat'nya sendiri. Ini bermakna walaupun Nabi SAW menyebut ‘sahabat’ ia bukan bermakna Baginda mengiktiraf semua yang menzahirkan keimanan mereka di hadapannya, tetapi ada di kalangan mereka itu yang munafiq dan ada di kalangan mereka yang murtad selepas kewafatan Baginda SAW dan mereka pada asasnya bukanlah ‘sahabat’ Nabi SAW kecuali pada bahasanya sahaja. Menghina mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya’irah-Maturidiyyah) Daripada kebiadapan FT memperlekeh dan menghina para sahabat r.a.h., dia beralih pula mempertikaikan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi pegangan rasmi umat Islam di Malaysia dan majoriti umat Islam di dunia. Kedangkalan dan kecetekan pengetahuan FT makin terserlah ketika cuba untuk meruntuhkan disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang telah establish. Nampak sangat geran penyelidikan GCPM yang diperoleh dari UKM tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat kajian perbandingan kecuali amat terhad kepada rujukan Syiah semata-mata. Penilaian FT terhadap mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah amat ‘menjelekkan’ kerana FT sendiri tidak mengkaji Ahli Sunnah secara komoprehensif menerusi rujukan-rujukan Ahli Sunnah yang muktabar. Pada halaman 9, FT menyebut kita mesti berhenti mengkaji Islam daripada mazhab yang 90 peratus tetapi kembali kepada mazhab Syiah yang ‘asli’ yang mewakili 10 peratus umat Islam. Maknanya FT menganggap Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini sekadar mazhab palsu. Begitu juga pada halaman 83, FT mengatakan mazhab Ahli Sunnah itu dasar dan asasnya bergantung kepada kesia-siaan kerana kononnya mazhab Sunni tidak berjaya menyelesaikan permasalahan wanita dan pelbagai tuntutan lain. Pada halaman 170, FT dengan kajiannya yang ‘mendalam’ itu mengelirukan pembaca dengan mengatakan Ahli Sunnah hanya wujud selepas era Muktazilah dan tidak mampu menandingi sejarah Syiah yang dikatakan telah bermula sejak awal. FT sebenarnya jahil dan tidak memahami latar belakang Ahli Sunnah Wal-Jamaah lalu mendakwa gelaran Ahli Sunnah tidak pernah wujud pada zaman awal Islam. Kalaulah FT menggunakan sedikit akalnya, dia pasti akan dapat membezakan antara istilah dan sejarah, justeru FT tidak akan membuat kesimpulan yang terencat akal itu. FT bukan tak tahu, kewujudan ‘istilah’ tidak semestinya seiring dengan sejarah yang menggambarkan kewujudan ‘istilah’ itu. Misalnya, apabila disebut “Malaysia” ia adalah satu istilah bagi merujuk kepada negara kita, tetapi ia tidak boleh menggambarkan kewujudan sejarah Tanah Melayu yang lebih awal daripada istilah Malaysia itu sendiri. Begitu juga istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia hanya satu istilah untuk merujuk kepada manhaj Islam yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika tidak kerana wujudnya golongan ahli bid’ah dan sesat seperti Syiah, sudah tentu tidak perlu wujud istilah tertentu untuk merujuk kepada Islam yang asli. Mungkin cukup sekadar disebut Islam semata-mata sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Qur’an dan hadith. Namun apabila wujudnya golongan yang berpecah keluar daripada gagasan Islam yang sebenar, maka wujudlah istilah untuk membezakan antara Islam yang haq dan Islam yang batil seperti Syiah. Bertambah-tambah dangkal lagi, apabila FT mengatakan istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah hanya timbul selepas daripada kemunculan dua imam besar Sunni iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Buat makluman FT dan pengkaji Syiah tegar, istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah buat pertama kali telah digunakan oleh Ibn Abbas, seorang sahabat besar yang juga merupakan sepupu Nabi SAW yang wafat pada tahun 68 hijriyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, tafsiran ayat 106 surah Ali Imran) Walau bagaimanapun apabila kita merujuk kepada hadith-hadith Rasulullah SAW begitu banyak sekali ungkapan Baginda supaya berpegang kepada sunnah dan jamaah. Justeru, andaian FT itu sekadar bertujuan untuk mentohmah kedua-dua imam besar Sunni yang menjadi pengasas kepada mazhab Asya’irah dan Maturidiyyah seolah-olah kedua-dua mereka inilah pembuat bid’ah yang merekayasa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Betapa dustanya tangan FT menulis seperti itu! Sebagai ahli akademik, sepatutnya apa yang dikaji oleh FT untuk menilai Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah pada manhaj yang dibawa menerusi karya-karya mereka. Barulah boleh disimpulkan maksud di sebalik istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi popular pada zaman mereka. Apakah mereka membina mazhab baru atau ia merupakan suatu kesinambungan daripada golongan salafussoleh sebelum mereka. Apa yang sepatutnya adalah FT mengkaji sejauhmana kesinambungan antara ajaran Syiah dengan Ahlul Bayt? Hakikatnya, tiada langsung kesinambungan antara Syiah dengan imam-imam Ahlul Bayt. Apakah hujjah Syiah untuk mengatakan kepercayaan mereka hari ini benar-benar berdasarkan Ahlul Bayt? Al-Kulaini dalam al-Kafi menukilkan dari Muhammad bin al-Hasan bahawa, “Dahulunya para masyayikh mereka meriwayatkan dari Ja’far dan Abi Abdillah, ketika itu taqiyyah amat bersangatan lalu mereka menyembunyikan kitab-kitab mereka dan tidak meriwayatkan daripada mereka, lalu apabila mereka meninggal dunia, kitab-kitab mereka sampai kepada kita, lalu (Muhammad bin al-Hasan) berkata: Riwayatkanlah ia, sesungguhnya ia benar”. (al-Kafi 1/53) Bukankah hadith Syiah ini pelik, boleh meriwayatkan daripada Ahlul Bayt tanpa perlu kepada sanad yang sahih dan benar-benar sampai kepada Ahlul Bayt. Oleh sebab itulah, ketika penulis berdialog dengan Syiah Melayu jadian, Kamilzuhairi di Bagan Serai, Kamil mengatakan Syiah tidak memiliki kitab sahih seperti Ahli Sunnah. Hairan sungguh, bagaimana mereka boleh mendakwa berada di atas kebenaran sedangkan tidak memiliki sanad yang sahih daripada Ahlul Bayt? Adakah benar mereka itu syiah (pengikut) Ahlul Bayt atau sebenarnya syiah kepada pendusta dan pembohong agama, Abdullah bin Saba’? Pada halaman 338-339, FT terus membakar sentimen anti Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan menuduh kononnya Ahli Sunnah hanyalah sebuah pakatan yang rapuh. Keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunnah dituduh FT sebagai saling bercakaran antara satu dengan lain hasil daripada pakatan fiqh yang longgar dan saling bertabrakan. Istilah “pakatan fiqh” sudah cukup menunjukkan FT tidak punya gambaran yang tepat berkenaan mazhab empat. FT mungkin menyangka keempat-empat mazhab itu terdiri daripada kumpulan yang memiliki ideologi berlainan lalu berpakat menjadi satu pakatan persis pakatan politik. Padahal keempat-empat mazhab bahkan lebih dari itu (jika ditambah dengan mazhab salaf yang lain termasuk Imam Ja’far al-Sadiq) hanyalah menifestasi daripada kepelbagaian pandangan dalam mereka memahami nas-nas yang tidak muktamad. Dalam konteks masa kini, kepelbagaian mazhab fiqh itu tidak pernah menjadi bebanan kepada umat Sunni malahan ia menjadi khazanah ilmu Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang begitu kaya dan tidak ternilai terutamanya dalam mengeluarkan fatwa berkenaan isu-isu semasa sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Hakikatnya banyak lagi yang perlu dipelajari oleh FT tentang perkembangan mazhab Ahli Sunnah. Namun begitu ada baiknya FT membuka mindanya dengan mengkaji sejarah Syiah sendiri yang penuh dengan perpecahan dalam masalah prinsip seperti yang terkandung dalam buku Firaq al-Syiah karangan ulama Syiah terawal al-Nawbakhti. Di situ mungkin FT akan terkejut bahawa Syiah bukan sahaja berselisih dalam masalah fiqh bahkan ada pecahan Syiah yang mengatakan Ali itu adalah tuhan!!! Berdasarkan kajian cetek FT ini, dia kemudiannya membuat kesimpulan pada halaman 341 supaya penganut Islam meninggalkan Ahli Sunnah dan menggantikannya dengan ajaran sesat Syiah. Tidak dapat dipastikan apakah ini suatu bentuk HASUTAN terhadap pihak yang bertanggungjawab menjunjung dan memelihara agama Islam di negara ini termasuk Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam. Jika ia benar, dipohon supaya tindakan dikenakan kepada penghasut ini. Secara akademik, perbezaan yang berlaku antara mazhab, tidak perlu sehingga membuang mazhab yang lain dan menggantikannya dengan yang baru. Ia seperti perbezaan empat mazhab Sunni yang saling bermaaf-maafan dalam perkara yang diperselisihi dan tidak saling dakwah mendakwah antara satu dengan lain. Tetapi niat Faisal Tehrani jelas, untuk menjatuhkan Sunni dan menggantikannya dengan Syiah! Inilah cita-cita puak Syiah dan buktinya jelas kelihatan di Iran, Iraq, Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan, Mesir dan lain-lain. Kesimpulannya, benarlah telahan penulis, Syiah adalah satu ajaran yang hanya akan tertegak di atas keruntuhan Sunni! Pekung Syiah benar-benar terbarai daripada otak pemikiran Mohd Faizal Musa dalam bukunya ini. Semoga pihak berkuasa sedar dan tidak terus tertidur dibuai mimpi… Dipetik daripada blog Abu Haseef dihttp://mufakkir-islami.blogspot.com

Saturday, August 11, 2012

Alangkah Indah bila Raja, Rakyat Tunduk dan Taat Kepada Allah

Posted by Abu Huzaifah On 9:56 AM



Assalamualaikum warahmatullah. Apa khabar sahabat ziarah semua?Moga anda semua sihat dan kuat untuk meneruskan ibadah pada bulan penuh berkat ini.

Kali ini hamba nak berkongsi bersama pembaca budiman foto detik-detik  bersejarah yang berlaku di istana negeri Kelantan di Kubang Kerian pada Khamis lalu.Abu Huzaifah sendiri tidak berkesempatan hadir ke QIAM with me bersama Tuanku al-Sultan di istana baginda, namun merasa sangat teruja dengan aktiviti tersebut. Salah satunya kehadiran pendakwah sejuta umat ustaz Azhar Idrus ke istana Kubang Kerian sedangkan sebelum ini, hangat diperkatakan tentang halangan-halangan untuk beliau berceramah di masjid-masjid di bawah MAIK.

Alhamdulillah sekarang isu tauliah sudah selesai dan UAI sendiri diundang berceramah di istana. Sekadar berkongsi gembira, teruja dan syukur kepadaNYA kerana hubungan sultan, pemimpin negeri dan rakyat makin akrab maka hamba paparkan gambar-gambar ini. Mudah-mudah sikap tuanku yang sering bersama rakyat di masjid-masjid, rukuk, sujud dan memohon doa bermunajat kepada Allah sentiasa akan menambahkan rahmat dan keberkatan kepada seluruh rakyat. اللهم امين !

Dibawah ini, hamba petik satu catatan dari blogger yang bernama www:kedahlanie.info( Jazakumullahu khayra kepada beliau)

Alhamdulilah, ..... Semalam telah berhimpunan ribuan rakyat Kelantan di dalam Istana Negeri Kubang Kerian untuk sama-sama berqiamulail bersama Tuanku al- Sultan, Tengku Mahkota Kelantan dan para kaum kerabatnya berserta para pembesar negeri. Dewan Jubli Intan di istana itu penuh sesak sehinggakan ada yang terpaksa sembahyang di luar dewan. Kehadiran sungguh merujakan sekaligus menunjukkan bahawa menggunung kasihnya rakyat kepada Tuanku al-Sultan.

Semua pemimpin negeri diketuai Tok Guru MB Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir. Paling menggembirakan dan boleh menitiskan air mata rakyat yang berjiwa damai apabila Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed juga hadir. Kehadiran Mustapa ini memberi pengertian kepada seluruh rakyat Kelantan bahawa Tuanku Sultan tidak pernah atau tahu mengasingkan rakyatnya mengikuti ideologi politik.

Peristiwa malam semalam ada sejarah putih dan indah bagi istana Kelantan khasnya dan sejarah juga bagi negeri Kelantan. Bagi Kelantan ia sejarah besar kerana mencatat permulaan itu yang belum pernah berlaku di lapan istana lain di negara ini. Untuk Tuanku Al-Sultan sendiri adalah sejarah peribadi paling manis buat baginda. Ia akan dikenang selamanya oleh setiap lapisan rakyat hingga ke padang Mahsyar apa yang Tuanku perlakukan itu.

Sayang ... saya tidak sempat menghadiri majlis penuh keberkatan Qiam with me itu.  Bertuahlah setiap orang yang berada di istana dan berqiamulail. Semalam adalah malam kedua 21 Ramadhan, malam 10 malam terakhir yang diceitakan banyak membawa berkat. Sebagai rakyat Kelantan merasa bangga apa yang berlaku. Bangga memiliki seorang sultan yang prihatin dan mengambil berat terhadap agama. Mudah-mudahan saja semua orang yang berada di dalam istana malam tadi menerima tempias Lailatul Qadar bersama Tuanku Sultan.

Sejahtra Tuanku Sultan Mohamnaed di atas singgansana pemerintahannya. Sejuring hati dari mana-mana rakyat Kelantan tidak ada yang tidak berkenan dengan apa yang Tuanku lakukan. Semoga majlis-majlis kegamaan seperti itu lebih kerap lagi diadakan dan biarlah rakyat mengenali Istana Kubang Kerian sebagai istana tempat berhimpunnya orang-orang soleh.

ketibaan tuanku Al-Sultan Muhammad ke V


Kuliah ustaz Azhar Idrus dimulakan pada pukul 11 malam tetap mendapat sambutan
 hangat dari masyarakat Kelantan






Sunday, July 22, 2012

RAMADHAN KAREEM

Posted by Abu Huzaifah On 9:13 PM

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Allah swt. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw, para sahabat baginda yang setia serta ahli keluarga insan teragung Rasul Terakhir dan seluruh pejuang deen al-haq diseluruh alam dunia.

Abu Huzaifah, isteri dan anak-anak mengucapkan SELAMAT MENJALANI  KEM TARBIYAH RAMADHAN buat semua yang mengenali hamba khususnya saudara mara, sahabat-sahabat dan kenalan  berikut :
1. Pengetua dan pihak pengurusan serta  sahabat-sahabat rakan sekerja dan seluruh warga di SMKA Miri Sarawak.

2.Guru-guru kepada anak-anak hamba di Taski ABIM Miri, SK Agama Miri dan sahabat handai di Miri, Bintulu dan Kuching Sarawak (2002-2007)

3. Sahabat-sahabat yang banyak berkongsi pengalaman dan ilmu sepanjang hamba bermukim di Kuala Pilah N.Sembilan (2008-2010)

4.Para penyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, tempat hamba menadah ilmu antara tahun 2008-2010

5.Anak-anak murid  Abu Huzaifah yang sedang  belajar di IPT, IPG dan dimana jua berada.

6.Rakan-rakan pensyarah di IPGKSM, guru2 pelatih j-QAF dimana jua berada dan seluruh warga IPGKSM
7.Para sahabat follower blog Abu Huzaifah, sahabat ziarah dan  peminat majalah DIAN

dengan ucapan :
رمضان كريم ! تقبل الله منكم صالح الأعمال



Sunday, July 8, 2012

DISKUSI BUKU :

Posted by Abu Huzaifah On 9:24 PM


Assalamualaikum warahmatullah

Abu Huzaifah ; melontarkan pandangan dalam suatu forum di IPG KDRI

Apa khabar sahabat2 ziarah semua? Abu Huzaifah doakan semuanya dalam keadaan sihat..dah lama tak bersua..bukan dah jemu berblog..tapi masa tidak mengizinkan..al-Wajibat akthar min al-Auqat. Sekadar berkongsi bersama pelajar2  di IPGKSM..pada malam ini Abu Huzaifah bersama Ust Abu Basyyar akan berkongsi ilmu dalam siri Diskusi Buku anjuran Biro Kerohanian JPP IPGKSM...Abu Huzaifah akan membedah buku kecil tersebut usai solat Maghrib di surau al-Firdaus, JOM isikan masa dengan aktitiviti bermanfaat!

Thursday, April 12, 2012

BERKAHWIN PADA USIA MUDA DAN NIKAH KHITBAH : SATU PANDANGAN

Posted by Abu Huzaifah On 9:50 PM



Alhamdulillah, segala puji dan puja kepada Allah swt yang mengurniakan nikmat berkeluarga sebagai wasilah untuk manusia mengecapi kebahagiaan hidup di dunia bersama pasangan masing-masing dengan cara yang halal dan diredaiNya.

          Baru-baru ini usai solat Isyak selepas menyampaikan satu kuliah Maghrib, seorang pemuda yang masih berstatus pelajar berbual-bual dengan saya, lalu beliau meminta pendapat dari hamba akan hasratnya ingin berkahwin pada tahun ini dengan pasangan yang sudah dipersetujui oleh keluarga. Maka dalam catatan kali ini Abu Huzaifah dengan rasa rendah diri ingin berkongsi pengalaman dan pandangan khususnya bersama pelajar-pelajar hamba di IPT dan IPG dan khalayak pembaca yang budiman.

        Alhamdulillah, saya adalah seorang daripada hambaNya yang  menyahut seruan Rasulullah saw melaksanakan salah satu daripada sunnah baginda dan para rasul yang lain. Dengan izin dan iradahNya, penulis sendiri boleh dikatakan berkahwin semasa usia muda (mengikut waqi’ di Malaysia) dan masih bergelar mahasiswa pada ketika itu. Pada hakikatnya saya tidak pernah menanam hasrat dan keinginan untuk berkahwin dalam keadaan masih bergelar siswa (dalam usia  seawal 25 tahun) ketika memulakan kembara ilmu ke Jordan pada 30 Ogos 1994 dan kerana  tiga dari kakak saya sendiri berkahwin selepas berumur 27 tahun dan selepas mereka memasuki alam pekerjaan.

        Namun sebagaimana yang sering kita ungkapkan ; manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan…Inilah bukti bahawa manusia sebagai makhlukNya adalah pasti mempunyai kelemahan. Namun demikian kita disuruh sentiasa berusaha, berikhtiar dan merancang apa jua perkara dalam meneruskan kehidupan sebagai hambaNya. Insan yang gagal merancang sebenarnya hampir-hampir menempah kegagalan. Nabi Muhammad saw. berdakwah dan bersiasah dengan penuh perancangan dan strategi bukan secara sembrono sebab itu dakwah Nabi ada dilaksanakan secara sirri dan kemudian secara terang-terangan melihat kepada waqi’ dan sambutan.

          
    

    Maka dalam hal perkahwinan juga perlu ada perancangan, malah perkahwinan Rasulullah secara poligamipun sebagaimana ditulis oleh sebahagaian ulama dan pengkaji Sirah dan harakah siasiyyah adalah salah satu strategi dakwah yang mampu melunakkan hati golongan yang sebelumnya bersikap keras dan dingin terhadap dakwah baginda.

          Sayangnya hari ini poligami yang diharuskan Islam zahir dalam  bentuk yang hodoh, sering digambarkan oleh media amalan tersebut penganiayaan terhadap wanita dan sangat dibenci oleh golongan pejuang wanita sehingga sanggup berkempen dengan bangganya agar mengamalkan monogamy. Poligami sebagai salah satu penyelesaian kepada ramainya andalusia  dan janda yang ke hulu ke hilir tanpa mahram tidak pernah diketengahkan kecuali sekadar disebut secara teori dalam kuliah-kuliah di masjid dan surau.

         Ibu bapa tidak sensitif jika anak gadisnya tidak berkahwin walaupun umur dah mencecah 30–an .Yang dibimbangi bila anak tidak dapat pekerjaan. Ramai juga ibubapa tidak kisah bila anak perempuannya keluar dengan jantan yang bukan mahram..bahkan ada yang melihat sahaja kalau anak perempuan mereka diambil oleh lelaki yang sepejabat tanpa merasa apa-apa dosa sedangkan Nabi SAW bersabda: Daripada Abi Umamah RA. Daripada Rasulullah SAW :Jauhilah kamu daripada berkhalwat dengan wanita.Demi nyawaku ditanganNya! Tidak berkhalwat seseorang lelaki dengan seorang wanita melainkan syaitan berada bersama keduanya.(Riwayat Thabrani)  


         Sebahagian ibubapa hari ini seolah-olah  tidak merasa apa-apa jika anaknya menelefon lelaki lama-lama, ber’sms’ dari awal malam sampai ke pagi..atau bersembang chatingg. Ada yang keluar berdua-duaan dengan kereta atau motosikal…termasuklah gadis-gadis muslim yang bertudung.

          Apa yang pelik, bila anak-anak meluahkan hasrat hati ingin berkahwin dalam usia yang muda maka ramailah ibubapa yang tidak setuju dan marah.  Dengan segera mereka akan membantah malah mengugut anak-anak mereka sanggupkah hidup dalam kesusahan berumahtangga dalam keadaan masih bergelar pelajar atau masih tiada pekerjaan tetap. Berbuih mulut sang ibu menceritakan si pulan bin sipulan dahulu kahwin ketika belajar kemudian gagal…kemudian anak si pulan juga gagal menamatkan pengajian kerna ’gatal’ nak nikah baru masuk tahun dua pengajian dan banyak contoh lagi… Namun jarang orang menyebut sipulan yang belajar di Darul Quran kahwin muda juga sama-sama belajar, sekarang keduanya pensyarah di IPTA  atau boleh sahaja ambil contoh Prof. Dr. Zukifli Yusof dan isterinya yang sentiasa bersama ketika menyambung pengajian di Jordan dan UK.

          Biasanya orang kita sering melihat yang negatif, kisah-kisah yang positif jarang dicerita. Maka tidak peliklah jika ibubapa pantas membantah dan menghalang apabila anaknya menyatakan hasrat ingin berkahwin walaupun tujuan anak-anak berkahwin adalah untuk mengelak diri dari terjebak dalam kancah dosa sama ada yang ringan atau berat. Telahan saya salah satunya kerana ramai orang tua yang tidak menganggap berhubung dalam telefon, ketawa, keluar makan berdua, makan angin di tepi pantai, pergi ke panggung wayang  hatta menaiki kereta bersama pasangan( yang tak sah) dan sebagainya tidak berdosa (malah mungkin ambil enteng kerana anggap dosa kecil sahaja)

          Merasakan dosa kecil itu tidak mengapa adalah satu tanggapan yang salah kerana dosa kecil yang sentiasa dilakukan akan menjadi dosa besar dek kerna kekal melakukan maksiat ...adakah kita bersedia menjadi manusia yang fasiq?

          Ketika saya berada ditahun akhir pengajian di Dataran Syam bumi Urdun, saya telah dipertemukan oleh seorang sahabat (bekas pelajar di Jordan)  dengan  Ummu Huzaifah… bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan barulah saya melalui proses taqdim… dan pada masa tersebut tidaklah terfikir untuk melangsungkan walimah di perantauan…Namun setelah setahun mengenali bakal isteri … hati dengan penuh rasa sedar berpandangan  perkahwinan dalam keadaan diri bersedia memikul amanah dan tanggungjawab. Bagi menambah keyakinan diri saya membelek helaian-helaian al-Quran meneliti ayat-ayat berkaitan dengan’ nikah’  dan tafsir Fi Dhilal al-Quran, Sayyid Qutb menjadi sandaran saya bagi menguatkan jiwa bahawa rezeki kita sudah dalam pengetahuan Allah Azza Wajalla. Salah satu sebab ingin berkahwin ialah untuk memperolehi sakinah dan mawaddah terutama tika diri jauh dari ibubapa dan ada masa jiwa kita teruji dengan pelbagai mehnah dalam kehidupan sebagai seorang syabab.

         Pun begitu, ketika mula meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kepada keluarga, bukan  semua ahli keluarga bersetuju bahkan ada dikalangan saudara kandung yang memberi amaran akan menanggung kesusahan; bagaimana untuk saya menanggung nafkah isteri dan anak nanti sedangkan  diri sendiri belum punya kerja untuk sara diri.   Namun alhamdulillah hasil pujukan saya dan keyakinan yang diberi oleh mantan naqib hamba kepada ahli keluarga kedua-dua belah pihak akur dan bersetuju.

           Kepada diri sendiri ; dalam membina keyakinan diri naqib hamba dan ustaz-ustaz senior menjadi rujukan dengan bertanya khabar kepada orang yang lebih dahulu makan garam. Selain daripada pembacaan, pengalaman orang yang lebih dewasa kerap menjadi halwa telinga dalam percaturan menjadi insan yang lebih matang dan bersedia menanggung risiko berkahwin ketika diri masih bergelumang dengan maddah pengajian dan projek ilmiyah sebelum graduasi.

         Sebenarnya apabila menoleh kembali hari-hari yang telah berlalu, ternyata terasa diri ini tidak pernah terfikir apa yang bakal berlaku melainkan pertolongan dan taqdir Allah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Hamba bersyukur diatas segala nikmatNya yang terlalu banyak…kerap kali saya bergurau ketika bersama anak-anak murid … saya pergi dengan niat mendapat satu syahadah tetapi pulang dengan 3 syahadah.


PANDANGAN SAYA  KEPADA SESIAPA YANG BERKAHWIN DALAM USIA MUDA

            Apabila ditanya kepada saya, apa pandangan ustaz jika seseorang ingin berkahwin semasa  usia muda dan masih bergelar pelajar atau mahasiswa… Biasanya saya akan memberi jawapan yang berbeza. Mengapa berbeza sedangkan hukum Allah itu  adil untuk semua
hambanya????

Abu Huzaifah akan memberikan jawapan berbeza mengikut situasi seseorang yang bertanya. Kepada pembaca yang budiman, perlu diingat tulisan saya ini hanya satu pandangan peribadi bukan fatwa. Bagi sesiapa yang tidak bersetuju anda boleh merujuk sesiapa sahaja yang berilmu untuk mendapatkan nasihat dan pandangan orang yang lebih berpengalaman dan melalui liku-liku hidup lebih dahulu dari anda.


Situasi pertama:

Jika seseorang pemuda atau gadis yang bertanya itu memiliki kematangan (setakat yang kita kenal dari perwatakan dirinya) berfikir, memiliki watak seorang yang bertanggung jawab, serius membuat keputusan, sanggup menanggung tugas dan tanggungjawab lebih daripada biasa sebagai pelajar dan suami, mendapat restu kedua-dua ibu bapa dan ’boleh hidup’ tanpa memerlukan bantuan kewangan ibu bapa si lelaki atau ibubapa si isteri serta satu lagi sebab ingin berkahwin iaitu ingin memelihara diri daripada ’dosa-dosa yang tak sengaja’ dan lain-lain sebab bagi menjaga mata daripada  maksiat maka teruskan niat anda untuk mendirikan masjid.

Pada Abu Huzaifah jika seseorang pemuda atau gadis dalam kondisi seperti diatas maka perkahwinan itu lebih mulia bagi mereka. Niat untuk menjaga diri daripada terpalit dengan dosa-dosa ’yang sering berlaku kepada remaja’ adalah satu pilihan kepada perkahwinan.

Demikian juga kepada siswa-siswi yang kerap bertemu dalam persatuan dan untuk memelihara diri daripada ’fitnah dosa’, maka perkahwinan semasa belajar adalah satu pilihan. Namun faktor kewangan untuk menyara diri sendiri dan bakal isteri perlu difikirkan dari awal lagi. Jika isteri tinggal bersama maka nafkah sudah menjadi tanggungjawab suami sepanjang masa. Ini bermakna sesiapa yang mengambil keputusan berkahwin awal pada usia remaja 20-an mesti berkemampuan dari sudut memberi nafkah kepada isteri dan anak ( setelah mempunyai zuriat). Perkara ini sangat penting kerana pasangan yang berkahwin tetapi tidak mampu menyara isteri dan anak akan menganggu pelajaran mereka dan bakal menjadi fitnah kepada diri mahasiswa sendiri. Sekali-sekala kita mendengar tohmahan masyarakat mengatakan ; ” Kenapa pelajar-pelajar agama pergi ke negara **** , bila sudah masuk tahun dua mulalah nak nikah....lepas kahwin siisteri berbadan dua akhirnya belajar tak habis...menghabiskan duit ibubapa sahaja..itulah bebelan sesetengah orang tua.!

Situasi kedua : Insya Allah bersambung

Sunday, April 8, 2012

Jom berekreasi bersama anak2 di Jeram Linang

Posted by Abu Huzaifah On 4:22 AM

 

Assalamualaikum warahmatullah. Apa khabar sahabat2 ziarah sekalian?
Rasanya sudah lama Abu Huzaifah menyepikan diri dari mencatat entri terbaru dek kesibukan dengan rutin-rutin harian. Pada cuti sekolah bulan Mac yang lalu Abu Huzaifah bersama keluarga ipar dari Kuala Terengganu mengambil kesempatan dicelah-celah cuti seminggu ( walaupun hamba sendiri tak cutipun dari kuliah KDC) membawa anak-anak ke Jeram Linang, Pasir Puteh.

Pemandangan di Jeram Linang yang masih hijau dengan pokok2 yang tinggi dan air terjun yang menyejukkan pasti menggamit pengunjung yang datang bertandang. Kepada sesiapa yang ada kesempatan sama ada anda anak Kelantan atau pelancong bolehlah berkunjung sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.  Sesiapa yang ingin berada lama bersantai bersama famili,  disana tempat untuk makan atau nak membakar ayam disediakan.Untuk tatapan sahabat ziarah saksikan kegembiraan anak-anak mandi-manda...sehingga tidak terasa  matahari sore bakal melabuhkan tirai.







Friday, April 6, 2012

Bantah Kempen Politik : 3 Mahasiswa Berdepan JK Disiplin

Posted by Abu Huzaifah On 4:39 PM

Tiga mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor berdepan dengan tindakan tegas selepas didakwa membuat representasi video membantah dakwaan kempen politik melalui satu program universiti. Mereka didakwa membuat rakaman video tanpa mendapat kebenaran daripada Naib Canselor Prof Datuk Dr Noh Dalimin berhubung kempen itu dalam program 'International Youth Day Unesco' pada 18 November lalu di kampus berkenaan.

Ketiga-tiga mahasiswa itu - Muhammad Saiful Farhan Mohamad Razi, Mohd Hidayatullah Masjud dan Ahmad Adam Samsudin - akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib esok susulan penyiaran video bantahan itu pada 21 November lalu. Muhammad Saiful Farhan dan Mohd Hidayatullah Masjud adalah pelajar fakulti kejuruteraan mekanikal dan pembuatan. Manakala Ahmad Adam adalah pelajar fakulti pengurusan teknologi, perniagaan dan keusahawanan.

Mereka menerima surat supaya menghadiri prosiding tatatertib itu pada 21 Mac lalu dengan dakwaan "melakukan representasi yang berhubung dengan universiti tanpa kebenaran naib canselor melalui rakaman video bertajuk "Mahasiswa UTHM bantah kempen politik melalui program univerisiti".

Ketika dihubungi wartawan petang semalam, seorang jurucakap pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa video bantahan itu disiarkan selepas tidak puas hati seorang timbalan menteri, Datuk Ahmad Maslan, yang didakwa memberi ceramah politik.

Universiti akan perjelas lepas prosiding. Jurucakap itu berkata ceramah itu berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 9 malam  di Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Jurucakap itu juga mendakwa pihak pengurusan universiti telah mengarahkan penghuni dari dua kolej kediaman - Tun Fatimah dan Tun Dr Ismail - menghadiri ceramah itu dan mengarahkan supaya bekalan elekrik di situ diputuskan.

Katanya, ketiga-tiga mahasiswa itu tidak bersetuju dengan sikap universiti yang "tidak profesional" membenarkan ceramah itu yang dilihat tidak selari nama program asalnya dan mendakwa "memaksa" pelajar turun ke majlis berkenaan.

"Pelajar kolej kediaman itu rasa tertipu kerana program berkaitan dengan hari belia, tetapi (menjadi) kempen politik dan (beliau didakwa) memainkan sentimen perkauman," katanya yang enggan namanya didedahkan.
Menurut jurucakap itu lagi, berdasarkan surat itu, jika ketiga-tiga mahasiswa itu didapati bersalah, mereka berdepan dengan satu atau gabungan daripada lima hukuman. Hukuman itu ialah diberi amaran, denda sebanyak RM100, tidak dibenarkan berada di mana bahagian dalam universiti dalam tempoh yang ditetapkan, digantung pengajian dalam tempoh yang ditetapkan atau dipecat daripada universiti.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor UTHM Prof Dr Amir Hashim Mohd Kassim berkata, pihaknya hanya akan memberikan penjelasan berhubung dakwaan itu esok. "Terima kasih. Saya akan jelaskan selepas prosiding esok," katanya menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS hari ini.

Kumpulan siswa pertikai kewajaran universiti . Prosiding tatatertib itu akan berlangsung jam 9.30 pagi di Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Pihak wartawan juga sudah menghubungi timbalan menteri berkenaan tetapi tiada sebarang reaksi diberikan setakat ini.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS) mempersoalkan tindakan pentadbiran universiti itu yang ingin mendakwa tiga mahasiswa berkenaan "hanya dengan dakwaan yang kami lihat kurang munasabah". Dalam kenyataannya, presiden GAMIS, Muhammad Akmal Razali turut mempertikai kewajaran pihak universiti yang didakwa bertindak menutup bekalan elektrik di dua kolej kediaman "semata-mata mahu memaksa mahasiswa" menghadiri program itu. "Universiti seharusnya menjadi tempat yang bebas daripada politik luar," tegas Muhammad Akmal.